Alkitab Versi Borneo |
Perayaan Paskahi dimulakan
1ADemikianlah firman TUHAN kepada Musa dan Harun di Tanah Mesir, 2"Bulan ini akan menjadi bulan pertama bagimu dalam setahun. 3Katakanlah kepada seluruh jemaah Israel demikian, 'Pada hari kesepuluh dalam bulan ini setiap orang hendaklah mengambil seekor anak domba menurut isi rumah kaum keluarganya, seekor anak domba untuk setiap isi rumah. 4Jika satu isi rumah terlalu kecil untuk menghabiskan seekor anak domba, maka bersama dengan isi rumah tetangga yang terdekat hendaklah mengambil seekor domba menurut jumlah orang di sana. Cuba kira berapa banyak anak domba yang diperlukan memenuhi jumlah yang dapat dimakan oleh setiap orang. 5Hendaklah anak domba atau anak kambing itu – kamu boleh memilihnya – jantan, berumur setahun, dan tiada cacat celanya. 6Kamu hendaklah menjaganya sampai hari keempat belas dalam bulan ini, lalu setelah itu seluruh jemaah Israel hendaklah menyembelihnya pada waktu senja. 7Hendaklah darahnya diambil sedikit lalu disapukan pada kedua-dua tiang pintu serta pada ambang setiap daun pintu rumah di mana orang memakan domba tersebut. 8Dagingnya, yang sudah dipanggang di atas api, harus dimakan mereka pada malam itu juga dengan roti yang tidak beragi serta sayur herba pahit. 9Janganlah makan daging itu mentah-mentah atau setelah direbus di dalam air, tetapi makanlah setelah dipanggang di atas api lengkap dengan kepala, kaki, dan isi perutnya. 10Jangan tinggalkan sisa-sisanya sampai pagi. Kesemua sisa yang tertinggal sampai pagi hendaklah kamu bakar habis. 11Beginilah kamu harus memakannya, iaitu dengan pinggang berikat, kaki berkasut, dan dengan tongkat di tanganmu. Kamu harus memakannya dengan terburu-buru kerana itulah Perayaan Paskah bagi TUHAN.
12Pada malam itu juga, Aku akan melintasi Tanah Mesir dan menyerang semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak manusia sampai anak binatang. Akan Kuhukum semua tuhan sembahan warga Mesir. Akulah TUHAN. 13Darah itu akan menjadi tanda bagimu di rumah-rumah yang kamu diami. Apabila Aku melihat darah itu, maka Aku akan melalui kamu sehingga rumahmu tidak ditimpa azab kemusnahan pada waktu Aku mengazabkan Tanah Mesir. 14BHari ini akan menjadi hari yang harus kamu ingati. Kamu hendaklah merayakannya turun-temurun sebagai hari perayaan bagi TUHAN, dan perayaan itu hendaklah menjadi ketetapan buat selama-lamanya.
15Kamu harus makan roti yang tidak beragi tujuh hari lamanya. Pada hari pertama, buanglah ragi dari rumahmu, kerana sesiapa pun makan sesuatu yang beragi dari hari pertama sampai hari ketujuh, hendaklah dia disingkirkan daripada Israel. 16Pada hari pertama adakanlah perhimpunan jemaah yang suci, demikian pula pada hari ketujuh. Pada hari-hari itu tidak boleh dilakukan pekerjaan apa-apa pun, kecuali mempersiapkan makanan yang harus dimakan oleh setiap orang. 17Rayakanlah selalu Perayaan Roti Tidak Beragi, kerana tepat pada hari ini Aku membawa rombonganmu keluar dari Tanah Mesir. Oleh sebab itu rayakanlah selalu hari ini turun-temurun sebagai suatu ketetapan untuk selama-lamanya. 18Mulai dari petang hari pada hari keempat belas bulan pertama, makanlah roti yang tidak beragi sampai pada petang hari pada hari kedua puluh satu bulan itu juga. 19Tujuh hari lamanya tidak boleh ada ragi dalam rumahmu, kerana sesiapa pun makan sesuatu yang beragi, dia harus disingkirkan daripada antara jemaah Israel, baik pendatang mahupun warga asli. 20Apa pun yang beragi tidak boleh kamu makan. Di seluruh tempat tinggalmu kamu harus makan roti yang tidak beragi." 21Kemudian Musa memanggil semua tua-tua Israel dan berkata kepada mereka, "Pergilah, ambillah anak domba bagi kaum keluargamu, dan sembelihlah domba Paskah. 22Ambillah seikat ranting hisop, celuplah di dalam darah yang telah ditempatkan dalam sebuah mangkuk, lalu sapukanlah darah itu pada ambang pintu serta kedua-dua tiang pintu rumah. Tiada seorang pun dalam kalangan kamu boleh keluar dari pintu rumahnya sampai pagi hari, 23Ckerana TUHAN akan melintas untuk mengazabkan warga Mesir. Apabila Dia melihat darah pada ambang pintu serta kedua-dua tiang pintu sesebuah rumah, maka TUHAN akan melalui pintu itu dan tidak membiarkan pemusnah masuk ke dalam rumahmu untuk mengazabkan kamu. 24Lakukanlah hal ini setiap kali dan jadikannya sebagai suatu ketetapan bagimu serta bagi anak-anakmu buat selama-lamanya. 25Jadi, apabila kamu telah memasuki negeri yang akan TUHAN kurniakan kepadamu seperti yang difirmankan-Nya, kamu hendaklah terus memegang ibadat ini. 26Nanti, apabila anak-anakmu bertanya kepadamu, 'Apakah erti ibadat ini kepada Ayah?' 27maka kamu harus menjawab, 'Ini korban Paskah bagi TUHAN. Ketika TUHAN mengazabkan warga Mesir, Dia melalui rumah-rumah orang Israel di Mesir dan menyelamatkan rumah-rumah kita.' "
Lalu orang Israel menundukkan kepala dan sujud menyembah. 28Kemudian pergilah orang Israel, melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa dan Harun.
Azab kesepuluh: matinya anak sulung
29DPada tengah malam TUHAN mematikan semua anak sulung di Tanah Mesir, daripada anak sulung Firaun yang duduk di atas takhta sampai anak sulung para tawanan yang ada di dalam kurungan bawah tanah, juga semua anak sulung haiwan. 30Maka bangunlah Firaun pada malam itu, demikian pula semua pegawainya dan semua warga Mesir. Lalu terdengarlah tangisan yang dahsyat di Mesir, kerana tidak ada rumah yang tidak berlaku kematian. 31Pada malam itu juga Firaun memanggil Musa dan Harun, katanya, "Segeralah keluar daripada kalangan rakyatku, baik kamu mahupun orang Israel! Pergilah, beribadatlah kepada TUHAN seperti katamu itu. 32Bawalah pula kawanan domba dan kawanan lembumu seperti katamu itu, lalu pergilah. Mohonkanlah juga berkat bagiku." 33Warga Mesir juga mendesak orang Israel itu untuk pergi dengan segera dari negeri itu, kerana kata mereka, "Nanti kami semua mati." 34Kemudian orang Israel itu mengambil segala wadah berisi adunan yang belum diragi, lalu membungkusnya dengan pakaian dan memikulnya di atas bahu mereka. 35EOrang Israel juga melaksanakan apa yang dikatakan oleh Musa. Mereka meminta daripada orang Mesir barang-barang perak, barang-barang emas, dan pakaian. 36TUHAN membuat orang Mesir berbaik hati kepada umat-Nya itu, sehingga permintaan mereka dipenuhi. Demikianlah mereka menjarah warga Mesir.
Orang Israel keluar dari Mesir 37Setelah itu, berangkatlah orang Israel dari Raamses menuju Sukot. Jumlah mereka 600,000 orang lelaki, tidak termasuk perempuan dan kanak-kanak. 38Ada ramai juga daripada pelbagai bangsa yang ikut pergi bersama-sama, dan tentunya bersama dengan kawanan ternakan yang sangat besar jumlahnya, baik kawanan domba mahupun kawanan lembu. 39Mereka membakar roti tanpa ragi daripada adunan yang dibawa mereka dari Mesir. Adunan itu memang belum beragi, kerana mereka diusir dari Mesir dan tidak boleh berlengah. Mereka juga tidak sempat menyediakan bekal untuk keperluan mereka. 40FSelama empat ratus tiga puluh tahun orang Israel bermastautin di Mesir. 41Sesudah empat ratus tiga puluh tahun, tepat pada hari itu, keluarlah seluruh rombongan umat TUHAN dari Tanah Mesir. 42Malam itu malam yang harus tertumpu pada hal memperingati TUHAN yang telah membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Itulah malam yang harus diperingati oleh seluruh orang Israel, turun-temurun.
Ketetapan lebih lanjut bagi Perayaan Paskah
43TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, "Inilah ketetapan tentang korban hari Paskah: Tiada seorang pun warga asing yang boleh memakannya. 44Setiap hamba yang dibeli dengan wang dan setelah kamu menyunatkannya barulah boleh memakannya. 45Seorang perantau dan orang upahan tidak boleh memakannya. 46GPaskah itu harus dimakan di dalam sesebuah rumah. Kamu tidak boleh membawa sedikit pun daripada daging itu ke luar rumah. Selain itu, sebatang tulang pun tidak boleh kamu patahkan. 47Seluruh jemaah Israel harus merayakan hari Paskah. 48Apabila seorang pendatang yang tinggal di tengah-tengah kalangan kamu mahu merayakan Paskah juga bagi TUHAN, maka semua lelaki yang ada bersama-samanya harus disunatkan dahulu. Setelah itu, barulah dia boleh datang untuk merayakannya. Dia akan dianggap sama dengan warga asli. Tetapi orang yang tidak bersunat tidak boleh memakannya. 49Satu hukum berkuat kuasa bagi warga Israel dan bagi pendatang yang tinggal di tengah-tengah kamu." 50Maka seluruh orang Israel pun melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa dan Harun. 51Tepat pada hari itu TUHAN membawa segala rombongan orang Israel keluar dari Tanah Mesir.