Alkitab Versi Borneo |
1Kemudian Yusuf mendakap kepala ayahnya lalu menangisinya dan menciuminya. 2Yusuf memerintahkan para tabib bawah perkhidmatannya untuk mengawet dan mengabadikan jenazah ayahnya. Maka para tabib itu pun mengawet dan mengabadikan jenazah Israel iaitu Yakub. 3Mereka menyempurnakan pengawetan jenazah itu dalam masa sepenuhnya untuk pengawetan iaitu selama empat puluh hari. Lalu warga Mesir berkabung selama tujuh puluh hari. 4Setelah berakhir tempoh perkabungan, berkatalah Yusuf kepada seisi istana Firaun, "Jika kamu semua berkenan menolongku, tolong sampaikan kepada Firaun demikian, 5A'Ayah hamba telah menyuruh hamba bersumpah, katanya, "Sesungguhnya, ajalku hampir tiba. Kamu harus memakamkan aku di dalam makam yang kugali sendiri di Tanah Kanaan." Maka sekarang izinkanlah hamba pergi memakamkan ayah hamba, selepas itu hamba akan kembali.' " 6Kata Firaun, "Pergilah, makamkanlah ayahmu menurut apa yang disuruhnya kamu bersumpah." 7Maka pergilah Yusuf untuk memakamkan ayahnya. Seluruh pegawai Firaun pergi menyertainya, iaitu para pegawai kanan istana Firaun dan semua golongan ketua di Tanah Mesir, 8dan begitu jugalah seisi rumah Yusuf, para saudaranya, dan anggota keluarga ayahnya. Yang ditinggalkan mereka di Tanah Gosyen hanyalah kalangan kanak-kanak kecil serta semua kawanan ternakan mereka. 9Pasukan rata serta pasukan berkuda juga pergi bersama-sama sehingga tersangat besarlah rombongan itu. 10Apabila mereka tiba di tempat pembantingan Atad, yang terletak di seberang Sungai Yordan, merataplah mereka dengan suara yang kuat lagi memilukan. Lalu Yusuf menetapkan tujuh hari perkabungan untuk ayahnya. 11Apabila penduduk negeri itu, iaitu bani Kanaan melihat perkabungan di tempat pembantingan Atad itu, berkatalah mereka, "Ini perkabungan yang besar bagi orang Mesir." Itulah sebabnya tempat di seberang Yordan itu dinamai Abel-Mizraim. 12Para anak Yakub melaksanakan apa yang dipesan oleh Yakub kepada mereka. 13BMereka mengangkat jenazahnya ke Tanah Kanaan lalu memakamkannya di dalam gua di ladang Makhpela, di sebelah timur Mamre, yang sekali gus dengan ladangnya dibeli oleh Abraham daripada bani Het iaitu Efron, untuk dijadikan pemakaman persendirian keluarganya. 14Setelah ayahnya dimakamkan, pulanglah Yusuf ke Mesir bersama-sama para saudaranya dan kesemua orang yang turut serta dalam upacara pemakaman ayahnya. Yusuf menenteramkan hati saudaranya 15Saudara-saudara Yusuf sedar bahawa ayah mereka telah meninggal.i Lalu berkatalah mereka, "Mungkin Yusuf berdendam terhadap kita dan akan membalas sepenuhnya semua kejahatan yang kita lakukan terhadapnya." 16Maka mereka menyuruh orang menemui Yusuf dengan pesan, "Sebelum ayah tuan meninggal, dia berpesan, 17'Beginilah harus kamu katakan kepada Yusuf: Ampunilah segala kesalahan dan dosa para saudaramu yang pernah berbuat jahat terhadapmu.' Jadi, sekarang ampunkanlah kesalahan hamba-hamba Allah ayahmu." Ketika Yusuf mendengar pesan itu, dia pun menangis. 18Kemudian datanglah para saudaranya lalu mereka sujud memberi hormat di hadapannya. Kata mereka, "Kami datang untuk menjadi hamba tuan." 19Tetapi kata Yusuf kepada mereka, "Jangan takut. Adakah diri aku ini Allah? 20Memang dahulu kamu berniat melakukan kejahatan terhadapku, tetapi Allah memaksudkan perbuatan kamu untuk tujuan yang baik sehingga wujud apa yang terjadi sehingga hari ini, iaitu dengan terpeliharanya kelangsungan hidup ramai manusia. 21Jadi, janganlah takut, aku akan menyediakan dan memenuhi keperluan hidupmu dan para anakmu." Demikianlah Yusuf menenangkan hati mereka dengan kebaikan kata-katanya. Yusuf meninggal 22Yusuf terus tinggal di Mesir berserta kaum keluarganya. Dia hidup selama seratus sepuluh tahun. 23Yusuf masih melihat keturunan ketiga daripada Efraim, bahkan para anak Makhir anak Manasye sempat diletakkan di pangkuan Yusuf. 24Maka berkatalah Yusuf kepada para saudaranya, "Ajalku hampir tiba, tetapi Allah pasti akan mendatangi kamu dan membawa kamu keluar dari negeri ini ke negeri yang dijanjikan-Nya dengan bersumpah kepada Abraham, Ishak, dan Yakub." 25CKemudian Yusuf menyuruh orang Israel bersumpah, "Allah pasti akan mendatangi kamu. Pada waktu itu, kamu harus membawa tulang-tulangku dari sini." 26Lalu wafatlah Yusuf ketika berusia seratus sepuluh tahun. Jenazahnya diawetkan dan ditempatkan dalam sebuah keranda di Mesir.