Alkitab Versi Borneo |
Raja Ahazia 1Penduduk Yerusalem mengangkat Ahazia, anak Yoram yang bongsu, menjadi raja menggantikannya, kerana semua anaknya yang lebih tua umurnya telah dibunuh oleh gerombolan yang datang bersama orang Arab ke perkhemahan itu. Demikianlah Ahazia, anak Yoram raja Yehuda, menaiki takhta. 2Ahazia berumur dua puluh dua tahun ketika dia menaiki takhtai, dan dia bertakhta di Yerusalem selama satu tahun. Nama ibunya ialah Atalya anak Omri. 3Dia juga hidup mengikuti jejak keluarga Ahab, kerana ibunya menasihatinya untuk berbuat fasiq. 4Dia melakukan apa yang jahat di mata Tuhan seperti keluarga Ahab, kerana sesudah kematian ayahnya, mereka menjadi penasihat yang mendatangkan kebinasaan kepadanya. 5Bahkan kerana menuruti nasihat merekalah dia pergi menyertai Yoram anak Ahab, raja Israel, untuk berperang melawan Hazael, raja Aram, di Ramot-Gilead. Tetapi orang Aram melukakan Yoram. 6Maka kembalilah Yoram ke Yizreel untuk mendapat perubatan bagi luka-luka akibat serangan di Rama ketika berperang melawan Hazael, raja Aram. Kemudian Ahazia anak Yoram, raja Yehuda, pergi menjenguk Yoram anak Ahab di Yizreel kerana dia sakit. Panglima Yehu membunuh Raja Ahazia 7Kehancuran Ahazia ditentukan Allah ketika dia pergi menemui Yoram. Sesampainya di sana, keluarlah dia bersama-sama Yoram mendapatkan Yehu anak Nimsi, yang telah dilantik Tuhan untuk melenyapkan keluarga Ahab. 8Sewaktu Yehu sedang menjalankan hukuman atas keluarga Ahab, dia bertemu dengan para pembesar Yehuda dan anak-anak saudara-saudara Ahazia, yang melayani Ahazia. Mereka semua ditumpaskannya. 9Lalu dicarinya Ahazia. Ahazia pun tertangkap ketika dia bersembunyi di Samaria. Dia dibawa ke hadapan Yehu lalu dihukum mati. Jenazahnya dimakamkan juga, kerana kata orang, "Dia ini cucu Yosafat, yang mencari hadirat Tuhan dengan segenap hatinya." Tidak ada orang lagi dalam keluarga Ahazia yang mampu memerintah kerajaan itu. Atalya membunuh keturunan raja 10Ketika Atalya, ibu Ahazia, melihat bahawa anaknya sudah mati, maka dibunuhnya segera semua keturunan raja daripada keturunan kaum Yehuda. 11Tetapi Yosabat, anak perempuan Raja Yoram, mengambil Yoas anak Ahazia dan membawanya pergi dengan diam-diam daripada kalangan anak raja yang hendak dibunuh itu. Yosabatii iaitu isteri Imam Yoyada dan saudara Ahazia, memasukkan Yoas bersama inang penyusunya ke dalam bilik tidur. Demikianlah Yosabat menyembunyikan Yoas daripada Atalya sehingga tidak dibunuh oleh Atalya. 12Jadi, Yoas bersembunyi dengan mereka di Rumah Allah selama enam tahun sementara Atalya bertakhta atas negeri itu.