Alkitab Versi Borneo |
Hukuman Allah terhadap Mesir 1Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 2'Wahai anak manusia, bernubuatlah dan katakan: Beginilah firman Tuhan Allah, "Meraung-raunglah, 'Aduh, hari itu!' 3kerana hari itu sudah dekat. Hari Tuhan sudah dekat, suatu hari yang berawan. Itulah penghakiman bagi bangsa-bangsa. 4Pedang mendatangi Tanah Mesir dan rasa nyeri melanda Kush ketika orang yang terbunuh bergelimpangan di Mesir. Kekayaannya direbut dan dasar-dasarnya dibongkar. 5Orang Kush, orang Put, orang Lud, seluruh Tanah Arab, orang Libya, dan orang dari negeri sekutu mereka akan tewas oleh pedang bersama-sama mereka." 6Beginilah firman Tuhan, "Orang yang membantu Mesir akan tewas dan kekuatan yang dibanggakannya akan diruntuhkan. Dari Migdol sampai ke Siene mereka akan tewas oleh pedang, demikianlah firman Tuhan Allah. 7Mereka akan dibinasakan di antara negeri lain yang dibinasakan dan kota-kotanya berada di antara kota lain yang menjadi reruntuhan. 8Mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan ketika Aku menyalakan api di Mesir sehingga semua yang membantunya dihancurkan. 9Pada waktu itu utusan-utusan-Ku akan pergi dengan kapal untuk mengejutkan orang Kush yang hidup aman itu. Rasa nyeri akan melanda mereka pada waktu Mesir dihukum, kerana sungguh, hari itu akan datang." 10Beginilah firman Tuhan Allah, "Aku akan melenyapkan kekayaan Mesir dengan perantaraan Nebukadnezar, raja Babel. 11Dia dan pasukannya – yang terkejam dalam kalangan bangsa – akan dibawa untuk memusnahkan negeri itu. Mereka akan menghunus pedang mereka untuk melawan Mesir dan memenuhi negeri itu dengan orang yang terbunuh. 12Aku akan mengeringkan Sungai Nil dan menyerahkan negeri itu ke dalam tangan kalangan jahat. Akan Kubinasakan negeri itu dan segala isinya dengan perantaraan orang asing. Aku, Tuhan, telah berfirman." 13Beginilah firman Tuhan Allah, "Aku akan membinasakan berhala-berhala dan melenyapkan patung-patung daripada Memfis. Tidak akan ada lagi raja di Tanah Mesir, dan Aku akan mendatangkan ketakutan di Tanah Mesir. 14Aku akan membinasakan Patros, menyalakan api di Zoan, dan menjatuhkan hukuman terhadap Tebe. 15Akan Kucurahkan murka-Ku terhadap Sin, benteng Mesir itu, dan Kulenyapkan kekayaan Tebe. 16Aku pun akan menyalakan api di Mesir. Sin akan sangat gementar, dan Tebe akan dibongkar, manakala Memfis akan menghadapi lawan pada siang hari. 17Pemuda On dan Pi-Beset akan tewas oleh pedang. Penduduk kota-kota itu akan pergi ke tempat penawanan. 18Di Tahpanhes, siang akan menggelap ketika Aku mematahkan kuk Mesir di sana. Kekuatan yang dibanggakannya akan lenyap. Dia akan diselimuti awan, dan anak-anak perempuannya akan pergi ke tempat penawanan. 19Demikianlah akan Kujatuhkan hukuman terhadap Mesir, dan mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan." ' Kekuasaan Mesir berakhir 20Pada tahun kesebelas, tepatnya pada hari ketujuh dalam bulan pertama, datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 21'Wahai anak manusia, Aku telah mematahkan lengan kekuasaan Firaun, raja Mesir. Lihatlah, lengan itu tidak dibalut supaya sembuh atau dibebat supaya kuat kembali untuk memegang pedang. 22Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan Allah, "Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawan Firaun, raja Mesir. Akan Kupatahkan lengannya, baik yang masih kuat mahupun yang telah patah, dan akan Kujatuhkan pedang daripada tangannya. 23Aku akan mencerai-beraikan orang Mesir dalam kalangan bangsa dan menyerakkan mereka di pelbagai negeri. 24Lengan raja Babel akan Kukuatkan dan pedang-Ku akan Kuberikan kepadanya. Tetapi lengan Firaun akan Kupatahkan sehingga dia akan mengerang di hadapan raja Babel seperti orang yang terluka. 25Kemudian Aku akan menguatkan tangan raja Babel, tetapi lengan Firaun akan jatuh terkulai. Ketika Aku memberikan pedang-Ku kepada raja Babel dan ketika dia menghulurkannya untuk melawan Tanah Mesir, mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan. 26Aku akan mencerai-beraikan orang Mesir dalam kalangan bangsa dan menyerakkan mereka di pelbagai negeri. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan." '