Alkitab Versi Borneo |
Peraturan tentang hamba berbangsa Ibrani 1Inilah peraturan-peraturan yang harus kamu sampaikan kepada mereka. 2AJika engkau membeli seorang hamba bangsa Ibrani, dia hanya boleh berkhidmat denganmu selama enam tahun sahaja. Pada tahun ketujuh, dia hendaklah keluar sebagai orang bebas tanpa dikenakan tuntutan. 3Jika datangnya seorang diri, maka dia harus keluar seorang diri juga. Jika dia telah mempunyai isteri, maka isterinya harus keluar juga bersama-samanya. 4Jika tuannya memberinya seorang isteri dan perempuan itu melahirkan anak lelaki atau perempuan untuknya, maka isterinya itu dengan anak-anaknya tetap menjadi milik tuannya. Hamba itu harus keluar seorang diri. 5Tetapi jika hamba itu berkata dengan sejelas-jelasnya demikian, "Aku mengasihi tuanku, serta isteriku dan anakku. Aku tidak mahu keluar sebagai orang bebas," 6maka tuannya harus membawanya ke hadapan Allah, kemudian membawanya ke pintu atau ke tiang pintu untuk menindik telinganya dengan penindik. Maka, dengan itu, dia akan menjadi hamba tuannya seumur hidup. 7Jika seseorang menjual anak perempuannya sebagai hamba, maka hamba perempuan itu tidak boleh keluar dan bebas seperti hamba lelaki. 8Jika perempuan itu tidak disukai oleh tuannya yang telah memilihnya untuk dirinya, maka dia harus mengizinkan perempuan itu ditebus semula. Dia tidak berhak menjualnya kepada bangsa asing, kerana dia tidak menepati janjinya kepada perempuan itu. 9Jika dia memilih perempuan itu untuk anak lelakinya, dia harus melayaninya sebagaimana seharusnya anak perempuan dilayan. 10Jika dia memperisteri perempuan lain, maka dia tidak boleh mengurangi makanan bagi perempuan itu, pakaiannya, dan juga nafkah batinnya. 11Jika dia tidak memenuhi ketiga-tiga hal itu, maka perempuan itu boleh keluar dengan bebas tanpa dikenakan tuntutan. Peraturan tentang kecederaan 12BSesiapa yang memukul orang hingga mati, dia pasti dihukum mati. 13CMeskipun begitu, jika pembunuhan itu tidak disengajakan dan Allah membiarkan tangannya berbuat demikian, maka Aku akan menentukan bagimu suatu tempat ke mana dia dapat lari. 14Jika seseorang berbuat zalim kepada sesamanya dan membunuhnya dengan tipu muslihat, maka engkau harus mengambil orang itu dari mazbah atau tempat pembakaran korban-Ku dan menjalankan hukuman mati atasnya. 15Sesiapa yang memukul ayahnya atau ibunya, dia pasti dihukum mati. 16DSesiapa yang menculik seseorang, sama ada orang itu sudah dijualnya atau masih dalam tangannya, dia pasti dihukum mati. 17ESesiapa yang mengutuk ayahnya atau ibunya, dia pasti dihukum mati. 18Jika ada orang bertengkar lalu salah seorang memukul yang lain dengan batu atau penumbuknya, dan mangsa itu tidak mati tetapi perlu terbaring di tempat tidur 19serta kemudian dapat bangkit dan berjalan lagi di luar dengan memakai tongkat, maka orang yang memukulnya itu bebas daripada kesalahan. Dia hanya perlu mengganti kerugian orang itu kerana orang itu harus berhenti bekerja, dan dia harus menanggung biaya pengubatannya sampai sembuh. 20Jika seseorang memukul hambanya baik lelaki mahupun perempuan dengan tongkat hingga hamba itu mati di tangannya, dia pasti dihukum. 21Tetapi jika hamba itu masih hidup satu dua hari, dia tidak akan dihukum kerana hamba itu miliknya sendiri. 22Jika ada orang berkelahi dan tidak sengaja memukul seorang perempuan yang mengandung sehingga kandungannya itu gugur walaupun perempuan itu selamat, maka orang itu pasti didenda sebanyak yang dikenakan oleh suami perempuan itu kepadanya, dan dia harus membayarnya untuk menepati apa yang diputuskan hakim. 23Tetapi jika berlaku kecederaan yang parah, engkau harus membayar nyawa diganti nyawa, 24Fmata diganti mata, gigi diganti gigi, tangan diganti tangan, kaki diganti kaki, 25luka terbakar diganti luka terbakar, luka diganti luka, dan bilur diganti bilur. 26Jika seseorang memukul mata hamba lelakinya atau mata hamba perempuannya hingga merosakkannya, maka dia harus memerdekakan hamba itu untuk mengganti matanya itu. 27Jika dipukulnya sampai tertanggal gigi hamba lelakinya atau gigi hamba perempuannya, maka dia harus membebaskan hamba itu untuk mengganti giginya itu. 28Jika seekor lembu menanduk seorang lelaki atau perempuan sehingga mati orang itu maka lembu itu mesti direjam dan dagingnya tidak boleh dimakan, sedangkan pemilik lembu itu bebas daripada kesalahan. 29Akan tetapi, jika lembu itu sejak dahulu memang sering menanduk dan pemiliknya tidak mahu menjaganya walaupun sudah diberikan peringatan, lalu lembu itu menanduk mati seorang lelaki atau perempuan, maka lembu itu harus direjam dan pemiliknya pun harus dihukum mati. 30Namun begitu, jika sejumlah wang tebusan ditanggungkan kepadanya, maka dia hendaklah membayar semua yang ditanggungkan kepadanya itu sebagai tebusan nyawanya. 31Jika lembu itu menanduk seorang anak lelaki atau perempuan, maka peraturan itu berkuat kuasa pula atas pemiliknya. 32Jika lembu itu menanduk seorang hamba lelaki atau hamba perempuan, maka pemiliknya harus membayar tiga puluh syikal perak kepada pemilik hamba itu, dan lembu itu hendaklah direjam. 33Jika seseorang membuka sebuah lubang, atau jika seseorang menggali sebuah lubang dan tidak menutupnya, lalu seekor lembu atau keldai jatuh ke dalamnya, 34maka pemilik lubang itu harus membayar ganti rugi. Hendaklah dia membayar mengikut harga binatang itu kepada pemiliknya, dan bangkai binatang itu menjadi miliknya. 35Jika lembu seseorang melukai lembu orang lain sampai mati, maka lembu yang hidup itu harus dijual dan wangnya harus dibahagi dua. Lembu yang mati itu pun harus dibahagi dua. 36Akan tetapi, jika sudah diketahui bahawa lembu itu sejak dahulu sering menanduk, dan pemiliknya tidak mahu menjaganya, maka dia harus membayar ganti rugi penuh, lembu mengganti lembu, sedangkan bangkai itu menjadi miliknya.