Alkitab Versi Borneo |
Raja Yosia merayakan Paskah 1Yosia merayakan Paskah bagi Tuhan di Yerusalem. Korban Paskah disembelih pada hari keempat belas pada bulan pertama. 2Dia menugaskan para imam menurut jawatan mereka dan menggalakkan mereka melaksanakan tugas di Bait Tuhan. 3Kepada bani Lewi, yang menjadi pengajar seluruh orang Israel dan orang suci Tuhan, dia berkata, "Taruhlah tabut suci di dalam bait yang dibina oleh Salomo anak Daud, raja Israel. Tak usah lagi kamu mengusungnya. Sekarang, perhambakanlah diri kepada Tuhan, Allahmu, dan kepada umat-Nya Israel. 4ABersiaplah menurut kaum-kaum keluargamu selaras dengan regumu, seperti yang ditulis oleh Daud, raja Israel, juga oleh Salomo, anaknya. 5Berdirilah di tempat suci menurut golongan kaum keluarga saudara-saudaramu, iaitu kaum awam, sehingga masing-masing mendapat satu kaum keluarga bani Lewi. 6Sembelihlah korban Paskah, sucikanlah dirimu, dan adakanlah persediaan bagi para saudaramu, supaya dilaksanakan apa yang difirmankan Tuhan dengan perantaraan Musa." 7Kepada kaum awam, Yosia memberikan sumbangan peribadi sebanyak 30,000 ekor kambing dan domba, iaitu anak domba dan anak kambing, semuanya sebagai korban Paskah bagi semua orang yang hadir. Dia juga menyumbangkan 3,000 ekor lembu, semuanya daripada harta benda raja. 8Para pembesarnya pun memberikan sumbangan sukarela kepada rakyat, para imam, dan bani Lewi. Hilkia, Zakharia, dan Yehiel, para ketua pegawai Rumah Allah, memberikan kepada para imam 2,600 ekor korban Paskah dan tiga ratus ekor lembu. 9Konanya dan kedua-dua saudaranya, iaitu Semaya dan Netaneel, juga Hasabya, Yeiel, dan Yozabad, para pemimpin bani Lewi, menyumbangkan 5,000 ekor korban Paskah dan 500 ekor lembu kepada bani Lewi. 10Setelah ibadat disiapkan, berdirilah para imam di tempat mereka, juga bani Lewi menurut regu mereka selaras dengan perintah raja. 11Korban Paskah disembelih dan para imam memercikkan darah yang diterima mereka daripada bani Lewi, dan bani Lewi menguliti korban. 12Mereka menyisihkan korban bakaran untuk diberikan kepada kaum awam menurut pembahagian kaum keluarga mereka, supaya dipersembahkan kepada Tuhan seperti yang tertulis dalam kitab Musa. Demikian jugalah dilakukan terhadap lembu-lembu. 13BMereka memanggang korban Paskah di atas api selaras dengan peraturan yang ditetapkan, manakala segala persembahan suci direbus mereka di dalam periuk, kuali, dan belanga. Kemudian mereka cepat-cepat membawanya kepada seluruh kaum awam. 14Setelah itu, mereka menyediakannya bagi diri mereka sendiri dan bagi para imam, kerana para imam keturunan Harun sibuk mempersembahkan korban bakaran serta lemak sampai malam. Jadi, bani Lewi menyediakannya bagi diri mereka dan bagi para imam keturunan Harun. 15CPara penyanyi, iaitu bani Asaf, ada di tempat mereka selaras dengan perintah Daud, Asaf, Heman, dan Yedutun, pelihat raja itu. Para penjaga pintu gerbang ada di setiap pintu gerbang. Mereka tidak perlu meninggalkan tugas mereka kerana saudara-saudara mereka, bani Lewi, menyediakannya bagi mereka. 16Demikianlah seluruh ibadat bagi Tuhan disiapkan pada hari itu untuk merayakan Paskah dan untuk mempersembahkan korban bakaran di atas mazbah Tuhan selaras dengan perintah Raja Yosia. 17DPada waktu itu orang Israel yang hadir merayakan Paskah dan Perayaan Roti Tidak Beragi selama tujuh hari. 18Paskah seperti itu belum pernah dirayakan di Israel sejak zaman Nabi Samuel. Tiada raja Israel yang pernah merayakan Paskah seperti yang dirayakan Yosia bersama-sama para imam, bani Lewi, semua orang Yehuda dan orang Israel yang hadir, serta penduduk Yerusalem. 19Paskah itu dirayakan pada tahun kelapan belas zaman pemerintahan Yosia. Raja Yosia dibunuh oleh Raja Nekho 20Sesudah semua itu, ketika Bait Allah telah diperlengkap oleh Yosia, majulah Nekho, raja Mesir, untuk berperang di Karkemis, di tepi Sungai Efrat. Yosia pun keluar menghadapinya. 21Tetapi Nekho mengirim utusan kepadanya dengan pesan, "Apakah urusanmu dengan aku, wahai raja Yehuda? Pada hari ini aku tidak bermaksud menyerang engkau, melainkan menyerang keluarga orang yang sedang kuperangi. Allah menyuruh aku bertindak cepat. Berhentilah menentang Allah yang menyertaiku, supaya jangan engkau dibinasakan-Nya." 22Namun demikian, Yosia tidak mahu berpaling daripadanya, malah menyamar untuk berperang melawannya. Dia tidak mengendahkan perkataan Nekho yang berasal daripada Allah, malah pergi berperang di Lembah Megido. 23Raja Yosia tertembak oleh para pemanah, lalu katanya kepada para pegawainya, "Bawalah aku dari sini, kerana aku terluka parah!" 24Maka para pegawainya mengangkatnya dari ratanya, meletakkannya di dalam ratanya yang kedua lantas membawanya ke Yerusalem. Dia meninggal, lalu dimakamkan di permakaman leluhurnya. Yehuda dan Yerusalem berkabung kerana Yosia. 25Yeremia mengarang sebuah syair ratapan tentang Yosia. Sampai hari ini semua penyanyi lelaki dan perempuan menyebut-nyebut Yosia dalam syair ratapan mereka. Hal itu menjadi adat di Israel. Sesungguhnya, semua itu tertulis dalam nyanyian ratapan. 26Riwayat Yosia yang selebihnya dan segala perbuatan baiknya, selaras dengan yang tertulis dalam hukum Tuhan, 27iaitu riwayatnya dari awal sampai akhir, sesungguhnya semua itu tertulis dalam kitab raja-raja Israel dan Yehuda.