Alkitab Versi Borneo |
Nubuat melawan Mesir dan Firaun 1APada tahun kesepuluh, tepatnya pada hari kedua belas dalam bulan kesepuluh, datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 2'Wahai anak manusia, hadapkanlah mukamu kepada Firaun, raja Mesir, lalu bernubuatlah menentangnya dan seluruh Mesir. 3Berbicaralah dan katakan: Beginilah firman Tuhan Allah, "Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu, wahai Firaun, raja Mesir, ular naga besar yang berbaring di tengah anak-anak sungaimu dan yang berkata, 'Sungai Nil milikku, aku yang menjadikannya.' 4Aku akan mengenakan kelikir pada rahangmu dan membuat ikan dari anak-anak sungaimu melekat pada sisikmu. Akan Kuangkat engkau dari tengah anak-anak sungaimu bersertakan segala ikannya yang melekat pada sisikmu, 5lalu akan Kutinggalkan engkau di gurun, bersertakan semua ikan dari anak-anak sungaimu. Engkau akan terkapar-kapar di padang terbuka dan tidak akan dikuburkan atau dipungut. Aku akan memberikan engkau sebagai makanan kepada binatang liar dan burung di udara. 6BMaka seluruh penduduk Mesir akan tahu bahawa Akulah Tuhan, kerana engkau hanyalah seperti tongkat buluh bagi keturunan kaum Israel. 7Ketika mereka menggenggam engkau di tangan, engkau patah dan melukai bahu mereka semua. Ketika mereka bertopang padamu, engkau patah dan membuat pinggang mereka semua gementar." 8Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan Allah, "Ketahuilah, Aku akan mendatangkan pedang terhadapmu dan melenyapkan manusia serta binatang daripadamu. 9Tanah Mesir akan menjadi tandus dan menjadi reruntuhan. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan. Kerana raja itu berkata, 'Sungai Nil milikku, aku yang menjadikannya,' 10maka sesungguhnya Aku akan menjadi lawanmu dan lawan anak-anak sungaimu. Aku akan membuat Tanah Mesir untuk menjadi reruntuhan dan sunyi sepi, dari Migdol ke Siene sampai ke daerah Kush. 11Tidak ada manusia ataupun binatang yang akan melintasinya. Selama empat puluh tahun negeri itu tidak akan dihuni. 12Aku akan menjadikan Tanah Mesir sunyi sepi di antara negeri lain yang dibinasakan. Kota-kotanya akan menjadi sunyi sepi selama empat puluh tahun di antara kota lain yang menjadi reruntuhan. Aku akan mencerai-beraikan orang Mesir di antara segala bangsa dan menyerakkan mereka di berbagai-bagai negeri. 13Akan tetapi, beginilah firman Tuhan Allah: Pada akhir kurun waktu empat puluh tahun itu Aku akan mengumpulkan orang Mesir daripada kalangan bangsa tempat mereka dicerai-beraikan. 14Aku akan memulihkan keadaan Mesir dan membawa mereka kembali ke Tanah Patros, iaitu tanah asal mereka. Di sana mereka akan menjadi kerajaan yang lemah. 15Dia akan menjadi yang terlemah antara kerajaan dan tidak dapat meninggikan diri lagi kepada bangsa-bangsa. Aku akan menjadikan mereka begitu lemah sehingga mereka tidak akan lagi memerintah bangsa-bangsa. 16Keturunan kaum Israel pun tidak akan menaruh harapan kepada Mesir lagi. Sebaliknya, mereka akan mengingat kesalahan mereka ketika mereka berpaling kepada Mesir dahulu untuk meminta pertolongan. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan Allah." ' Mesir menjadi upah bagi Raja Nebukadnezar 17Pada tahun kedua puluh tujuh, tepatnya pada hari pertama dalam bulan pertama, datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 18'Wahai anak manusia, Nebukadnezar raja Babel menyuruh pasukannya bekerja keras melawan Tirus. Semua kepala sudah gondol dan semua bahu sudah lecet, tetapi dia serta pasukannya tidak mendapat hasil dari Tirus atas usaha yang dilakukannya untuk melawan negeri itu. 19Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan Allah, "Ketahuilah, Aku akan mengurniakan Tanah Mesir kepada Nebukadnezar, raja Babel. Dia akan mengangkut kekayaannya, melakukan penjarahan, dan mengadakan perampasan. Itulah upah bagi pasukannya. 20Tanah Mesir akan Kukurniakan kepadanya sebagai upah pekerjaannya, kerana mereka telah bekerja bagi-Ku, demikianlah firman Tuhan Allah. 21Pada waktu itu Aku akan menumbuhkan kejayaan bagi keturunan kaum Israel dan Aku akan mengizinkan engkau membuka mulut lagi di antara mereka. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan.'