Alkitab Versi Borneo |
Atalya ditewas dan Yoas menjadi raja 1Pada tahun ketujuh Yoyada memberanikan diri lalu mengadakan permuafakatan dengan para pemimpin pasukan seratus, iaitu Azarya anak Yeroham, Ismael anak Yohanan, Azarya anak Obed, Maaseya anak Adaya, dan Elisafat anak Zikhri. 2Mereka mengelilingi Tanah Yehuda dan mengumpulkan bani Lewi dari semua kota di daerah Yehuda serta para ketua kaum keluarga Israel. Orang itu pun datang ke Yerusalem. 3AKemudian seluruh jemaah itu mengikat perjanjian dengan raja di Rumah Allah. Kata Yoyada kepada mereka, "Inilah anak raja! Dia akan bertakhta, seperti yang difirmankan Tuhan tentang keturunan Daud. 4Inilah hal yang harus kamu lakukan: sepertiga daripada kamu yang datang bertugas pada hari Sabat, baik imam mahupun bani Lewi, harus menjadi penjaga pintu, 5sepertiga lagi harus berada di istana raja, dan sepertiga yang lain di Pintu Gerbang Dasar, sedangkan seluruh rakyat harus berada di pelataran Bait Tuhan. 6Sesiapa pun tidak boleh masuk ke Bait Tuhan kecuali para imam dan bani Lewi yang menyelenggarakan ibadat. Mereka boleh masuk kerana mereka suci, tetapi seluruh rakyat harus berpegang teguh pada apa yang diwajibkan Tuhan bagi mereka. 7Orang Lewi harus mengelilingi raja dari segala penjuru dengan senjata di tangan masing-masing. Sesiapa pun yang memasuki bait harus ditumpas. Kamu harus menyertai raja ketika dia keluar atau masuk." 8Orang Lewi dan semua orang Yehuda melaksanakan semua yang diperintahkan Imam Yoyada. Mereka mengambil orang masing-masing, baik yang masuk bertugas pada hari Sabat mahupun yang bebas tugas pada hari Sabat, kerana Imam Yoyada tidak membebaskan regu-regu itu. 9Lalu Imam Yoyada menyerahkan kepada para pemimpin pasukan seratus itu sejumlah tombak, perisai, dan utar-utar milik Raja Daud yang ada di Rumah Allah. 10Seluruh rakyat disuruhnya berdiri di sisi kanan sampai ke sisi kiri Bait dengan senjata di tangan masing-masing. Mereka mengelilingi raja dekat mazbah, iaitu tempat pembakaran korban, dan dekat Bait itu. 11Kemudian mereka membawa anak raja keluar, mengenakan mahkota padanya, dan menyerahkan hukum Allah kepadanya. Mereka menobatkan dia sebagai raja, lalu Imam Yoyada serta anak-anaknya mentahbiskan dia. Mereka berseru, "Hidup Sang Raja!" 12Ketika Atalya mendengar suara orang berlarian sambil memuji-muji raja, pergilah ia menemui rakyat di Bait Tuhan. 13Setelah dia mengamat-amati, tampaklah raja berdiri dekat tiang di pintu masuk, sementara para pemimpin dan peniup nafiri ada di sisi raja. Seluruh rakyat negeri bersuka ria sambil meniup nafiri, sedangkan para penyanyi dengan alat-alat muzik mereka menjadi pemimpin puji-pujian. Maka Atalya mengoyakkan pakaiannya sambil berseru, "Penderhakaan! Penderhakaan!" 14Kemudian Imam Yoyada menyuruh keluar para pemimpin pasukan seratus, iaitu kalangan yang mengepalai pasukan, dan berkata kepada mereka, "Keluarkanlah dia daripada barisan! Hapuskanlah dengan pedang sesiapa yang berpihak kepadanya!" Imam memang telah berpesan, "Jangan biar dia dibunuh di Bait Tuhan." 15Oleh itu, mereka menangkap perempuan itu ketika dia sampai di jalan masuk istana raja melalui Pintu Gerbang Kuda, lalu dia dibunuh di situ. Yoyada mengadakan pembaharuan 16Yoyada mengikat perjanjian antara dia dengan seluruh rakyat dan raja, bahawa mereka akan menjadi umat Tuhan. 17Kemudian pergilah seluruh rakyat ke kuil Baal dan merobohkannya. Mereka menghancurkan mazbah-mazbahnya dan patung-patungnya serta membunuh Matan, imam Baal, di depan mazbah-mazbah itu. 18Lalu Yoyada menyerahkan pengawasan atas Bait Tuhan kepada para imam Lewi; tugas mereka di Bait Tuhan telah dibahagi-bahagikan oleh Daud. Dengan suka ria dan dengan nyanyian menurut petunjuk Daud, mereka harus mempersembahkan korban bakaran kepada Tuhan, seperti tertulis dalam Kitab Suci Taurat yang disampaikan Allah melalui Musa. 19Dia juga menempatkan penjaga-penjaga di pintu gerbang Bait Tuhan supaya jangan masuk seseorang yang najis kerana hal apa-apa pun. 20Sesudah itu dia mengajak ketua-ketua pasukan seratus, para bangsawan dan pemerintah rakyat serta seluruh rakyat negeri untuk membawa raja turun dari Bait Tuhan. Mereka masuk ke istana raja melalui Pintu Gerbang Atas dan mendudukkan raja di atas takhta kerajaan. 21Seluruh rakyat negeri bersuka ria dan kota itu pun sentosa setelah Atalya dibunuh dengan pedang.