Alkitab Versi Borneo |
Mordekhai diberi kehormatan 1Pada malam itu raja tidak dapat tidur lalu baginda memerintahkan agar kitab catatan babad diambil dan dibaca di hadapan baginda. 2Ada tertulis di dalam babad bahawa Mordekhai pernah melaporkan Bigtan dan Teres, dua orang sida raja yang menjaga pintu masuk kediaman diraja, berikhtiar untuk membunuh Raja Ahasyweros. 3Lalu bertanyalah raja, "Apakah kehormatan dan kebesaran yang dikurniakan kepada Mordekhai atas jasanya itu?" Jawab orang suruhan yang melayani baginda, "Apa-apa pun tidak dikurniakan kepadanya." 4Raja bertanya pula, "Siapakah yang berada di laman dalam itu?" Pada waktu itu Haman baru masuk ke laman luar istana raja untuk mengusulkan kepada raja supaya Mordekhai digantung pada tempat penggantungan yang telah disediakan untuknya. 5Jawab orang suruhan raja kepada baginda, "Haman yang berdiri di laman dalam." Kata raja, "Benarkan dia masuk." 6Setelah Haman masuk, bertanyalah raja kepadanya, "Kalau raja hendak memberikan kehormatan kepada seseorang, apakah yang sebaiknya dilakukan terhadap orang itu?" Maka Haman berkata dalam hatinya, "Selain aku, siapakah lagi yang raja mahu beri kehormatan?" 7Maka jawab Haman kepada raja, "Kalau raja hendak memberikan kehormatan kepada orang itu, 8hendaklah dikeluarkan pakaian diraja yang pernah dipakai raja dan kuda tunggangan raja sendiri yang di atas kepalanya diletakkan sebuah mahkota diraja. 9Hendaklah pakaian dan kuda itu diserahkan ke tangan seorang daripada para pembesar raja, iaitu daripada kaum bangsawan, kemudian orang itu harus memakaikannya kepada orang yang raja mahu beri kehormatan itu, dan seterusnya mengarak dia berkuda di lapangan kota sambil berseru di depannya, 'Beginilah diperlakukan kepada orang yang dihormati raja!' " 10Lalu raja bertitah kepada Haman, "Segeralah ambil pakaian dan kuda seperti yang kamu katakan itu dan lakukanlah sebegitu kepada Mordekhai, orang Yahudi itu, yang duduk di pintu gerbang istana diraja. Jangan ada sepatah kata pun yang kurang daripada semua yang kamu katakan itu." 11Maka Haman mengambil pakaian dan kuda itu, lalu mengenakannya kepada Mordekhai dan mengaraknya berkuda di lapangan kota sambil berseru di depannya, "Beginilah diperlakukan kepada orang yang dihormati raja!" 12Setelah itu, Mordekhai kembali ke pintu gerbang istana raja, tetapi Haman terburu-buru pulang ke rumahnya dengan berdukacita dan dengan kepalanya berselubung. 13Haman menceritakan kepada Zeres, isterinya, dan kepada semua sahabatnya tentang segala yang dialaminya. Para bijaksana dan juga Zeres, isterinya, berkata kepadanya, "Jika air mukamu sudah mulai jatuh di hadapan orang Yahudi iaitu Mordekhai itu, maka kamu tidak akan sanggup mengalahkan dia. Sebaliknya, kamu pasti jatuh di hadapannya." 14Pada waktu mereka sedang berbicara itu, datanglah bentara raja dan bersegeralah mereka membawa Haman ke jamuan yang diadakan oleh Ester itu.