Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kisah Para Rasul 25

A A A
Alkitab Versi Borneo

Penghakiman Paulus di hadapan Festus

1Tiga hari selepas Festus tiba di wilayah itu, dia berangkat dari Kaisarea ke Yerusalem. 2Ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh Paulus di hadapan Festus. 3Mereka memohon jasa baik Festus menghantar Paulus ke Yerusalem kerana mereka telah berpakat hendak membunuhnya di pertengahan jalan. 4Akan tetapi, Festus menjawab bahawa Paulus terpenjara di Kaisarea dan dia sendiri pun hendak segera ke sana. 5Dia berkata, "Oleh itu, hendaklah orang yang berkuasa antara kamu berangkat ke sana bersamaku dan mendakwa orang itu, jika dia telah melakukannya."

6Setelah tinggal di Yerusalem kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, Festus pun berangkat ke Kaisarea. Pada esoknya dia duduk sebagai hakim di mahkamah lalu menyuruh orang membawa Paulus menghadapnya. 7Setelah Paulus masuk, semua orang Yahudi yang datang dari Yerusalem itu berdiri mengelilinginya serta menuduhnya atas beberapa kesalahan yang berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka. 8Kemudian Paulus membela dirinya sendiri dan berkata "Satu pun tiada kesalahanku, terhadap hukum orang Yahudi, atau terhadap Bait Suci, atau terhadap Kaisar."

9Akan tetapi, Festus hendak mengambil hati orang Yahudi lalu bertanya kepada Paulus, "Mahukah kamu pergi ke Yerusalem supaya aku mengadili perkaramu ini di sana?"

10Paulus menjawab, "Aku sekarang berdiri di mahkamah Kaisar, dan di sinilah aku patut dibicarakan. Aku tidak pernah melakukan sesuatu yang buruk terhadap orang Yahudi, sebagaimana kamu terlebih maklum. 11Kalaulah aku bersalah, atau telah melakukan sesuatu yang patut aku dibunuh, aku tidaklah enggan mati; tetapi jika segala tuduhan mereka ke atas aku itu tidak benar, tiada seorang pun yang boleh menyerahkanku kepada mereka. Aku hendak mengadu kepada Kaisar."

12Setelah berbincang dengan semua penasihatnya, Festus menjawab, "Kamu hendak mengadu kepada Kaisar; pergilah menghadap Kaisar!"

Festus berbincang dengan Raja Agripa

13Beberapa hari kemudian, Raja Agripa berangkat bersama Bernike ke Kaisarea untuk meraikan kedatangan Festus. 14Dalam beberapa hari raja itu tinggal di sana, Festus menceritakan hal Paulus kepadanya, "Di sini ada seorang yang ditinggalkan oleh Feliks di dalam penjara. 15Ketika aku di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh orang itu dan meminta supaya dia dihukum. 16Tetapi aku menjawab bahawa menurut adat orang Romawi, seseorang itu tidak boleh diserahkan sebelum berhadapan dengan pendakwanya dan diberi peluang membela diri. 17Apabila mereka datang ke sini, esoknya tanpa berlengah-lengah aku duduk sebagai hakim dan mengarahkan supaya orang itu dibawa masuk ke mahkamah. 18Para pendakwanya mengemukakan tuduhan tetapi tiada satu pun merupakan perbuatan jahat sebagaimana aku jangkakan. 19Semua tuduhan itu berlegar sekitar perselisihan tentang agama, tentang seorang bernama Yesus yang sudah mati dan dikatakan hidup semula oleh Paulus. 20Aku pun tidak tahu bagaimana hendak mengadili hal itu, lalu bertanya kalau dia mahu ke Yerusalem supaya dibicarakan di sana. 21Tetapi Paulus meminta tangguh, hendak mengadukan halnya supaya dibicarakan di hadapan yang maha mulia Kaisar; lalu aku menyuruh dia dipenjarakan hingga aku menghantarnya kepada Kaisar."

22Agripa berkata, "Aku pun ingin mendengar orang itu."

Festus menjawab, "Esok dapatlah kamu mendengarnya."

Paulus di hadapan Agripa

23Pada esoknya Agripa dan Bernike berangkat dengan selengkap kebesarannya, masuk ke dalam balai mahkamah bersama para panglima dan orang yang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa masuk. 24Festus berkata, "Tuanku Raja Agripa dan sidang hadirin. Orang ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak patut dibiarkan hidup lagi. 25Tetapi pada pandangan aku, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan yang patut dijatuhi hukuman mati. Oleh sebab dia sendiri hendak mengadukan halnya kepada yang maha mulia Kaisar, aku telah memutuskan akan menghantarnya kepada Kaisar. 26Namun demikian, tiada suatu pun yang pasti untuk aku tuliskan tentangnya kepada Kaisar. Itulah sebabnya aku membawanya menghadapmu, dan terutamanya Raja Agripa. Setelah dia disoal nanti, bolehlah didapati sesuatu untuk aku tuliskan. 27Pada pandanganku, tidaklah wajar menghantarkan seseorang untuk diadili tanpa menyatakan tuduhan ke atasnya dengan jelas."