Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Tawarikh 12

A A A
Alkitab Versi Borneo

Raja Sisak menyerang Yerusalem

1Ketika kerajaan Rehabeam sudah kukuh dan kedudukannya sudah kuat, dia serta seluruh Israel meninggalkan hukum Tuhan. 2Oleh sebab mereka berbuat mungkar terhadap Tuhan, majulah Sisak, raja Mesir, menyerang Yerusalem, pada tahun kelima zaman pemerintahan Raja Rehabeam. 3Sisak membawa seribu dua ratus buah rata dan enam puluh ribu pasukan berkuda. Pasukan yang datang bersama-samanya dari Mesir pun tidak terhitung banyaknya, iaitu orang Libia, orang Suki, dan orang Kush. 4Direbutnya kota-kota berkubu di Yehuda sampai sejauh Yerusalem.

5Kemudian datanglah Nabi Semaya menghadap Rehabeam dan para pembesar Yehuda yang berkumpul di Yerusalem kerana Sisak. Katanya kepada mereka, "Beginilah firman Tuhan, 'Kamu sudah meninggalkan Aku, sebab itu Aku pun meninggalkan kamu dalam kuasa Sisak.' "

6Maka para pembesar Israel dan raja merendahkan diri lalu berkata, "Tuhan memang benar."

7Ketika Tuhan melihat bahawa mereka merendahkan diri, datanglah firman Tuhan untuk Semaya, demikian, "Kerana mereka telah merendahkan diri, Aku tidak akan membinasakan mereka. Aku akan mengurniai mereka sedikit keluputan, dan murka-Ku tidak akan Kucurahkan ke atas Yerusalem dengan perantaraan Sisak. 8Namun demikian, mereka akan menjadi hamba-hambanya, supaya mereka tahu bagaimana bezanya menghamba kepada-Ku dengan menghamba kepada kerajaan-kerajaan negeri lain."

9ASisak, raja Mesir itu, maju menyerang Yerusalem. Dia merampas perbendaharaan Bait Tuhan dan perbendaharaan istana raja. Segala sesuatu dirampasnya. Dia juga merampas perisai-perisai emas yang dibuat oleh Salomo. 10Lalu sebagai gantinya, Raja Rehabeam membuat perisai-perisai gangsa dan mempercayakannya kepada para pemimpin bentara yang menjaga pintu istana raja. 11Apabila sahaja raja masuk ke Bait Tuhan, datanglah para bentara membawa perisai-perisai itu dan kemudian mengembalikannya ke bilik pengawal. 12Ketika raja merendahkan diri, murka Tuhan kepadanya menjadi surut, sehingga Allah tidak membinasakannya sama sekali. Apatah lagi, masih ada hal-hal yang baik di Yehuda.

13Kemudian Raja Rehabeam memperkuat kedudukannya dan bertakhta di Yerusalem. Rehabeam berumur empat puluh satu tahun pada waktu dia menaiki takhta. Tujuh belas tahun lamanya ia bertakhta di Yerusalem, kota yang dipilih Tuhan daripada antara semua suku Israel untuk menegakkan nama-Nya di sana. Nama ibunya ialah Naama, orang Amon. 14Dia berbuat jahat kerana tidak menetapkan hatinya untuk mencari hadirat Tuhan.

15Riwayat Rehabeam dari awal sampai akhir, bukankah semuanya tertulis dalam riwayat Nabi Semaya dan Ido, pelihat itu, yang juga memuat salasilah? Antara Rehabeam dengan Yerobeam selalu berlakunya peperangan. 16Lalu Rehabeam dibaringkan bersama nenek moyangnya. Dia dimakamkan di Kota Daud. Maka Abiai, anaknya, menaiki takhta untuk menggantikan dia.