Alkitab Versi Borneo |
Penglihatan keempat: Bakul dengan Buah-buahan 1Inilah yang diperlihatkan Tuhan Allah kepadaku: Lihatlah sebuah bakul berisi buah-buahan musim panas. 2Firman-Nya, "Apa yang kaulihat, Amos?" Jawabku, "Sebuah bakul berisi buah-buahan musim panas." Firman Tuhan kepadaku, "Kesudahan telah datang bagi umat-Ku Israel. Aku tidak lagi akan membiarkan kemungkaran mereka begitu sahaja. 3Pada masa itu kelak, segala nyanyian di Bait Suci akan menjadi raungan," demikianlah firman Tuhan Allah, "dan akan ada banyak bangkai yang dibuang orang secara diam-diam ke serata tempat." Peringatan terhadap orang yang memangsakan sesama manusia 4Dengarlah ini, wahai kamu yang menginjak-injak golongan yang melarat, dan yang melenyapkan fakir miskin di negeri ini, 5dan yang berkata, "Bilakah tamatnya bulan baru ini supaya kita dapat menjual gandum, dan bilakah berakhirnya hari Sabat ini supaya kita dapat menjual gandum dengan mengecilkan efai, membesarkan syikal dan berbuat curang dengan neraca tipuan; 6supaya kita dapat membeli fakir miskin dengan perak dan orang melarat dengan sepasang kasut serta menjual sekam bersama-sama gandumnya?" 7Tuhan telah bersumpah demi keangkuhan Yakub, "Sesungguhnya, Aku tidak akan melupakan segala perbuatan mereka. 8Tidakkah negeri ini akan gementar kerana hal itu dan setiap penduduknya akan berkabung? Bukankah seluruh negeri itu kelak meluap seperti Sungai Nil, bergelora dan surut seperti Sungai Nil di Mesir." Ratapan pada Hari Penghakiman 9"Pada hari itu," demikianlah firman Tuhan Allah, "Aku akan membuat matahari terbenam pada tengah hari dan bumi menggelap sewaktu rembang tengah hari. 10Akan Kuubah perayaan-perayaanmu kepada perkabungan, dan segala nyanyianmu kepada ratapan. Kain perkabungan akan Kukenakan pada setiap pinggang dan setiap kepala akan Kugondolkan. Aku akan menjadikan hal itu seperti perkabungan atas kematian si anak tunggal dan kesudahannya seperti hari yang getir." Lapar dan haus akan Firman Allah 11"Sesungguhnya, akan datang waktunya," demikianlah firman Tuhan Allah, "Aku akan menimpakan kebuluran atas negeri ini – bukan kelaparan dan kehausan kerana tiada makanan atau tiada air, melainkan untuk mendengar firman Tuhan. 12Mereka akan mengembara dari laut ke laut dan dari utara ke timur, serta menjelajah untuk mencari firman Tuhan, tetapi mereka tidak akan menemukannya. 13Pada waktu itu para perawan yang cantik dan para pemuda akan lemah lesu kerana haus. 14Itulah kalangan yang bersumpah demi Asima, dewi Samaria,
dan yang berkata, 'Demi tuhanmu yang hidup, wahai Dan!'
atau, 'Demi tuhanmuii Bersyeba yang hidup!' –
mereka akan jatuh dan tidak akan bangun lagi."