Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yehezkiel 12

A A A
Alkitab Versi Borneo

Yehezkiel melambangkan pembuangan Israel

1Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 2A'Wahai anak manusia, engkau tinggal di tengah-tengah keturunan kaum derhaka, yang mempunyai mata untuk melihat tetapi tidak melihat dan yang mempunyai telinga untuk mendengar tetapi tidak mendengar, kerana mereka sememangnya keturunan kaum yang derhaka.

3Oleh itu, wahai anak manusia, pada siang hari siapkanlah di hadapan mata mereka barang-barangmu seperti barang-barang seorang buangan, lalu di hadapan mata mereka pula pergilah dari tempatmu ke tempat yang lain seperti seorang buangan. Barangkali mereka akan menyedari bahawa mereka ialah keturunan kaum yang derhaka. 4Ya, pada siang hari bawalah barang-barangmu keluar di hadapan mata mereka seperti barang-barang seorang buangan, lalu keluarlah pada petang hari di hadapan mata mereka seperti seorang buangan. 5Masih di hadapan mata mereka lubangilah tembok dan bawalah barang-barangmu keluar dari situ, 6lalu di hadapan mata mereka pula pikullah barang-barang itu dan pergilah pada waktu gelap. Tudungilah mukamu sehingga engkau tidak melihat tanah, kerana Aku telah membuat engkau menjadi tanda bagi keturunan kaum Israel.'

7Maka kubuatlah demikian, seperti yang diperintahkan kepadaku. Pada siang hari kubawa barang-barangku keluar seperti barang-barang seorang buangan, dan pada petang hari kulubangi tembok dengan tanganku. Pada waktu gelap aku keluar, dan di hadapan mata mereka kupikul barang-barangku di atas bahu.

8Keesokan paginya datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 9'Wahai anak manusia, bukankah keturunan kaum Israel, keturunan kaum yang derhaka itu, bertanya kepadamu, "Apa yang kaulakukan?" 10Katakanlah kepada mereka, "Beginilah firman Tuhan Allah: Pernyataan ilahi ini berkenaan raja di Yerusalem serta seluruh keturunan kaum Israel yang ada di sana." 11Katakanlah, "Aku tanda bagimu." Seperti yang kulakukan, demikianlah akan berlaku ke atas mereka. Mereka akan pergi sebagai orang buangan ke tempat penawanan. 12Raja yang ada di tengah-tengah mereka akan memikul barang-barangnya di atas bahu pada waktu gelap lalu pergi keluar. Lalu orang akan melubangi tembok untuk membawa dia keluar. Dia akan menudungi mukanya supaya tidak melihat tanah dengan matanya sendiri. 13BAku akan membentangkan jaring-Ku ke atasnya dan dia akan tertangkap dalam jala-Ku. Akan Kubawa dia ke Babel, tanah orang Kasdim, tetapi tanah itu sendiri tidak akan dilihatnya. Dia akan mati di sana. 14Semua yang ada di sekelilingnya, para pembantunya dan seluruh pasukannya, akan Kuserakkan ke segala mata angin dan Aku akan menghunus pedang di belakang mereka.

15Ketika Aku mencerai-beraikan mereka di antara bangsa-bangsa dan menyerakkan mereka di berbagai-bagai negeri, mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan. 16Namun demikian, Aku akan meninggalkan sejumlah orang daripada kalangan mereka yang terselamat daripada pedang, daripada bencana kebuluran, dan daripada wabak penyakit, supaya mereka dapat menceritakan segala kekejian mereka di antara bangsa-bangsa yang didatangi mereka. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan.'

17Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 18'Wahai anak manusia, makanlah rotimu dengan gementar. Minumlah airmu dengan menggigil dan dengan resah. 19Katakanlah kepada rakyat negeri ini, "Beginilah firman Tuhan Allah mengenai penduduk Yerusalem di Tanah Israel: Mereka akan memakan roti dengan resah dan meminum airnya dengan tertegun. Dengan demikian negeri mereka akan menjadi tandus kerana segala isinya lenyap akibat kekerasan semua orang yang tinggal di dalamnya. 20Kota-kota yang masih dihuni akan menjadi reruntuhan dan negeri itu akan menjadi sunyi sepi. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan." '

21Kemudian turunlah lagi firman Tuhan kepadaku demikian, 22'Wahai anak manusia, pepatah apakah itu yang kamu ucapkan di Tanah Israel: "Sudah lama berselang, dan tidak satu pun penglihatan terwujud?" 23Oleh sebab itu katakanlah kepada mereka, "Beginilah firman Tuhan Allah: Aku akan menghentikan pepatah itu sehingga tidak diucapkan lagi di Israel." Tetapi katakanlah pula kepada mereka, "Waktunya sudah dekat dan segala penglihatan akan terwujud.

24Tidak akan ada lagi penglihatan yang menipu atau tenungan yang mengecoh di tengah-tengah keturunan kaum Israel, 25kerana Aku, Tuhan, akan berfirman dan firman yang Kusampaikan akan terlaksana. Firman itu tidak akan ditangguhkan lagi, kerana pada zamanmu juga, wahai keturunan kaum yang derhaka, Aku akan menyampaikan firman dan melaksanakannya, demikianlah firman Tuhan Allah." '

26Lalu datanglah firman Tuhan kepadaku demikian, 27'Wahai anak manusia, lihatlah, keturunan kaum Israel berkata, "Penglihatan yang didapatinya itu adalah untuk waktu yang masih lama, dan nubuatnya pun untuk waktu yang masih jauh." 28Oleh sebab itu katakanlah kepada mereka, "Beginilah firman Tuhan Allah: Segala firman-Ku tidak akan ditangguhkan lagi. Firman yang Kusampaikan akan terlaksana, demikianlah firman Tuhan Allah." '