Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Tawarikh 28

A A A
Alkitab Versi Borneo

Raja Ahas

1Ahas berumur dua puluh tahun ketika dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama enam belas tahun. Dia tidak melakukan apa yang benar di mata Tuhan seperti yang dilakukan Daud, leluhurnya, 2melainkan hidup mengikuti jejak raja-raja Israel. Malah dia membuat patung-patung tuangan bagi para Baal. 3Dia juga membakar dupa di Lembah Ben-Hinom dan membakar anak-anaknya dalam api, mengikuti amalan keji bangsa-bangsa yang telah dihalau Tuhan dari hadapan orang Israel. 4Dia mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan, di atas tempat-tempat tinggi dan di bawah setiap pokok yang rimbun.

5AOleh sebab itu Tuhan, Allahnya, menyerahkan dia ke dalam tangan raja Aram. Mereka mengalahkannya, menawan sejumlah besar warganya, dan membawa tawanan itu ke Damsyik. Selain itu, dia juga diserahkan ke dalam tangan raja Israel, yang mengalahkannya dengan suatu pembantaian besar. 6Dalam satu hari Pekah anak Remalya membunuh seratus dua puluh ribu orang di Yehuda, semuanya orang yang gagah perkasa, kerana mereka telah meninggalkan Tuhan, Allah nenek moyang mereka. 7Zikhri, kesateria dari Efraim, membunuh Maaseya, anak raja; Azrikam, ketua istana; dan Elkana, orang kedua setelah raja. 8Orang Israel menawan dua ratus ribu orang daripada kalangan saudara mereka, iaitu para wanita serta anak lelaki dan anak perempuan mereka. Banyaklah jarahan yang dirampas daripada orang itu dan kesemuanya dibawa ke Samaria.

9Namun demikian, di sana ada seorang nabi Tuhan yang bernama Oded. Dia pergi menemui tentera yang pulang ke Samaria itu dan berkata kepada mereka, "Lihatlah, kerana Tuhan, Allah nenek moyangmu, murka terhadap Yehuda, maka Dia menyerahkan mereka ke dalam tanganmu. Tetapi kamu telah membantai mereka dengan kegeraman yang sampai ke langit. 10Sekarang kamu berniat untuk menakluki bani Yehuda serta penduduk Yerusalem, lelaki atau perempuan, untuk dijadikan hambamu. Tetapi bukankah kamu sendiri berdosa terhadap Tuhan, Allahmu? 11Sekarang, dengarlah aku. Pulangkanlah para tawanan yang kamu ambil daripada kalangan para saudaramu itu, kerana murka Tuhan menyala-nyala terhadap kamu."

12Kemudian beberapa orang ketua bani Efraim, iaitu Azarya anak Yohanan, Berekhya anak Mesilemot, Yehizkia anak Salum, dan Amasa anak Hadlai, berdiri berhadapan dengan kalangan yang pulang dari perang itu 13dan berkata kepada mereka, "Jangan bawa tawanan-tawanan itu ke mari, kerana niatmu itu membuat kita bersalah terhadap Tuhan, sehingga akan bertambah-tambahlah dosa dan kesalahan kita. Sesungguhnya, kesalahan kita sudah cukup besar, dan murka-Nya menyala-nyala atas Israel." 14Maka kalangan bersenjata itu menyerahkan para tawanan dan barang jarahan mereka di hadapan para pemimpin serta seluruh jemaah. 15Kemudian orang yang disebut nama mereka bangkit dan mengambil para tawanan itu. Semua tawanan yang telanjang dikenakan pakaian daripada barang jarahan yang ada. Mereka diberi pakaian, kasut, makanan, dan minuman, juga diminyaki. Semua yang lemah daripada kalangan mereka diangkut dengan keldai. Mereka dipulangkan kepada saudara-saudara mereka di Yerikho, Kota Pokok Kurma. Sesudah itu, kembalilah orang Israel ke Samaria.

Ahas mengandalkan Asyur

16Pada waktu itu Raja Ahas mengirim utusan kepada raja Asyur untuk meminta bantuan, 17kerana orang Edom datang lagi lalu mengalahkan Yehuda dan mengangkut sejumlah tawanan. 18Selain itu orang Filistin juga menyerbu kota-kota di Dataran Rendah dan di Tanah Negeb Yehuda. Mereka merebut Bet-Semes, Ayalon, Gederot, dan juga Sokho, Timna, dan Gimzo, dengan kampung-kampungnya, lalu tinggal di sana. 19Tuhan memang merendahkan Yehuda kerana Ahas, raja Israel. Tindakannya di Yehuda tidak lagi terkendali dan dia berbuat mungkar terhadap Tuhan. 20Kemudian Tilgat-Pilneser, raja Asyur, datang kepadanya. Akan tetapi, dia malah menyesakkan Ahas, bukannya membantunya. 21Meskipun Ahas mengambil barang-barang dari Bait Tuhan, dari istana raja, dan dari rumah para pembesar lalu menyerahkannya kepada raja Asyur, hal itu tidaklah berfaedah baginya.

Dosa-dosa Ahas

22Pada masa kesesakan, Raja Ahas malah semakin mungkar terhadap Tuhan. 23Dia mempersembahkan korban kepada berhala-berhala orang Damsyik yang telah mengalahkannya. Fikirnya, "Kerana tuhan para raja Aram membantu mereka, aku hendak mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu supaya mereka membantu aku." Tetapi itulah yang menyebabkan keruntuhannya dan juga keruntuhan semua orang Israel. 24Ahas mengumpulkan segala alat kelengkapan Rumah Allah dan memotong-motong alat kelengkapan Rumah Allah itu. Dia menutup pintu-pintu Rumah Tuhan dan membuat bagi dirinya mazbah-mazbah di segenap penjuru Yerusalem. 25Di setiap kota di Yehuda dibuatnya bukit-bukit pemujaan untuk membakar dupa kepada tuhan-tuhan lain. Dengan demikian dia membangkitkan murka Tuhan, Allah nenek moyangnya.

26Riwayat Ahas yang selebihnya dan seluruh perilakunya, dari awal sampai akhir, sesungguhnya semua itu tertulis dalam kitab raja-raja Yehuda dan Israel. 27BLalu Ahas dibaringkan di sisi nenek moyangnya dan dia dimakamkan di dalam kota, di Yerusalem, tetapi jenazahnya tidak dibawa ke permakaman raja-raja Israel. Maka Hizkia, anaknya, menaiki takhta untuk menggantikannya.