Alkitab Versi Borneo |
Tentang taubat dan janji 1Kembalilah, wahai Israel, kepada Tuhan, Allahmu, kerana engkau telah tersandung akibat kesalahanmu. 2Bawalah kata-kata penyesalan berserta kamu dan kembalilah kepada Tuhan. Katakanlah kepada-Nya, "Ampunkanlah segala kesalahan kami dan terimalah apa yang baik, maka kami akan mempersembahkan pujian seperti korban lembu jantan. 3Asyur tidak dapat menyelamatkan kami. Kami tidak mahu menunggang kuda, dan tidak akan lagi berkata, 'Ya Allah kami,' kepada hasil buatan tangan kami, kerana dalam Engkaulah anak yatim mendapat rahmat." 4"Aku akan menyembuhkan mereka daripada kemurtadan mereka, Aku akan mencintai mereka dengan sukarela, kerana murka-Ku telah surut daripada mereka. 5Aku akan menjadi seperti embun bagi Israel. Dia akan berbunga seperti bunga bakung dan menjulurkan akar-akarnya seperti pokok araz Lebanon. 6Cabang-cabangnya akan menyebar. Keelokannya akan seperti pokok zaitun dan keharumannya seperti Lebanon. 7Mereka yang duduk di bawah naungannya akan tumbuh kembali seperti gandum. Mereka akan berbunga seperti pokok anggur, kemasyhurannya seperti air anggur Lebanon. 8Efraim, apakah lagi urusan-Ku dengan berhala-berhala? Akulah yang menjawab dan memperhatikan engkau. Aku seperti pokok sanubar yang hijau, daripada-Ku kaudapatkan buahmu." 9Siapakah yang bijak? Dia akan mengerti hal-hal ini. Siapakah yang berpengertian? Dia akan mengetahuinya. Jalan Tuhan itu lurus dan orang benar akan menempuhnya, tetapi orang derhaka akan jatuh di situ.