Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Ibrani 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Amaran supaya berwaspada

1Oleh itu, kita harus memberikan perhatian yang lebih kepada segala yang telah kita dengar; takut kita hanyut kelak. 2Jika firman yang disampaikan melalui para malaikat terbukti benar, dan setiap pelanggaran serta keingkaran mendapat balasan yang setimpal, 3bagaimana kita mungkin terlepas daripadanya jika kita mengabaikan penyelamatan yang sedemikian besar? Pada mulanya Tuhan telah menyebutkannya, dan kemudian orang yang telah mendengar kata-kata-Nya itu turut mengesahkannya. 4Allah juga telah memberikan kesaksian dengan pelbagai tanda, keajaiban, mukjizat dan pengurniaan Roh Kudus, menurut kehendak-Nya sendiri.

5Dia tidak meletakkan dunia akan datang, yang kita perkatakan ini, di bawah takluk para malaikat. 6ATetapi terdapat seorang yang telah memberikan kesaksian di suatu tempat: "Apakah manusia maka Engkau memberinya perhatian,

Apakah anak manusia maka Engkau memeliharanya?

7Engkau telah menjadikannya rendah sedikit daripada malaikat;

Engkau memahkotakannya dengan kemuliaan dan kehormatan,

8dan Engkau meletakkan segala-galanya tertakluk di bawah kakinya."

Dengan meletakkan segalanya tertakluk di bawahnya, Allah tidak meninggalkan suatu apa pun di luar kekuasaannya. Tetapi sekarang kita masih belum melihat segala-galanya diletakkan di bawahnya.

Yesus dijadikan rendah seketika

9Tetapi kita melihat Yesus, yang dijadikan rendah sedikit daripada malaikat, dimahkotakan dengan kemuliaan dan kehormatan kerana telah menderita kematian; supaya Dia, dengan kasih kurnia Allah, mengalami kematian untuk setiap manusia. 10Allah, yang segala-galanya adalah untuk-Nya dan segala-galanya dicipta oleh-Nya, membawa beberapa ramai anak-Nya kepada kemuliaan. Memang wajarlah Dia menjadikan Perintis penyelamatan mereka itu sempurna melalui penderitaan.

11Dia yang menyucikan dan mereka yang disucikan adalah satu asalnya. Oleh itu, Dia tidak malu memanggil mereka saudara-saudara. 12BDia berkata: "Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudara-Ku;

Di tengah-tengah perhimpunan Aku akan menyanyikan pujian untuk-Mu."

13DDan juga: "Aku akan meletakkan kepercayaan-Ku kepada-Nya."

Seterusnya: "Lihatlah, ini Aku dan anak-anak yang telah diberikan Allah kepada-Ku."

14Oleh sebab anak-anak itu telah mendapat tubuh manusia, Dia sendiri pun mendapatkannya, supaya melalui kematian Dia dapat memusnahkan Iblis yang berkuasa atas kematian, 15dan membebaskan mereka yang tertakluk kepada belenggunya seumur hidup kerana takut mati. 16EDia tidak memberi pertolongan kepada para malaikat, tetapi Dia memberi pertolongan kepada keturunan Abraham. 17Dengan demikian, dalam segala hal Dia harus disamakan dengan saudara-saudara-Nya, supaya Dia menjadi Imam Besar yang berpengasihan dan setia dalam segala yang berkenaan dengan Allah, untuk menebus dosa umat manusia. 18Oleh sebab Dia sendiri telah menderita, menghadapi godaan, maka Dia dapat menolong orang yang menghadapi godaan.