Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Tawarikh 30

A A A
Alkitab Versi Borneo

Raja Hizkia merayakan Paskah

1AHizkia mengirim pesan ke seluruh Israel dan Yehuda, bahkan menulis surat kepada orang Efraim dan Manasye supaya mereka datang ke Bait Tuhan di Yerusalem untuk merayakan Paskah bagi Tuhan, Allah Israel. 2Raja bersama-sama para pembesarnya dan seluruh jemaah di Yerusalem berunding untuk merayakan Paskah pada bulan kedua. 3Mereka memang tidak dapat merayakan Paskah pada waktunya, kerana belum cukup jumlah imam yang telah menyucikan dirinya, dan rakyat pun belum berkumpul di Yerusalem. 4Hal itu dipandang baik oleh raja serta seluruh jemaah. 5Mereka memutuskan untuk menyiarkan pengumuman di seluruh Israel, dari Bersyeba sampai Dan, supaya orang datang ke Yerusalem untuk merayakan Paskah bagi Tuhan, Allah Israel. Mereka memang belum pernah merayakannya secara menyeluruh dan besar-besaran di seluruh negeri sebagaimana yang tertulis.

6Maka bersegeralah perginya para pesuruh untuk membawa surat daripada raja dan para pembesarnya ke seluruh Israel serta Yehuda. Selaras dengan perintah raja, mereka berkata, "Wahai orang Israel, kembalilah kepada Tuhan, Allah Abraham, Ishak, dan Israel, supaya Dia juga kembali kepada kalangan umat yang tertinggal yang terselamat daripada tangan raja-raja Asyur. 7Janganlah seperti para bapamu dan para saudaramu yang berbuat mungkar terhadap Tuhan, Allah nenek moyang mereka, sehingga Dia menjadikan mereka suatu kengerian seperti yang kamu lihat sendiri. 8Sekarang, janganlah keras hati seperti nenek moyangmu, tetapi serahkanlah dirimu kepada Tuhan. Datanglah ke tempat suci-Nya, yang telah disucikan-Nya untuk selama-lamanya, dan beribadatlah kepada Tuhan, Allahmu, supaya surutlah hendaknya murka-Nya yang menyala-nyala terhadapmu. 9Jika kamu kembali kepada Tuhan, maka para saudaramu dan anak-anakmu akan mendapat belas kasihan di hadapan orang yang menawan mereka, sehingga mereka dapat kembali ke negeri ini, kerana Tuhan, Allahmu, sememangnya maha pengasih lagi maha penyayang. Dia tidak akan memalingkan wajah-Nya daripada dirimu jika kamu kembali kepada-Nya."

10Maka segeralah para pesuruh itu pergi dari kota ke kota, melalui Tanah Efraim dan Manasye, bahkan sampai ke Zebulon. Tetapi mereka ditertawakan dan diolok-olokkan. 11Namun demikian, ada juga beberapa orang dari Asyer, Manasye, dan Zebulon yang merendahkan diri lalu datang ke Yerusalem. 12Di Tanah Yehuda nyata pulalah tangan Allah membuat mereka sehati untuk melakukan perintah raja dan para pembesar selaras dengan firman Tuhan.

13Maka berkumpullah sejumlah besar rakyat di Yerusalem, sebuah jemaah yang sangat besar, untuk merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi pada bulan kedua. 14Mereka segera menyingkirkan mazbah-mazbah yang ada di Yerusalem. Semua tempat membakar dupa pun disingkirkan dan dibuang ke Lembah Kidron. 15Setelah itu, mereka menyembelih korban Paskah pada hari keempat belas pada bulan kedua. Para imam dan bani Lewi berasa malu, lalu menyucikan diri dan membawa korban-korban bakaran ke Bait Tuhan. 16Mereka berdiri di tempat masing-masing menurut peraturan yang ditetapkan, selaras dengan Kitab Suci Taurat yang disampaikan Allah melalui Musa, hamba Allah itu. Lalu para imam memercikkan darah yang diterima mereka daripada bani Lewi. 17Dalam jemaah ada ramai orang yang belum menyucikan diri. Oleh sebab itu bani Lewi bertanggungjawab atas penyembelihan domba Paskah bagi setiap orang yang belum suci, yang tidak dapat menyiapkan korbannya untuk dipersembahkan kepada Tuhan. 18Sejumlah besar rakyat, kebanyakan dari Efraim, Manasye, Isakhar, dan Zebulon, memang belum menyucikan diri. Namun demikian, mereka memakan korban Paskah juga, bertentangan dengan apa yang tertulis. Kerana itu Hizkia berdoa untuk mereka, katanya, "Tuhan Yang Maha Baik, semoga Engkau mengampuni setiap orang 19yang telah menetapkan hatinya untuk mencari Allah, iaitu Tuhan, Allah nenek moyangnya, sungguhpun orang itu tidak suci menurut aturan tempat suci." 20Tuhan mendengar Hizkia, dan Dia menyembuhkan bangsa itu. 21Orang Israel yang hadir di Yerusalem merayakan Perayaan Roti Tidak Beragi selama tujuh hari dengan kesukaan yang besar. Dengan nyaring, bani Lewi dan para imam memuji-muji Tuhan setiap hari dengan diiringi alat-alat muzik Tuhan. 22Hizkia menyampaikan pujian kepada semua bani Lewi yang memperlihatkan kecekapan yang baik dalam pengendalian ibadat kepada Tuhan.

Demikianlah orang makan makanan hari raya tujuh hari lamanya, mempersembahkan korban kedamaian, dan mengucap syukur kepada Tuhan, Allah nenek moyang mereka. 23Kemudian seluruh jemaah berunding untuk mengadakan perayaan tujuh hari lagi. Jadi, mereka pun mengadakan perayaan tujuh hari lagi dengan suka ria. 24Hizkia, raja Yehuda, menyumbangkan kepada jemaah seribu ekor lembu jantan dan tujuh ribu ekor domba. Para pembesar pun menyumbangkan kepada jemaah seribu ekor lembu jantan dan sepuluh ribu ekor domba. Sementara itu, ramai imam yang sudah menyucikan diri. 25Seluruh jemaah Yehuda bersuka ria bersama-sama para imam, bani Lewi, seluruh jemaah yang datang dari Israel, dan pendatang dari Tanah Israel serta yang tinggal di Tanah Yehuda. 26Demikianlah ada kesukaan yang besar di Yerusalem, kerana sejak zaman Salomo anak Daud, raja Israel, belum pernah terjadi peristiwa seperti itu di Yerusalem. 27Setelah itu, para imam Lewi segera memberkati rakyat. Suara mereka didengar Allah dan doa mereka sampai ke tempat kediaman-Nya yang suci di syurga.