Alkitab Versi Borneo |
Sepuluh hukum Allah 1Musa memanggil semua orang Israel dan berkata kepada mereka, "Dengarlah, wahai Israel, segala kanun dan peraturan yang kusampaikan kepadamu pada hari ini. Pelajarilah semua itu dan lakukanlah dengan setia. 2Tuhan, Allah kita, telah mengikat perjanjian dengan kita di Horeb. 3Bukan dengan nenek moyang kita Tuhan mengikat perjanjian ini, melainkan dengan kita, iaitu kita semua di sini yang masih hidup pada hari ini. 4Denganmu Tuhan bicara berhadap-hadapan di gunung, dari tengah-tengah api. 5(Pada waktu itu aku berdiri di antara Tuhan dengan kamu untuk memberitahukan firman Tuhan kepadamu, kerana kamu takut kepada api itu dan kamu tidak naik ke gunung itu.) Dia berfirman, 6'Akulah Tuhan, Allahmu, yang membawa kamu keluar dari Tanah Mesir, dari tempat perhambaan. 7Jangan ada padamu tuhan-tuhan lain selain Aku. 8AJangan buat patung ukiran untuk dirimu atau wujudkan apa pun yang ada di langit di atas, atau yang ada di bumi di bawah, atau di dalam air di bawah bumi. 9BJangan sujud menyembahnya atau beribadat kepadanya, kerana Aku, Tuhan, Allahmu, Allah yang cemburu. Aku membalas kesalahan ayah kepada anak-anaknya, kepada keturunan ketiga dan keempat daripada kalangan yang membenci Aku. 10Namun demikian, Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada keturunan yang keseribu dalam kalangan mereka yang mengasihi Aku dan yang taat berpegang teguh pada segala perintah-Ku. 11CJangan gunakan nama Tuhan, Allahmu, dengan sembarangan, kerana Tuhan akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan. 12DPeliharalah hari Sabat dan jagalah kesuciannya, seperti yang diperintahkan Tuhan, Allahmu, kepadamu. 13EEnam hari lamanya kamu harus bekerja dan melakukan segala pekerjaanmu, 14tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat bagi Tuhan, Allahmu. Pada hari itu jangan melakukan pekerjaan apa-apa pun baik kamu, anak lelakimu, anak perempuanmu, hambamu yang lelaki, hambamu yang perempuan, lembumu, keldaimu, mahupun haiwanmu, juga pendatang yang ada di kotamu. Dengan demikian hambamu baik lelaki mahupun perempuan dapat beristirahat, sama seperti kamu. 15Ingatlah bahawa kamu pun pernah menjadi hamba di Tanah Mesir, tetapi Tuhan, Allahmu, telah membawa kamu keluar dari sana dengan tangan yang perkasa dan lengan yang terhulur. Itulah sebabnya Tuhan, Allahmu, memerintahkan kamu untuk memelihara hari Sabat. 16GHormatilah ibu bapamu, seperti yang telah diperintahkan Tuhan, Allahmu, kepadamu, supaya lanjut umurmu dan baik keadaanmu di tanah yang dikurniakan Tuhan, Allahmu, kepadamu. 17HJangan membunuh. 18IJangan berzina. 19JJangan mencuri. 20KJangan memberi kesaksian palsu terhadap sesamamu. 21LJangan ingini isteri sesamamu. Jangan dambakan rumah sesamamu, demikian pula ladangnya, hambanya baik lelaki mahupun perempuan, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimiliki oleh sesamamu.' 22MItulah firman yang disampaikan Tuhan kepada seluruh jemaahmu dengan suara gemuruh di gunung, dari tengah-tengah api, awan, dan kelam pekat. Dia tidak menambahkan apa-apa lagi. Setelah itu, Dia menulis semua itu pada dua loh batu lalu menyerahkannya kepadaku. Orang Israel takut menghadapi kemuliaan Allah 23Sebaik sahaja kamu mendengar suara itu di tengah-tengah kegelapan sementara gunung itu menyala-nyala dengan api, maka kamu, iaitu semua ketua sukumu dan tua-tuamu, mendatangi aku. 24Kamu berkata, 'Sesungguhnya Tuhan, Allah kita, telah memperlihatkan kepada kita kemuliaan-Nya dan kebesaran-Nya, bahkan kita telah mendengar suara-Nya dari tengah-tengah api. Pada hari ini kami telah melihat Allah berfirman kepada manusia tetapi manusia itu tetap hidup. 25Sekarang, mengapakah kami harus mati? Api yang besar ini akan menghanguskan kami! Jika lebih lama lagi kami mendengar suara Tuhan, Allah kita, kami akan mati. 26Kerana makhluk manakah yang dapat tetap hidup setelah mendengar suara Allah yang hidup itu berfirman dari tengah-tengah api, seperti yang kami dengar? 27Tuan sajalah yang tampil dekat dan mendengar semua yang difirmankan Tuhan, Allah kita. Setelah itu, sampaikanlah kepada kami segala yang difirmankan Tuhan, Allah kita, kepada tuan. Kami akan mendengar serta melaksanakannya.' 28Tuhan mendengar kata-katamu ketika kamu berbicara kepadaku. Lalu Tuhan berfirman kepadaku, 'Aku telah mendengar kata-kata yang disampaikan bangsa ini kepadamu. Semua yang dikatakan mereka itu baik. 29Kalau sahaja hati mereka tetap begitu, selalu takut kepada-Ku dan berpegang teguh pada segala perintah-Ku, sehingga keadaan mereka serta anak-anak mereka baik untuk selama-lamanya! 30Pergilah, katakan kepada mereka, "Kembalilah ke khemahmu." 31Akan tetapi, engkau tinggallah di sini bersama-sama Aku dan akan Aku sampaikan kepadamu segala perintah, kanun, dan peraturan yang harus kauajarkan kepada mereka, supaya mereka melaksanakannya di negeri yang Kukurniakan kepada mereka menjadi milik mereka.' 32Jadi, lakukanlah semua itu dengan setia, seperti yang diperintahkan Tuhan, Allahmu, kepadamu. Jangan menyimpang ke kanan atau ke kiri. 33Tempuhlah segala jalan yang diperintahkan Tuhan, Allahmu, kepadamu supaya kamu dapat hidup, keadaan kamu baik, dan lanjut umurmu di negeri yang akan kamu miliki.