Alkitab Versi Borneo |
Azab kedua: katak
1TUHAN berfirman kepada Musa, "Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, 'Beginilah firman TUHAN, "Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku. 2Jika kamu tidak mengizinkan mereka pergi, maka Aku akan mengazabkan seluruh daerahmu dengan mendatangkan katak. 3Sungai Nil akan berlimpah dengan katak dan katak-katak itu akan naik lalu masuk ke dalam istanamu, ke dalam bilik tidurmu, dan ke atas tempat tidurmu. Juga ke dalam rumah para pegawaimu dan rakyatmu, ke dalam tempat pembakaran rotimu, serta ke dalam tempat adunanmu. 4Katak-katak itu pun akan naik memanjati kamu, rakyatmu, dan semua pegawaimu." ' " 5Firman TUHAN lagi kepada Musa, "Katakanlah kepada Harun, 'Hulurkanlah tanganmu dengan tongkatmu ke atas segala sungai, terusan, serta kolam, dan buatlah supaya muncul segala katak di atas Tanah Mesir." 6Harun pun menghulurkan tangannya ke atas perairan Mesir, lalu muncullah katak lalu menutupi Tanah Mesir. 7Para ahli sihir turut melakukan hal yang sama dengan ilmu mereka lalu membuat katak turut muncul serta melitupi Tanah Mesir. 8Kemudian Firaun memanggil Musa dan Harun serta berkata, "Berdoalah kepada TUHAN supaya Dia menyingkirkan kesemua katak itu daripadaku dan daripada rakyatku, maka aku akan mengizinkan orang Israel itu pergi supaya mereka dapat mempersembahkan korban kepada TUHAN."
9Kata Musa kepada Firaun, "Katakan sahaja kepadaku bila harus aku berdoa untukmu, untuk para pegawaimu, dan untuk rakyatmu supaya katak-katak itu disingkirkan daripadamu dan dari rumah-rumahmu, sehingga ada di Sungai Nil sahaja." 10Kata Firaun, "Esok."
Lalu kata Musa, "Jadilah seperti katamu itu, supaya engkau tahu bahawa tidak ada yang seperti TUHAN, Allah kami. 11Katak-katak itu akan disingkirkan daripadamu, dari rumah-rumahmu, daripada para pegawaimu, dan daripada rakyatmu hingga ada di Sungai Nil sahaja." 12Setelah Musa dan Harun keluar meninggalkan Firaun, berserulah Musa kepada TUHAN tentang katak-katak yang telah Dia datangkan kepada Firaun, 13dan TUHAN mengabulkan permintaan Musa. Matilah kesemua katak di segala rumah, halaman, dan ladang. 14Bangkai katak yang dikumpulkan itu bertimbun-timbun sehingga tanah itu berbau busuk. 15Namun begitu, apabila Firaun melihat ada kelegaan, maka dikeraskan lagi hatinya dan enggan mendengar permintaan kedua-duanya, seperti yang telah difirmankan oleh TUHAN.
Azab ketiga: agas
16TUHAN berfirman kepada Musa, "Katakanlah kepada Harun, 'Hulurkanlah tongkatmu dan pukullah debu tanah, maka debu itu berubah menjadi agasi di seluruh Tanah Mesir." 17Mereka pun melaksanakan hal itu. Harun menghulurkan tangannya dengan tongkatnya, lalu dipukulnya debu tanah. Maka muncullah agasii yang tidak terhingga banyaknya lalu hinggap pada manusia dan binatang. Semua debu tanah berubah menjadi agas di seluruh Tanah Mesir. 18Para ahli ilmu sihir turut berusaha memunculkan agas dengan ilmu mereka, tetapi mereka tidak berdaya melakukannya. Maka berkerumunlah segala agasiii itu menghinggapi manusia dan binatang. 19ALantas berkatalah para ahli ilmu sihir itu kepada Firaun, "Inilah kuasa Allah." Tetapi hati Firaun tetap keras dan dia enggan mendengar permintaan mereka, sebagaimana yang telah difirmankan oleh TUHAN.
Azab keempat: kawanan lalat
20TUHAN berfirman kepada Musa, "Bangunlah pagi-pagi, lalu nantikanlah Firaun ketika lazimnya dia keluar ke sungai. Katakanlah kepadanya, 'Beginilah firman TUHAN, "Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku, 21kerana jika engkau tidak mengizinkan umat-Ku pergi, maka akan Kubuat kawanan lalat mendatangimu, mendatangi para pegawaimu, rakyatmu, serta rumah-rumahmu. Rumah orang Mesir akan penuh dengan kawanan lalat, dan begitu jugalah bumi yang dipijak mereka itu. 22Akan tetapi, pada hari itu Aku akan mengecualikan Tanah Gosyen yang dihuni para umat-Ku. Di sana tidak akan ada kawanan lalat, supaya engkau tahu bahawa Akulah, TUHAN, yang hadir di tengah-tengah tanah ini. 23Aku akan mengadakan perbezaan antara umat-Ku dengan rakyatmu. Esok mukjizat ini akan terjadi." ' " 24Maka TUHAN pun berbuat demikian. Maka datanglah begitu banyak kawanan lalat yang masuk ke dalam istana Firaun, ke dalam rumah para pegawainya, dan ke seluruh Tanah Mesir. Rosaklah negeri itu akibat kawanan lalat itu.
25Lalu Firaun memanggil Musa dan Harun. Katanya, "Pergilah, persembahkanlah korban kepada Allahmu di negeri ini." 26Tetapi Musa berkata, "Kami tidak dapat berbuat demikian, kerana korban yang hendak kami persembahkan kepada TUHAN, Allah kami, ialah sesuatu yang dipandang keji oleh warga Mesir. Apabila kami mempersembahkan korban yang dipandang keji oleh warga Mesir di hadapan mata mereka, tidakkah mereka akan merejam kami? 27Kami perlu pergi ke gurun yang berada sejauh tiga hari perjalanan, dan mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allah kami, sebagaimana yang Dia firmankan kepada kami."
28Kata Firaun, "Aku akan mengizinkan kamu pergi mempersembahkan korban kepada TUHAN, Allahmu, di gurun. Hanya, janganlah pergi terlalu jauh, dan berdoalah untukku."
29Kata Musa, "Lihatlah, aku akan keluar meninggalkan kamu dan aku akan berdoa kepada TUHAN supaya esok kawanan lalat ini disingkirkan daripada Firaun, daripada para pegawainya, serta rakyatnya. Hanya, janganlah Firaun berbohong lagi dengan tidak mengizinkan umat ini pergi mempersembahkan korban kepada TUHAN."
30Setelah itu keluarlah Musa meninggalkan Firaun, lalu berdoa kepada TUHAN. 31TUHAN pun mengabulkan permintaan Musa lalu Dia menyingkirkan kawanan lalat itu daripada Firaun, daripada para pegawainya, serta rakyatnya, sehingga tidak ada seekor pun yang tertinggal. 32Namun demikian, kali ini juga, Firaun mengeraskan hatinya dan tidak mengizinkan umat itu pergi.