Alkitab Versi Borneo |
Raja Abia 1Pada tahun kelapan belas zaman pemerintahan Raja Yerobeam, Abia menaiki takhta atas Yehuda. 2Tiga tahun lamanya dia bertakhta di Yerusalem. Nama ibunya ialah Mikhaya anak Uriel, dari Gibea. Kemudian terjadi peperangan antara Abia dengan Yerobeam. 3Abia memulai perang dengan pasukan kesateria perang sebanyak empat ratus ribu orang pilihan, sedangkan Yerobeam mengatur barisan perangnya untuk melawan Abia dengan lapan ratus ribu orang pilihan, para kesateria yang gagah perkasa. 4Lalu Abia berdiri di Gunung Zemaraim, yang terletak di Pergunungan Efraim, dan berkata, "Dengarlah aku, wahai Yerobeam dan semua orang Israel! 5Tidakkah kamu tahu bahawa Tuhan, Allah Israel, telah mengurniakan kuasa atas kerajaan Israel kepada Daud dan keturunannya untuk selama-lamanya dengan suatu perjanjian garam? 6Tetapi Yerobeam anak Nebat, hamba Salomo anak Daud, bangkit memberontak melawan tuannya. 7Para bangsat iaitu orang dursila, bergabung dengannya, lalu mereka memantapkan diri untuk melawan Rehabeam anak Salomo. Pada waktu itu Rehabeam masih muda dan tidak berpengalaman, sehingga dia tidak dapat bertahan melawan mereka. 8Sekarang, kamu fikir bahawa kamu dapat bertahan melawan kerajaan Tuhan yang dipercayakan kepada keturunan Daud, kerana jumlah kamu ramai dan padamu ada patung-patung anak lembu emas yang dibuat Yerobeam sebagai berhalamu. 9Bukankah kamu telah menyingkirkan imam-imam Tuhan, bani Harun, dan bani Lewi, lalu mengangkat bagimu imam-imam seperti bangsa-bangsa negeri lain? Sesiapa pun yang datang membaktikan diri dengan membawa seekor lembu jantan muda dan tujuh ekor domba jantan dijadikan imam untuk sesuatu yang bukan Allah. 10Tetapi bagi kami, Tuhan ialah Allah kami, dan kami tidak meninggalkan Dia. Para imam yang menyelenggarakan ibadat kepada Tuhan ialah bani Harun, sedangkan bani Lewi melaksanakan tugas mereka. 11Setiap pagi dan setiap petang mereka membakar korban bakaran dan dupa harum untuk dipersembahkan kepada Tuhan. Mereka mengatur roti persembahan di meja yang suci, dan menyalakan pelita-pelita pada kaki pelita emas setiap petang. Kami memegang kewajipan terhadap Tuhan, Allah kami, tetapi kamu telah meninggalkan Dia. 12Sesungguhnya, Allah menyertai dan mengepalai kami. Para imam-Nya bersiap dengan nafiri untuk meniup tanda serangan terhadap kamu. Wahai orang Israel, jangan berperang melawan Tuhan, Allah nenek moyangmu, kerana kamu tidak akan berhasil." 13Akan tetapi, Yerobeam menyuruh pasukan penyergapan berjalan melingkar dari belakang orang Yehuda, sehingga pasukan Israel berada di depan orang Yehuda dan pasukan penyergapan di belakang mereka. 14Ketika orang Yehuda menoleh, tampak bahawa mereka harus menghadapi peperangan itu dari depan dan dari belakang. Mereka pun berseru kepada Tuhan, sementara para imam meniup nafiri. 15Orang Yehuda memperdengarkan sorak perang. Ketika orang Yehuda bersorak, Allah memukul kalah Yerobeam dan semua orang Israel di hadapan Abia serta orang Yehuda. 16Orang Israel melarikan diri dari hadapan orang Yehuda, dan Allah menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Yehuda. 17Abia dan pasukannya mengalahkan mereka dengan pembantaian besar-besaran, hingga daripada Israel tewas terbunuh lima ratus ribu orang pilihan. 18Demikianlah orang Israel ditaklukkan pada waktu itu, sedangkan bani Yehuda semakin kuat kerana mereka bersandar kepada Tuhan, Allah nenek moyang mereka. 19Abia mengejar Yerobeam dan merebut beberapa kota daripadanya, iaitu Betel, Yesana, dan Efron, semuanya dengan kampung-kampungnya. 20Yerobeam tidak pernah mendapat kekuatan lagi pada zaman Abia. Akhirnya Tuhan menghukum dia, sehingga dia mati. 21Abia semakin kuat. Dia memiliki empat belas orang isteri dan dikurniai dua puluh dua orang anak lelaki serta enam belas orang anak perempuan. 22Riwayat Abia yang selebihnya, jalan hidupnya dan perkataan-perkataannya, tertulis dalam kitab sejarah Nabi Ido.