Alkitab Versi Borneo |
Nabi penyampai pesan Allah 1Dengarlah firman ini yang disampaikan Tuhan menentang kamu, hai orang Israel, menentang seluruh kaum yang telah Kutuntun keluar dari Tanah Mesir, bunyinya, 2"Hanyalah kamu yang Kupilih daripada semua kaum di bumi. Oleh sebab itu Aku akan menghukum kamu atas sebab segala kesalahanmu. 3Adakah dua orang akan berjalan bersama-sama sekiranya mereka belum bermuafakat? 4Adakah singa mengaum di dalam hutan sebelum ada mangsa dalam cengkamannya? Adakah singa muda bersuara dari dalam sarangnya kalau belum menangkap apa-apa? 5Masakan burung terjebak masuk perangkap di tanah kalau tiada denak dipasang untuk memikatnya? Masakan perangkap bingkas dari tanah jika belum ada apa-apa yang terjebak? 6Kalau sangkakala ditiup di dalam kota, masakan rakyat tidak gementar? Masakan terjadi malapetaka di sebuah kota jika bala itu bukan Tuhan yang datangkan? 7Sesungguhnya, Tuhan Allah tidak akan melakukan sesuatu tanpa menyingkapkan rahsia-Nya kepada para nabi, hamba-hamba-Nya. 8Apabila singa telah mengaum, siapakah yang tidak takut? Tuhan Allah telah berfirman, maka siapakah yang tidak bernubuat?" Pesan Ilahi tentang keruntuhan Israel 9Canangkanlah di dalam puri-puri di Asdod dan di dalam puri-puri di Tanah Mesir. Katakanlah, "Berkumpullah di gunung-gunung sekitar Samaria. Lihatlah kegemparan besar yang ada di dalamnya dan penindasan yang berlaku di tengah-tengahnya." 10"Mereka tidak tahu berbuat jujur," demikianlah firman Tuhan, "merekalah yang menimbunkan kekerasan dan perompakan di dalam puri-puri mereka." 11Maka itu beginilah firman Tuhan Allah, "Akan ada satu lawan yang mengepung negeri itu, yang akan merosotkan kekuatanmu dan menjarah puri-purimu." 12Beginilah firman Tuhan, "Sebagaimana seorang gembala melepaskan dari dalam mulut singa dua belah kaki atau sepotong telinga, demikianlah orang Israel yang tinggal di Samaria akan dilepaskan di sudut tempat tidur dan sepenggal daripada kaki katil." 13"Dengarlah dan bersaksilah menentang keturunan kaum Yakub," demikianlah firman Tuhan Allah, Allah alam semesta. 14A"Pada waktu Aku menghukum Israel atas sebab segala pelanggarannya, Aku juga akan menjatuhkan hukuman atas mazbah-mazbah di Betel. Tanduk-tanduk mazbah itu akan dipenggal dan akan jatuh ke tanah. 15Akan Kurobohkan kediaman musim dingin serta kediaman musim panas. Rumah-rumah daripada gading akan musnah dan rumah-rumah besar akan ditiadakan," demikianlah firman Tuhan.