Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kisah Para Rasul 24

A A A
Alkitab Versi Borneo

Paulus di hadapan Feliks

1Selepas lima hari, Ananias imam besar datang ke Kaisarea dengan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi dan seorang peguam bernama Tertulus. Mereka menuduh Paulus di hadapan gabenori itu. 2Setelah Paulus dipanggil hadir, Tertulus memulakan dakwaannya: "Feliks yang mulia, dengan limpah kurnia dan kebijaksanaanmu, kami hidup sejahtera dan menikmati perubahan yang baik di negeri ini. 3Kami amat berterima kasih atas segala yang telah kamu lakukan. 4Kerana tidak ingin mengambil terlalu banyak masamu, aku memohon kebaikan kamu untuk mendengar dakwaanku yang ringkas ini. 5Kami telah mendapati orang ini pengacau dan menimbulkan huru-hara dalam kalangan orang Yahudi di serata dunia. Dialah pemimpin mazhab ajaran orang Nazaret itu. 6Malah dia cuba menajiskan Bait Suci tetapi kami menangkapnya dan hendak mengadilinya menurut hukum kami. 7Akan tetapi, ketua pasukan tentera Lisias datang lalu merampasnya daripada kami. 8Dia mengarahkan kami, pendakwa-pendakwa orang ini, supaya menghadapmu. Jika kamu menyoal orang ini, kamu akan mendapati bahawa segala tuduhan kami ini benar." 9Orang Yahudi turut serta menuduh Paulus, dan mengatakan bahawa segala yang dikatakan itu benar.

10Setelah menerima isyarat daripada gabenor yang menyuruhnya bercakap, Paulus menjawab dakwaan itu demikian: "Aku tahu kamu telah lama menjadi hakim di negeri ini. Oleh itu, aku dengan senang hati mengadukan hal kepadamu. 11Hanya dua belas hari yang lalu aku telah pergi ke Yerusalem untuk beribadat. 12Aku tidak didapati berbincang dengan sesiapa atau menghimpunkan orang ramai itu untuk menimbulkan huru-hara, baik di Bait Suci, saumaah,ii atau di mana-mana di kota itu. 13Para pendakwa juga tidak dapat membuktikan kepadamu segala tuduhan mereka terhadapku. 14Aku mengaku di hadapanmu bahawa aku menyembah Allah nenek moyang kami, menurut Jalan Tuhan yang dianggap salah oleh mereka. Aku juga percaya dan berpegang kepada hukum Taurat, dan segala yang tersurat dalam kitab nabi-nabi. 15Seperti mereka juga, aku berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian kelak, sama ada orang benar ataupun orang jahat. 16Oleh itu, aku sentiasa berusaha supaya hati nuraniku bersih daripada kesalahan kepada Allah dan kepada manusia.

17ASelepas beberapa tahun di tempat-tempat lain, aku ke Yerusalem membawa derma untuk bangsaku, dan mempersembahkan korban. 18Mereka mendapati aku di dalam Bait Suci setelah aku menyucikan diri; aku tidak membawa kumpulan yang besar dan tidak mencetuskan huru-hara. 19Ketika itu ada beberapa orang Yahudi dari Asia. Merekalah yang patut menghadap kamu di sini untuk mendakwa, kalaulah ada sesuatu yang patut didakwa tentang aku. 20Ataupun biarlah orang di sini menyatakan apa kesalahan yang didapati pada diriku ketika aku berdiri di hadapan majlis mereka itu. 21BPada waktu itu aku hanya melafazkan kata-kata yang sama, iaitu, 'Tentang kebangkitan daripada kematianlah aku didakwa di hadapanmu pada hari ini.' "

22Feliks menangguhkan perbicaraan walaupun dia memahami selok-belok agama berkenaan. Dia berkata, "Apabila Lisias, ketua pasukan tentera itu, datang nanti, aku akan menyelesaikan perkara ini." 23Dia mengarahkan ketua tentera menahan Paulus tetapi secara longgar, dan membenarkan sahabat-sahabatnya membawa apa-apa untuknya.

24Beberapa hari kemudian, Feliks datang bersama isterinya Drusila, seorang Yahudi. Dia menyuruh orang memanggil Paulus lalu mendengar penerangannya tentang iman terhadap Kristus Yesus. 25Apabila Paulus bercakap tentang perbenaran,iii tentang penguasaan diri, dan tentang hukuman yang akan datang pada hari kemudian, Feliks ketakutan lalu berkata, "Pergilah sekarang. Apabila ada kesempatan nanti, aku akan memanggilmu lagi." 26Dalam pada itu dia berharap Paulus akan memberikan wang kepadanya. Oleh itu, dia kerap kali menyuruh orang memanggil Paulus lalu bercakap dengannya.

27Dua tahun kemudian, Feliks digantikan oleh Perkius Festus. Feliks membiarkan Paulus terpenjara kerana hendak mengambil hati orang Yahudi.