Alkitab Versi Borneo |
Perintah Tuhan yang terutama 1Inilah perintah, iaitu segala kanun dan peraturan yang kuajarkan kepadamu atas perintah Tuhan, Allahmu, untuk dilaksanakan di negeri yang akan kamu masuki serta duduki, 2supaya kamu dan anak cucumu takut kepada Tuhan, Allahmu, seumur hidupmu dengan berpegang teguh pada segala kanun serta perintah-Nya yang kusampaikan kepadamu, dan supaya lanjut umurmu. 3Jadi, dengarlah baik-baik, wahai Israel! Laksanakanlah semua itu dengan setia supaya baik keadaanmu dan supaya jumlahmu menjadi sangat ramai di negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu, seperti yang telah dijanjikan Tuhan, Allah nenek moyangmu, kepadamu. Memelihara perintah Allah 4ADengarlah, wahai Israel! Tuhan ialah Allah kita. Tuhan itu esa. 5BKasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dan dengan sepenuh kekuatanmu. 6CSimpanlah dalam hatimu kata-kata yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. 7Ajarkanlah kesemuanya dengan saksama kepada anak-anakmu dan bicarakanlah semua itu ketika engkau duduk di rumahmu, ketika engkau dalam perjalanan, ketika engkau berbaring, dan ketika engkau bangun. 8Ikatkanlah semua itu sebagai tanda peringatan pada tangan dan dahimu, 9kemudian tuliskanlah pada tiang-tiang pintu rumahmu dan pada pintu-pintu gerbangmu. 10FApabila Tuhan, Allahmu, telah membawa engkau masuk ke negeri yang telah Dia sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu, iaitu Abraham, Ishak, dan Yakub – kota-kota besar dan baik yang tidak engkau bangunkan, 11rumah-rumah yang penuh dengan segala sesuatu yang baik yang tidak kauisi, perigi-perigi yang tidak kaugali, kebun-kebun anggur dan pokok-pokok zaitun yang tidak kautanam – dan engkau makan sampai kenyang, 12berhati-hatilah, jangan sampai kaulupakan Tuhan yang telah membawamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. 13GTakutlah kepada Tuhan, Allahmu, beribadatlah kepada-Nya, dan bersumpahlah demi nama-Nya. 14Jangan ikuti tuhan-tuhan lain, iaitu tuhan daripada bangsa-bangsa yang ada di sekelilingmu, 15kerana Tuhan, Allahmu, yang hadir di tengah-tengahmu, sememangnya Allah yang cemburu. Jangan sampai murka Tuhan, Allahmu, menyala atasmu sehingga engkau dipunahkan-Nya dari muka bumi. 16IJanganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu, seperti engkau menduga Dia di Masa. 17Hendaklah kamu benar-benar berpegang teguh pada perintah-perintah Tuhan, Allahmu, serta segala peringatan dan kanun yang disampaikan-Nya kepadamu. 18Lakukanlah apa yang benar dan baik di mata Tuhan, supaya keadaanmu baik dan engkau dapat memasuki serta menduduki negeri yang baik, yang telah Tuhan sumpah untuk memberikan kepada nenek moyangmu 19dengan mengusir semua musuhmu dari hadapanmu, seperti yang difirmankan Tuhan. 20Apabila anakmu bertanya kepadamu pada masa depan yang akan datang, 'Apakah maknanya, ketetapan, kanun dan peraturan yang diperintahkan Tuhan, Allah kita, kepadamu?' 21maka katakanlah kepada anakmu, 'Dahulu kita hamba kepada Firaun di Mesir, tetapi Tuhan membawa kita keluar dari Mesir dengan tangan yang kuat. 22Di depan mata kita, Tuhan mengadakan tanda-tanda ajaib serta mukjizat-mukjizat besar yang membawa bencana terhadap Mesir, terhadap Firaun, dan terhadap seisi istananya. 23Lalu Dia mengeluarkan kita dari sana, membawa kita masuk ke sini, dan memberikan kepada kita negeri ini, seperti yang telah Dia sumpah untuk memberikan kepada nenek moyang kita. 24Tuhan memerintahkan agar kita melaksanakan segala kanun ini serta takut kepada Tuhan, Allah kita, supaya keadaan kita sentiasa baik dan supaya kita tetap hidup seperti pada hari ini. 25Kita akan dinyatakan benar jika kita melaksanakan kesemua perintah itu dengan setia di hadapan Tuhan, Allah kita, seperti yang diperintahkan-Nya kepada kita.'