Alkitab Versi Borneo |
Mengenai Khemah Suci 1Hendaklah kamu buat Khemah Suci daripada sepuluh helai tabir dewangga kain linen halus yang dipintal iaitu bahan berwarna biru, ungu, dan merah menyala, dengan disulam arca kerubin, hasil kerja pereka bentuk yang mahir. 2Setiap helai tabir hendaklah sepanjang dua puluh lapan hasta dan selebar empat hasta. 3Lima helai tabir hendaklah dijahit cantum menjadi satu sambungan dan begitu jugalah dijahit cantumkan lima helai lagi tabir itu. 4Kamu hendaklah membuat gegelung daripada kain biru di birai tabir paling hujung bagi set tabir sambungan pertama, dan begitu juga hendaklah kamu buat pada birai tabir terhujung bagi set tabir sambungan yang kedua. 5Kamu hendaklah membuat sejumlah lima puluh urat gegelung bagi setiap set dengan kedudukan gegelung itu bersetentang antara satu sama lain. 6Kemudian hendaklah kamu suruh agar dibuat lima puluh cangkuk pengancing emas lalu pasangkan dan cangkukkan gegelung dengan pengancing kedua-dua set tabir itu sehingga terjadi kesatuan berupa sebuah Khemah Suci. 7Dan kamu hendaklah membuat sebelas helai tabir daripada bulu kambing untuk dijadikan atap khemah yang menutupi Khemah Suci. 8Kesebelas-sebelas tabir itu hendaklah sama ukurannya iaitu sepanjang tiga puluh hasta dan selebar empat hasta. 9Lima helai tabir hendaklah dijahit cantum menjadi satu sambung tersendiri dan enam helai kain lagi satu sambung tersendiri, tetapi helaian tabir yang keenam itu hendaklah kamu lipat dua di bahagian depan khemah itu. 10Buatlah lima puluh gegelung di birai tabir terhujung bagi tabir sambung yang satu, dan lima puluh gegelung di birai tabir terhujung bagi tabir sambung yang kedua. 11Buat pulalah lima puluh cangkuk pengancing gangsa, lalu pasangkan dan cangkukkan gegelung dengan pengancing kedua-dua set tabir itu sehingga tersambung dua set tabir sambungan itu menjadi satu. 12Biarkanlah setengah bahagian kain yang bertindihan itu terjuntai di belakang Khemah Suci. 13Pertindihan sebanyak sehasta tabir yang berlebihan di kedua-dua sisi Khemah Suci hendaklah terjuntai menudung sisi khemah itu. 14Selain itu, daripada kulit domba jantan yang dicelup merah, dan daripada kulit anjing laut hendaklah kamu suruh agar dibuat penudung bagi tabir dewangga itu untuk melapisi bahagian atasnya pula. 15Buatlah rangka bagi Khemah Suci itu daripada papan kayu akasia yang ditegakkan. 16Setiap papan hendaklah sepanjang sepuluh hasta dan selebar satu setengah hasta. 17Pada tiap-tiap papan harus ada dua unjuran berpasak yang membolehkan papan-papan itu saling dihubungkan. Hendaklah kamu lakukan begitu bagi kesemua papan Khemah Suci. 18Hendaklah kamu buat dua puluh rangka papan bagi sisi sebelah selatan, 19dan hendaklah kamu suruh agar dibuat empat puluh lesung pasak daripada perak untuk dipasangkan di bawah kesemua dua puluh papan itu: dua lesung pasak di bawah setiap papan, masing-masing untuk dipasangkan dengan kedua-dua pasak setiap papan itu. 20Buat lagi dua puluh rangka papan bagi sisi kedua iaitu sisi utara Khemah Suci, 21lengkap dengan kesemua empat puluh rongga peraknya, dua lesung pasak di bawah setiap papan. 22Hendaklah kamu buat enam papan bagi bahagian belakang Khemah Suci, iaitu di sebelah barat. 23Selain itu buatlah dua papan untuk sudut-sudut di bahagian belakang Khemah Suci. 24Kedua-dua rangka papan bahagian sudut itu hendaklah dua kali ganda tebalnya dari situ sampai bawah dan muat betul-betul ke dalam gegelang pertama. 25Jadi, hendaklah ada lapan rangka papan lengkap dengan enam belas lesung pasak daripada perak iaitu dua lesung pasak di bawah setiap rangka papan. 26Hendaklah kamu buat palang daripada kayu akasia: lima batang kayu palang untuk rangka papan di satu sisi Khemah Suci, 27dan lima batang kayu palang bagi rangka papan di sisi yang setentang dengannya, dan lima batang kayu palang bagi rangka papan di sisi belakang, iaitu bahagian sebelah barat di belakang Khemah Suci. 28Kayu palang yang di tengah hendaklah melintang dari hujung ke hujung, setinggi setengah rangka papan itu. 29Salutlah rangka papan itu dengan emas, dan buatlah gegelang emas tempat memasukkan kayu-kayu palang itu. Salutlah juga kayu-kayu palang itu dengan emas. 30Hendaklah kamu dirikan Khemah Suci itu mengikut reka bentuk yang telah ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu. 31Berikutnya, buatlah tabir daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal. Sulamlah arca kerubin buatan seorang pereka yang mahir pada tabir itu. 32Gantungkanlah tabir itu dengan cangkuk-cangkuk emas pada empat batang tiang daripada kayu akasia yang disalut dengan emas dan disangga oleh empat lesung pasak daripada perak. 33AGantungkanlah tabir itu di bawah pengancing itu dan bawalah masuk tabut loh hukum ke balik tabir. Tabir itu menjadi pemisah bagimu antara Tempat Suci dengan Tempat Yang Maha Suci. 34Di dalam Tempat Yang Maha Suci itu letakkanlah penutup pendamaian di atas tabut loh hukum. 35Letakkanlah meja di luar tabir berdekatan dengan sisi sebelah utara Khemah Suci, lalu letakkanlah kaki pelita dekat rusuk sebelah selatan, berhadapan dengan meja itu. 36Selanjutnya hendaklah kamu suruh agar dibuat tabir bagi pintu khemah itu daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, dihiasi dengan sulaman. 37Lalu hendaklah kamu suruh agar dibuat lima batang tiang daripada kayu akasia bagi tabir itu dan salutlah dengan emas. Buat pulalah cangkuk-cangkuk daripada emas, dan buatlah leburan lima gegelung pengancing daripada gangsa bagi tiang-tiang itu.