Alkitab Versi Borneo |
Raja Amazia 1Amazia berumur dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Nama ibunya ialah Yoadan, dari Yerusalem. 2Dia melakukan apa yang benar di mata Tuhan, tetapi bukan dengan setulus hati. 3Sesudah kerajaan itu kukuh dalam kawalannya, dia menghukum mati para pegawainya yang telah membunuh raja, iaitu ayahnya. 4ATetapi para anak mereka tidak dihukumnya mati; iaitu sejajar dengan apa yang tertulis dalam Kitab Suci Taurat yang disampaikan Allah melalui Musa. Dalamnya Tuhan memberikan perintah: "Seorang ayah tidak boleh dihukum mati kerana anaknya, dan anak tidak boleh dihukum mati kerana ayahnya. Hendaklah setiap orang dihukum mati atas dosanya sendiri." 5Amazia mengumpulkan orang Yehuda. Kemudian dia menempatkan semua orang Yehuda dan Benyamin itu menurut kaum keluarga masing-masing di bawah pemimpin pasukan seribu dan pemimpin pasukan seratus. Dia membanci mereka yang berumur dua puluh tahun ke atas dan didapatinya ada tiga ratus ribu orang pilihan yang sanggup berperang, yang mampu mengendalikan tombak dan perisai. 6Dia juga mengupah seratus ribu orang kesateria yang gagah perkasa dari Israel dengan bayaran seratus talenta perak. 7Tetapi seorang hamba Allah datang menghadapinya dan berkata, "Ya Raja, janganlah tentera Israel pergi bersama tuanku, kerana Tuhan tidak menyertai orang Israel, iaitu seluruh bani Efraim. 8Jika tuanku mahu pergi juga, maka sehebat mana pun tindakan dan keberanian tuanku dalam peperangan, Allah akan membuat tuanku jatuh di depan musuh, kerana Dia berkuasa untuk menolong atau menjatuhkan." 9Kata Amazia kepada hamba Allah itu, "Tetapi apa yang harus kulakukan dengan seratus talenta yang telah kuberikan kepada pasukan Israel itu?" Jawab hamba Allah itu, "Tuhan dapat mengurniakan kepada tuanku lebih daripada itu." 10Maka Amazia memisahkan pasukan yang datang kepadanya dari Efraim, dan menyuruh mereka pulang ke rumah masing-masing. Maka amat marahlah mereka terhadap orang Yehuda, lalu mereka kembali ke tempat mereka dengan amarah yang menyala-nyala. 11Amazia menguatkan hatinya lalu membawa pasukannya maju ke Lembah Garam lantas menewaskan sepuluh ribu orang daripada bani Seir. 12Bani Yehuda pun menawan sepuluh ribu orang hidup-hidup, membawa mereka ke puncak bukit batu, dan mencampakkan mereka dari puncak bukit batu itu sehingga semuanya hancur terburai. 13Tetapi para anggota pasukan yang dikerah pulang oleh Amazia, iaitu mereka yang tidak dibenarkan pergi bersama-samanya ke medan perang, menyerbu kota-kota Yehuda dari Samaria sampai ke Bet-Horon. Mereka menewaskan tiga ribu orang penduduk dan mengambil banyak rampasan. 14Setelah Amazia menewaskan orang Edom itu, pulanglah dia sambil membawa berhala-berhala bani Seir. Didirikannya berhala-berhala itu sebagai tuhannya, lalu sujudlah dia menyembah dan membakar dupa di hadapan segala berhala itu. 15Oleh sebab itu menyalalah murka Tuhan terhadap Amazia. Diutus-Nya seorang nabi kepada Amazia, katanya, "Mengapakah tuanku mencari petunjuk tuhan suatu bangsa yang tidak dapat melepaskan bangsanya sendiri daripada tangan tuanku?" 16Namun demikian, sementara nabi itu berbicara dengan dia, berkatalah Amazia kepadanya, "Apakah kami mengangkat engkau menjadi penasihat raja? Diamlah! Haruskah engkau kubunuh?" Maka diamlah nabi itu, tetapi sebelumnya ia sempat berkata, "Sekarang hamba tahu bahawa Allah telah berketetapan untuk membinasakan tuanku, kerana tuanku telah melakukan hal ini dan tidak mendengar nasihat hamba." Peperangan melawan Israel 17Amazia, raja Yehuda, berunding lalu mengirim utusan kepada Yoas anak Yoahas anak Yehu, raja Israel, dengan pesan, "Mari kita berhadapan." 18Tetapi Yoas, raja Israel, mengirim utusan kepada Amazia, raja Yehuda, "Duri di Lebanon mengirim pesan kepada pokok araz di Lebanon, 'Berikanlah anak perempuanmu untuk menjadi isteri anakku.' Akan tetapi, seekor binatang liar di Lebanon berlalu dan menginjak-injak duri itu. 19Engkau berfikir bahawa engkau telah mengalahkan orang Edom, sehingga engkau mengangkat diri untuk bermegah. Sekarang, tinggal sajalah di istanamu! Apa gunanya menentang malapetaka sehingga engkau harus jatuh bersama-sama orang Yehuda?" 20Namun demikian, Amazia tidak mahu mendengarkannya. Memang Allah sudah menetapkan demikian supaya Dia dapat menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh, kerana mereka telah berlindung pada tuhan-tuhan orang Edom. 21Oleh sebab itu majulah Yoas, raja Israel, untuk berhadapan dengan Amazia, raja Yehuda, di Bet-Semes di Tanah Yehuda. 22Orang Yehuda dikalahkan di hadapan orang Israel, sehingga mereka lari ke khemah masing-masing. 23Yoas, raja Israel, menangkap Amazia, raja Yehuda, anak Yoas, anak Yoahas, di Bet-Semes dan membawanya ke Yerusalem. Dibongkarnya tembok Yerusalem dari Pintu Gerbang Efraim sampai ke Pintu Gerbang Sudut, sepanjang empat ratus hasta. 24Dia mengambil kesemua emas, perak, dan segala alat kelengkapan yang ada di dalam Rumah Allah di bawah pengawasan Obed-Edom, juga perbendaharaan istana raja dan para tawanan. Lalu pulanglah dia ke Samaria. 25Amazia anak Yoas, raja Yehuda, masih hidup lima belas tahun selepas kematian Yoas anak Yoahas, raja Israel. 26Riwayat Amazia yang selebihnya, dari awal hingga akhir, bukankah semua itu tertulis dalam kitab raja-raja Yehuda dan Israel? 27Sejak Amazia berpaling daripada Tuhan, ada pihak yang bersekongkol untuk melawan dia di Yerusalem, sehingga dia lari ke Lakhis. Tetapi mereka mengerahkan orang untuk mengejar dia ke Lakhis lalu membunuhnya di sana. 28Jenazahnya diangkut dengan kuda lalu dimakamkan di sisi nenek moyangnya di Kota Yehuda.