Alkitab Versi Borneo |
Paulus menentang rasul palsu 1Aku harap kamu akan bersabar dengan satu kebodohan kecilku. Sememangnya kamu bersabar denganku. 2Aku cemburu terhadapmu dengan cemburu ilahi; kerana aku telah menunangkan kamu dengan Kristus dan ingin menyerahkanmu kepada-Nya sebagai anak dara yang suci. 3ATetapi aku takut kalau-kalau fikiranmu akan dicemari sebagaimana Hawa telah diperdaya oleh ular dengan kepintarannya, sehingga kamu berpaling daripada kesetiaanmu yang murni kepada Kristus. 4Jika seseorang datang menyebarkan perkhabaran tentang Yesus yang lain daripada yang kami ajarkan; atau kamu memperoleh roh yang lain daripada yang telah kamu peroleh, atau Injil yang lain daripada yang telah kamu terima; mungkin sekali kamu bersabar sahaja terhadapnya. 5Aku rasa aku tidaklah kurang berbanding rasul-rasul yang unggul itu. 6Sungguhpun aku tidak terlatih dalam bertutur kata, namun aku tidaklah kekurangan dalam pengetahuan. Kami telah ternyata sepenuhnya kepadamu dalam segala hal. 7Berdosakah aku merendahkan diriku supaya kamu ditinggikan, kerana aku menyampaikan Injil Allah kepadamu tanpa mengenakan bayaran? 8Aku telah "merompak" jemaah-jemaah lain dengan menerima ganjaran daripada mereka untuk melayanimu. 9BApabila aku berada dalam kalanganmu, dalam keadaanku yang serba kurang, aku tidak membebani sesiapa pun di antaramu; kerana segala keperluanku dipenuhi oleh saudara-saudara kita dari Makedonia. Dalam segala hal aku memastikan bahawa aku tidak menjadi beban kepadamu; dan demikianlah akan terus kulakukan. 10Sebagaimana kebenaran Kristus tetap ada dalam diriku, tiada siapa pun akan menghalangku daripada berbangga dalam hal ini di wilayah Akhaya. 11Mengapa? Kerana aku tidak mengasihimu? Allah yang tahu! 12Tetapi aku akan terus melakukan apa yang kulakukan sekarang, untuk menutup peluang bagi mereka yang mencari peluang supaya dianggap sama dengan kami dalam hal-hal yang dibanggakan mereka. 13Mereka ialah rasul palsu. Mereka berusaha dengan tipu daya dan menyamar sebagai rasul Kristus. 14Ini tidaklah menghairankan, kerana Iblis sendiri menyamar sebagai malaikat cahaya. 15Oleh itu, bukanlah suatu hal yang menakjubkan jika pelayan-pelayannya menyamar sebagai pelayan-pelayan yang benar. Akhirnya mereka akan menerima balasan setimpal dengan apa yang dikerjakan mereka. Paulus berbangga dengan penderitaannya 16Sekali lagi aku berkata, janganlah sesiapa menyangka aku bodoh. Tetapi sekiranya aku disangka begitu, terimalah aku sebagai orang bodoh, agar aku dapat berbangga sedikit. 17Apa yang kukatakan ini bukanlah menurut Tuhan tetapi selaku orang bodoh dalam keyakinan berbangga. 18Memandangkan ramai orang yang berbangga secara duniawi, maka aku akan berbangga juga; 19kerana kamu begitu senang hati bersabar dengan orang bodoh, sedangkan kamu bijak. 20Kamu bersabar dengan orang yang memperhamba kamu, yang menelanmu, yang memerangkapmu dengan tipu helah, yang meninggikan dirinya, yang menampar mukamu. 21Dalam hal demikian, dengan rasa malu aku mengaku, kami memang lemah. Tetapi jika orang lain berani berbangga tentang sesuatu sebagai orang bodoh aku berkata, aku juga berani. 22Adakah mereka berbangga kerana mereka orang Ibrani? Aku juga begitu. Kerana mereka bangsa Israel? Aku juga begitu. Kerana mereka keturunan Abraham? Aku juga begitu. 23CKerana mereka para pelayan Kristus? Aku berkata sebagai orang bodoh: Aku lebih lagi! Aku lebih banyak bertungkus-lumus, lebih kerap disebat, lebih sering dipenjarakan, selalu sahaja diancam maut. 24DLima kali, sebanyak empat puluh kurang satu sebatan setiap kalinya, aku disebat oleh orang Yahudi. 25FTiga kali aku dipukul dengan tongkat, sekali direjam, tiga kali ditimpa kejadian kapal karam, dan sehari semalam terkatung-katung di laut. 26HDalam perjalanan, sering kali aku menghadapi bahaya; bahaya dari sungai, bahaya daripada penyamun, bahaya daripada bangsaku sendiri orang Yahudi, bahaya daripada bangsa-bangsa lain, bahaya di kota, bahaya di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura sebagai saudara seiman. 27Aku sering keletihan bekerja keras, kurang tidur, kelaparan dan kehausan. Kerap kali aku terpaksa mengikat perut, menanggung kesejukan, kekurangan pakaian. 28Di samping itu, setiap hari aku dibebani rasa runsing dan prihatin terhadap semua jemaah. 29Jika seseorang lemah, tidakkah aku turut merasakan kelemahannya? Jika seseorang tersandung, masakan hatiku tidak sengsara kerananya! 30Sekiranya aku hendak berbangga, aku akan berbangga tentang kelemahan-kelemahanku. 31Allah, Bapa Tuhan Yesus yang terpuji selama-lamanya, tahu bahawa aku tidak berdusta. 32IGabenor kota Damsyik, di bawah pemerintahan Raja Aretas, menyuruh agar kota itu dijaga oleh tentera, untuk menangkapku. 33Tetapi aku diturunkan di dalam sebuah bakul melalui sebuah jendela di tembok kota itu, lalu aku terlepas daripada tangannya.