Alkitab Versi Borneo |
Yoahas, raja Israel 1Pada tahun kedua puluh tiga pemerintahan Yoas anak Ahazia, raja Yehuda, Yoahas anak Yehu menaiki takhta atas Israel di Samaria. Dia bertakhta selama tujuh belas tahun, 2dan melakukan apa yang jahat di mata Tuhan. Dia hidup menurut dosa-dosa Yerobeam anak Nebat yang menyebabkan orang Israel turut berdosa, dan tidak menjauhi segala kemungkaran itu. 3Maka menyalalah murka Tuhan atas Israel sehingga selama zaman itu, secara berterusan Dia menyerahkan mereka ke dalam tangan Hazael, raja Aram, serta Benhadad anak Hazael. 4Lalu Yoahas memohon belas kasihan Tuhan, dan Tuhan mendengar permintaannya, kerana Dia melihat bagaimana beratnya raja Aram menindas orang Israel. 5Maka Tuhan mengurniakan seorang penyelamat kepada orang Israel, sehingga mereka terlepas daripada tekanan orang Aram. Orang Israel pun tinggal di khemah-khemah mereka seperti dahulu. 6Namun begitu, mereka tidak juga menjauhkan diri daripada dosa-dosa keluarga Yerobeam yang menyebabkan orang Israel turut berdosa, melainkan hidup di dalamnya. Patung Asyera pun masih berdiri di Samaria. 7Sebab tidak ada pasukan tentera yang ada dengan Yoahas kecuali lima puluh orang pasukan berkuda, sepuluh buah rata, dan sepuluh ribu orang askar berjalan kaki, kerana raja Aram telah membinasakan mereka dan membuat mereka seperti debu semasa pengirikan.
8Riwayat Yoahas selebihnya, semua yang dilakukannya, dan kejayaannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel? 9Lalu Yoahas dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dimakamkan di Samaria. Maka Yoas, anaknya, menaiki takhta menggantikannya. Yoas, raja Israel 10Pada tahun ketiga puluh tujuh zaman pemerintahan Yoas, raja Yehuda, Yoas anak Yoahas menaiki takhta atas Israel di Samaria. Dia bertakhta selama enam belas tahun lamanya, 11dan melakukan apa yang jahat di mata Tuhan. Dia tidak menjauhkan diri daripada segala dosa Yerobeam anak Nebat yang menyebabkan orang Israel turut berdosa, melainkan hidup di dalamnya. 12Riwayat Yoas selebihnya, semua yang dilakukannya, dan kejayaannya ketika dia berperang melawan Amazia, raja Yehuda, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel? 13Lalu Yoas dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dimakamkan di Samaria, di permakaman raja Israel. Maka bertakhtalah pula Yerobeam menggantikan ayahnya.
Kejadian menjelang kematian Elisa dan keajaiban dalam makamnya 14AKetika Elisa menderita sakit, yang kelak menyebabkan kematiannya, pergilah Yoas, raja Israel, mendapatkannya dan menangis di hadapannya, katanya, 'Bapaku, bapaku! Rata Israel dengan pasukan berkudanya!" 15Elisa berkata kepadanya, "Ambillah busur dan anak-anak panah," lalu Yoas mengambil busur dan anak-anak panah. 16Katanya lagi kepada raja Israel, "Tariklah busur itu." Ketika Yoas menariknya, Elisa meletakkan tangannya di atas tangan raja. 17Katanya, "Bukalah jendela sebelah timur," lalu dia membukanya. Kata Elisa, "Panahlah," lalu dia memanah. Kata Elisa, "Itu anak panah kemenangan daripada Tuhan, anak panah kemenangan atas Aram. Engkau akan mengalahkan orang Aram di Afek sampai mereka habis." 18Elisa berkata lagi, "Ambillah anak-anak panah itu," lalu dia mengambilnya. Katanya kepada raja Israel itu, "Pukulkanlah ke bumi," lalu dia memukulkannya tiga kali, kemudian berhenti. 19Tetapi hamba Allah itu marah kepadanya dan berkata, "Seharusnya engkau memukul lima atau enam kali. Dengan demikian engkau akan mengalahkan orang Aram sampai mereka habis. Jadi sekarang, engkau hanya akan mengalahkan orang Aram tiga kali sahaja." 20Elisa pun meninggal lalu dimakamkan. Pada awal tahun, gerombolan orang Moab sering memasuki negeri itu. 21Suatu kali, ketika beberapa orang sedang menguburkan mayat, tiba-tiba mereka melihat gerombolan datang. Lalu mereka mencampakkan mayat itu ke dalam makam Elisa. Sebaik sahaja tersentuh tulang-tulang Elisa, orang itu pun hidup kembali dan bangun berdiri di atas kedua-dua kakinya. Kemenangan Raja Yoas atas Aram
22Hazael, raja Aram, menindas orang Israel sepanjang pemerintahan Yoahas. 23Tetapi Tuhan mengasihani dan menyayangi mereka. Dia berpaling kepada mereka kerana perjanjian-Nya dengan Abraham, Ishak, dan Yakub. Sampai saat itu, Dia tidak berniat memusnahkan mereka atau membuang mereka dari hadirat-Nya.
24Lalu matilah Hazael, raja Aram. Maka Benhadad, anaknya, menaiki takhta menggantikannya. 25Kemudian Yoas anak Yoahas merebut kembali daripada tangan Benhadad anak Hazael kota-kota yang direbut Benhadad dalam peperangan daripada tangan Yoahas, ayah Yoas. Tiga kali Yoas mengalahkannya, dan dengan demikian dia mendapatkan kembali kota-kota Israel.