Alkitab Versi Borneo |
Harta rohani dalam bejana tanah 1Oleh itu, dengan belas kasihan Allah, kami mempunyai amanah pelayanan ini. Maka kami tidak tawar hati. 2Kami menolak semua perbuatan rahsia yang memalukan. Kami juga tidak melakukan tipu daya atau menyalahertikan firman Allah. Akan tetapi dengan menyatakan kebenaran, kami menyerahkan diri untuk dinilai oleh hati nurani semua orang di hadapan Allah. 3Namun demikian, sekiranya Injil yang kami sampaikan itu tetap terselubung juga, maka memanglah Injil itu terselubung bagi mereka yang akan binasa. 4Fikiran orang yang tidak beriman itu telah dibutakan oleh tuhan pujaan dunia, maka mereka tidak dapat melihat cahaya Injil tentang kemuliaan Kristus yang merupakan gambaran Allah. 5Kami tidak menyebarkan berita tentang diri kami, tetapi tentang Yesus Kristus sebagai Tuhan. Diri kami mengabdi kepadamu sebagai hamba kerana Yesus. 6AAllah telah berfirman, "Hendaklah cahaya bersinar dari dalam gelap." Allah juga yang telah membuat cahaya itu bersinar dalam hati kita, sehingga kita mendapat pengetahuan tentang kemuliaan Allah di wajah Yesus Kristus. 7Tetapi kami memiliki harta yang ada dalam bejana tanah liat supaya jelaslah bahawa kuasa yang melebihi segala-galanya berasal daripada Allah, bukan daripada diri sendiri. 8Dalam segala hal kami dihimpit, tetapi tidak hancur. Kami bingung, tetapi tidak putus asa. 9Kami dianiaya, tetapi tidak ditinggalkan. Kami dijatuhkan, tetapi tidak dimusnahkan. 10Ke mana-mana pun kami pergi, kami sentiasa membawa kematian Yesus dalam tubuh kami, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami. 11Kami yang masih hidup ini sentiasa diserahkan ke tangan maut demi Yesus, supaya kehidupan-Nya nyata dalam tubuh kami yang fana. 12Oleh itu, maut bekerja dalam diri kami, sebaliknya hidup bekerja dalam dirimu. 13BNamun demikian, oleh sebab kami mempunyai roh iman seperti yang tersurat, "Aku percaya, maka aku bersuara", kami pun berkata, "Kami percaya, maka kami bersuara." 14Kami tahu bahawa Dia yang telah membangkitkan Yesus, Tuhan kita, akan membangkitkan kami juga bersama Yesus, lalu menghadapkan kami bersama kamu kepada-Nya. 15Semuanya berlaku untukmu; dengan melimpahnya kasih kurnia kepada orang yang kian ramai, melimpah pulalah ucap syukur bagi kemuliaan Allah. 16Dengan demikian, kami tidak tawar hati. Walaupun manusia lahiriah kami kian merosot, namun manusia batiniah kami diperbaharu setiap hari. 17Kesusahan yang ringan dan hanya sedetik ini membawa bagi kami kemuliaan yang kekal tanpa bandingan. 18Kami tidak mementingkan hal-hal yang kelihatan, tetapi hal-hal yang tidak kelihatan; kerana yang kelihatan itu cuma sedetik, manakala yang tidak kelihatan itu kekal.