Alkitab Versi Borneo |
Yusuf dan isteri Potifar 1Sementara itu, Yusuf dibawa ke Mesir lalu seorang Mesir, Potifar, pegawai istana Firaun dan ketua pengawal diraja, membelinya daripada tangan bani Ismael yang membawanya ke sana. 2ATUHAN menyertai Yusuf sehingga dia menjadi seorang yang berjaya dalam pekerjaannya. Dia tinggal di rumah tuannya, orang Mesir itu. 3Tuannya melihat betapa TUHAN menyertai Yusuf dan bahawa TUHAN membuat segala sesuatu yang dikerjakannya berjaya. 4Maka dia berkenan kepada Yusuf dan menjadikan Yusuf khadam peribadi yang melayaninya. Dia menugaskan Yusuf untuk menjadi pengawas di dalam rumahnya. Segala harta bendanya diserahkannya kepada kuasa tadbir Yusuf. 5Semenjak Yusuf ditugaskan untuk mentadbir urusan di dalam rumahnya dan atas segala harta bendanya, TUHAN memberkati rumah tangga warga Mesir itu atas sebab Yusuf. Berkat TUHAN melimpah atas segala harta bendanya, baik yang ada di dalam rumah mahupun yang ada di ladang. 6Lalu dia menyerahkan segala harta bendanya untuk ditadbir urus oleh Yusuf, dan dengan bantuan Yusuf dia tidak perlu memikirkan apa-apa lagi selain makanan yang hendak dimakannya. Yusuf seorang yang berbadan tegap dan tampan parasnya. 7Setelah beberapa waktu lamanya, isteri tuannya mengerlingkan mata kepada Yusuf dan berkata, "Mari, tidurlah dengan aku." 8Tetapi Yusuf menolaknya. Katanya kepada isteri tuannya itu, "Sesungguhnya, dengan bantuanku tuanku itu tidak perlu memikirkan apa-apa lagi di rumah ini. Segala sesuatu yang dimilikinya telah diserahkannya ke dalam kuasa tadbir urusku. 9Di dalam rumah ini tidak ada seorang pun yang lebih besar kuasanya daripada aku, dan tuanku tidak menahan apa-apa pun daripada aku kecuali cik puan, kerana cik puan isterinya. Bagaimanakah mungkin aku melakukan kejahatan yang besar ini dan berdosa terhadap Allah?" 10Jadi, meskipun hari demi hari dia memujuk Yusuf namun Yusuf tidak mengendahkan pujukannya untuk tidur di sisinya, ataupun sekadar bersama-samanya. 11Pada suatu hari, Yusuf masuk ke dalam rumah untuk menjalankan tugasnya. Tiada seorang pun ada di dalam rumah pada saat itu. 12Lalu perempuan itu memegang jubah Yusuf sambil berkata, "Mari, tidurlah dengan aku!" Tetapi Yusuf meninggalkan jubahnya di tangan perempuan itu lalu lari keluar. 13Apabila perempuan itu melihat bahawa Yusuf lari keluar dengan meninggalkan jubahnya di dalam tangannya, 14dia pun memanggil seisi rumahnya. Katanya kepada mereka, "Lihat, suamiku membawa kepada kita seorang Ibrani untuk mempermainkan kita! Dia masuk untuk tidur dengan aku, tetapi aku berteriak dengan suara nyaring. 15Apabila dia mendengar aku berteriak dengan kuat, dia meninggalkan jubahnya denganku lalu lari keluar." 16Lalu perempuan itu menyimpan jubah Yusuf di sisinya sehingga tuannya pulang ke rumah. 17Lalu perempuan itu berkata demikian kepada Potifar, katanya, "Hamba Ibrani yang kaubawa untuk kita itu datang kepadaku untuk mempermainkan aku. 18Tetapi ketika aku berteriak dengan suara nyaring, dia meninggalkan jubahnya padaku lalu dia lari keluar." 19Setelah Potifar mendengar kata-kata yang disampaikan isterinya kepadanya, "Begitulah hambamu memperlakukan aku," dia menjadi amat marah sekali. 20Lalu dia membawa Yusuf lalu dimasukkannya ke dalam penjara, tempat para tahanan raja ditahan. Maka terpenjaralah Yusuf di situ. 21BAkan tetapi, TUHAN menyertai Yusuf dan menunjukkan kasih-Nya kepadanya lalu Dia membuat kepala penjara itu berkenan kepada Yusuf. 22Lalu ketua penjara itu menyerahkan semua tahanan di dalam penjara itu kepada pengawasan Yusuf. Segala sesuatu yang harus dikerjakan di situ, Yusuflah yang mengerjakannya. 23Ketua penjara itu tidak perlu lagi untuk mengurus segala sesuatu yang sudah dijalankan oleh Yusuf, kerana TUHAN menyertainya dan TUHAN membuat apa yang dikerjakannya berhasil.