Alkitab Versi Borneo |
Panggilan bagi Yehezkiel 1Firman-Nya kepadaku, 'Wahai anak manusia, bangkitlah berdiri. Aku hendak berfirman kepadamu.' 2Ketika Dia berfirman kepadaku, Roh masuk ke dalamku dan menegakkan aku. Lalu kudengar Dia yang berfirman kepadaku. 3Firman-Nya kepadaku, 'Wahai anak manusia, Aku hendak mengutus engkau kepada orang Israel, kepada bangsa derhaka yang telah menderhaka terhadap Aku. Mereka dan nenek moyang mereka telah memberontak terhadap Aku, bahkan sampai hari ini. 4Keturunan mereka yang sekarang pun tebal muka dan keras hati. Aku mengutus engkau kepada mereka dan engkau harus berkata kepada mereka, "Beginilah firman Tuhan Allah." 5Sama ada mereka mahu mendengar atau tidak – kerana mereka itu keturunan kaum yang derhaka – mereka akan tahu bahawa ada seorang nabi di tengah-tengah mereka. 6Engkau, wahai anak manusia, jangan takut kepada mereka dan kepada kata-kata mereka. Sekalipun duri dan onak ada di sekitarmu dan engkau tinggal antara kala jengking, jangan takut! Jangan takut mendengar perkataan mereka dan jangan kecut hati melihat muka mereka, kerana mereka ialah keturunan kaum yang derhaka. 7Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka, sama ada mereka mahu mendengar atau tidak, kerana mereka itu derhaka. 8Engkau, wahai anak manusia, dengarlah apa yang Kufirmankan kepadamu. Jangan menjadi derhaka seperti keturunan kaum yang derhaka ini. Ngangakanlah mulutmu dan makanlah apa yang akan Kuberikan kepadamu.' 9AKetika kulihat, tampak ada tangan terhulur kepadaku dan tampak sebuah gulungan surat di tangan itu. 10Lalu Dia membentangkan gulungan yang ditulis sebelah-menyebelah itu di hadapanku. Di dalamnya tertulis nyanyian-nyanyian ratapan, keluhan, dan rintihan.