Alkitab Versi Borneo |
Raja yang adil 1Sesungguhnya, seorang raja akan bertakhta dalam perbenarani dan para penguasa akan memerintah dalam keadilan. 2Mereka masing-masing akan menjadi seperti tempat berteduh terhadap angin dan tempat persembunyian terhadap angin ribut, seperti aliran air di tempat yang gersang, seperti naungan bukit batu yang besar di tanah yang tandus. 3Mata orang yang melihat tidak lagi akan tertutup dan telinga orang yang mendengar akan mengendahkannya. 4Hati orang yang terburu nafsu akan memahami pengetahuan dan lidah orang gagap akan berbicara dengan lancar serta jelas. 5Orang bodoh tidak akan lagi disebut mulia dan si penjahat tidak akan dikatakan terhormat. 6Orang bodoh itu mengatakan kebodohan dan hatinya merancangkan kejahatan.
Dia hendak berbuat munafik
dan mengatakan hal yang sesat tentang TUHAN.
Dia hendak membiarkan orang lapar kosong perut
dan membuat orang dahaga kekurangan minuman. 7Penipu itu buruk kelakuannya. Dia merancangkan muslihat untuk menghancurkan orang miskin dengan kata-kata dusta, sekalipun orang melarat itu membela haknya. 8Tetapi orang yang mulia merancangkan hal-hal yang mulia dan dia berdiri teguh dalam hal-hal yang mulia itu. Peringatan bagi perempuan-perempuan Yerusalem 9Wahai kaum wanita yang hidup aman, bangunlah, dengarlah suaraku. Wahai anak-anak perempuan yang hidup aman, amatilah kata-kataku. 10Dalam waktu setahun lebih kamu akan gementar, wahai orang yang hidup aman, kerana tuaian buah anggur akan gagal dan masa pengumpulan buah tidak akan tiba. 11Gementarlah, wahai kaum wanita yang hidup aman! Menggigillah, wahai kaum wanita yang hidup aman! Tanggalkanlah dan lucutilah pakaianmu, kenakanlah kain kabung pada pinggangmu. 12Pukullah dada kerana ladang-ladang yang indah, dan pokok anggur yang berbuah lebat, 13kerana tanah bangsaku, yang ditumbuhi onak dan duri – ya, kerana semua tempat bersenang-senang di kota yang penuh suka ria. 14Puri-puri akan ditinggalkan, keramaian kota akan berubah menjadi kesepian. Bukit dan menara tinjau akan menjadi sarang haiwan untuk selama-lamanya, menjadi tempat bersenang-senang keldai liar dan padang ragut bagi kawanan ternakan. 15Sehingga roh dicurahkan kepada kita dari tempat tinggi, barulah gurun menjadi ladang yang subur dan ladang yang subur dianggap hutan; 16barulah keadilan berada di gurun
dan perbenaran menetap di ladang yang subur. 17Hasil perbenaran ialah kedamaian, kesan perbenaran ialah kesentosaan dan keamanan untuk selama-lamanya. 18Bangsaku akan tinggal di tempat kediaman yang damai, di tempat penghunian yang aman, dan di tempat peristirahatan yang aman. 19Hujan batu akan merobohkan hutan dan kota akan diruntuhkan sama sekali. 20Berbahagialah kamu yang menabur benih di tepi segala tempat berair, yang melepaskan lembu dan keldai berkeliaran di sana.