Alkitab Versi Borneo |
Orang Israel diberi peringatan 1Dengarlah, wahai Israel! Pada hari ini kamu akan menyeberangi Sungai Yordan untuk memasuki dan menduduki wilayah bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripadamu dengan kota-kota yang besar dan kubu-kubu yang mencapai langit. 2Orang di situ, iaitu bani Enak, seperti kamu ketahui ramai bilangannya dan tinggi. Malah kamu mendengar tentang mereka, 'Siapakah yang mampu bertahan di hadapan bani Enak?' 3Tetapi ketahuilah pada hari ini bahawa Tuhan, Allahmu, Dialah yang akan maju di hadapanmu seperti api yang menghanguskan. Dia akan membinasakan kalangan itu dan akan menaklukkan mereka di hadapanmu. Dengan demikian kamu dapat mengusir dan membinasakan mereka dengan segera, seperti yang dijanjikan Tuhan kepadamu. 4Setelah Tuhan, Allahmu, mengusir mereka dari hadapanmu, janganlah kamu berkata demikian dalam hatimu, 'Kerana kesalihanku itu, maka Tuhan membawa aku masuk menduduki negeri ini.' Padahal, kerana kefasiqan bangsa-bangsa itulah Tuhan mengusir mereka dari hadapanmu. 5Bukan kesalihani atau ketulusan hatimu yang membuat kamu dapat masuk dan menduduki negeri mereka, melainkan kerana kefasiqan bangsa-bangsa itulah maka Tuhan, Allahmu, mengusir mereka dari hadapanmu demi menepati janji yang diikrarkan Tuhan atas sumpah kepada nenek moyangmu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub. 6Oleh sebab itu ketahuilah bahawa bukan kerana kesalihanmu, maka Tuhan, Allahmu, mengurniakan kepadamu negeri yang baik itu untuk diduduki. Sesungguhnya, engkau memang bangsa yang keras kepala! Sejarah ketegaran orang Israel 7Ingatlah dan jangan lupa bagaimana engkau membuat Tuhan, Allahmu, murka di gurun. Sejak engkau keluar dari Mesir sampai tiba di tempat ini, kamu terus menderhaka terhadap Tuhan. 8Di Horeb kamu membuat Tuhan murka, hingga begitu marah Dia terhadapmu dan hendak memusnahkan kamu. 9ASetelah aku naik ke gunung untuk menerima loh-loh batu, iaitu loh-loh berisi perjanjian yang diikat Tuhan dengan kamu, aku tinggal di gunung itu empat puluh hari empat puluh malam lamanya. Roti tidak kumakan dan air tidak kuminum. 10Kemudian Tuhan menyerahkan kepadaku dua loh batu yang ditulis oleh tangan Allah sendiri. Pada kedua-dua loh batu itu tertulis segala firman yang disampaikan Tuhan kepadamu di gunung itu dari tengah-tengah api, pada hari kamu berkumpul. 11Selepas empat puluh hari empat puluh malam, Tuhan menyerahkan kepadaku kedua-dua loh batu itu, iaitu loh-loh perjanjian. 12Kemudian Tuhan berfirman kepadaku, 'Bangkitlah dan turunlah dengan segera dari sini, kerana bangsamu yang kaupimpin keluar dari Mesir itu telah berbuat kemungkaran. Begitu cepatnya mereka menyimpang daripada jalan yang Kuperintahkan kepada mereka. Mereka telah menempa sebuah patung daripada logam tuangan.' 13Tuhan berfirman pula kepadaku, 'Aku telah melihat bangsa ini. Sesungguhnya, mereka memang bangsa yang keras kepala. 14Usah halang Aku. Aku akan memusnahkan mereka dan menghapuskan nama mereka dari kolong langit. Tetapi engkau akan Kubuat menjadi sebuah bangsa yang lebih kuat dan lebih besar daripada mereka.' 15Setelah itu, aku berpaling lalu turun dari gunung yang masih menyala-nyala itu dengan kedua-dua loh perjanjian di kedua-dua tanganku. 16Kemudian aku menyaksikan bahawa kamu telah berdosa terhadap Tuhan, Allahmu. Kamu membuat bagi dirimu sebuah arca anak lembu tuangan. Begitu cepatnya kamu menyimpang daripada jalan yang diperintahkan Tuhan kepadamu. 17Maka kugenggam kedua-dua loh itu, kuhempaskan daripada kedua-dua tanganku dan kupecahkan di hadapan matamu. 18Setelah itu, aku bersujud di hadapan Tuhan seperti sebelumnya, empat puluh hari empat puluh malam lamanya. Roti tidak kumakan dan air tidak kuminum kerana segala dosa yang telah kamu lakukan. Kamu telah melakukan perkara yang jahat di mata Tuhan sehingga kamu membangkitkan kemurkaan-Nya. 19BAku takut kerana Tuhan begitu murka dan marah terhadap kamu sehingga Dia hendak memusnahkan kamu. Namun demikian, kali itu pun Tuhan berkenan mendengar aku. 20Tuhan pun sangat murka terhadap Harun, sehingga Dia hendak membinasakannya. Maka pada waktu itu aku berdoa untuk Harun juga. 21Kemudian kuambil hasil perbuatanmu yang penuh dosa, iaitu arca anak lembu tuangan itu, lalu kubakar habis, kutumbuk, dan kugiling betul-betul sampai halus seperti debu. Setelah itu, kucampakkan debu itu ke sungai yang mengalir turun dari gunung. 22EDemikian jugalah di Tabera, di Masa, dan di Kibrot-Taawa, kamu membuat Tuhan murka. 23HPada waktu Tuhan menyuruh kamu pergi dari Kadesh-Barnea dengan berfirman, 'Majulah dan dudukilah negeri yang telah Kukurniakan kepadamu itu,' kamu menderhaka terhadap firman Tuhan, Allahmu. Kamu tidak percaya kepada-Nya dan tidak mahu mematuhi-Nya. 24Kamu telah menderhaka terhadap Tuhan sejak aku mengenal kamu. 25Maka bersujudlah aku di hadapan Tuhan. Empat puluh hari empat puluh malam lamanya aku bersujud kerana Tuhan telah berfirman hendak memusnahkan kamu. 26Aku berdoa kepada Tuhan demikian, 'Ya Tuhan Allah, janganlah musnahkan umat-Mu dan harta pusaka-Mu yang Kaubebaskan dengan kebesaran-Mu, dan yang Kaubawa keluar dari Mesir dengan tangan yang kuat. 27Ingatlah hamba-hamba-Mu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub. Janganlah Kauperhatikan kekerasan hati bangsa ini, juga kefasiqan dan dosa mereka. 28Jangan sampai negeri, dari mana Kaubawa kami keluar, berkata, "Kerana Tuhan tidak sanggup membawa mereka masuk ke negeri yang dijanjikan-Nya kepada mereka, dan kerana kebencian-Nya terhadap mereka, Dia membawa mereka keluar lalu membunuh mereka di gurun." 29Mereka ialah umat-Mu dan harta pusaka-Mu, yang Kaubawa keluar dengan kekuatan-Mu yang besar dan lengan-Mu yang terhulur.'