Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

2 Tawarikh 11

A A A
Alkitab Versi Borneo
1Setibanya Rehabeam di Yerusalem, dia mengumpulkan keturunan kaum Yehuda dan Benyamin, seratus lapan puluh ribu orang pilihan yang siap bertempur, untuk berperang melawan orang Israel dan mengembalikan kerajaan itu kepada Rehabeam. 2Tetapi datanglah firman Tuhan untuk Semaya, hamba Allah, demikian, 3"Katakanlah kepada Rehabeam anak Salomo, raja Yehuda, dan kepada semua orang Israel di Yehuda dan Benyamin, 4'Beginilah firman Tuhan, "Jangan maju dan jangan berperang melawan para saudaramu. Pulanglah ke rumah masing-masing, kerana hal ini berasal daripada Aku." ' " Mereka mendengar firman Tuhan lalu pulang tanpa maju menyerang Yerobeam.

Raja Rehabeam mengukuhkan kerajaannya

5Rehabeam tinggal di Yerusalem dan membina kota-kota berkubu di Yehuda. 6Dia membina Betlehem, Etam, Tekoa, 7Bet-Zur, Sokho, Adulam, 8Gat, Maresa, Zif, 9Adoraim, Lakhis, Azeka, 10Zora, Ayalon, dan Hebron, kota-kota berkubu yang terletak di wilayah Yehuda serta Benyamin. 11Dia memperkuat kota-kota berkubu itu dan menempatkan pemimpin-pemimpin di situ lengkap dengan persediaan makanan, minyak, dan juga air anggur. 12Di setiap kota disediakannya perisai dan tombak. Dia menjadikan kota-kota itu sangat kuat. Demikianlah Yehuda dan Benyamin menjadi miliknya.

13Kemudian para imam dan bani Lewi dari semua daerah kediaman mereka di seluruh Israel menggabungkan diri dengan Rehabeam. 14Bani Lewi meninggalkan padang ragut serta milik mereka, lalu pergi ke Yehuda dan Yerusalem, kerana Yerobeam dan anak-anaknya melarang mereka daripada menjalankan tugas sebagai imam-imam Tuhan. 15AYerobeam mengangkat bagi dirinya imam untuk bukit-bukit pemujaan, untuk penyembahan patung kambing dan anak lembu yang dibuatnya. 16Bani Lewi itu diiringi oleh kalangan daripada segala suku Israel yang menetapkan hati mereka untuk mencari hadirat Tuhan, Allah Israel. Mereka datang ke Yerusalem untuk mempersembahkan korban kepada Tuhan, Allah nenek moyang mereka. 17Mereka memperkuat kerajaan Yehuda dan memantapkan kedudukan Rehabeam anak Salomo tiga tahun lamanya, kerana selama tiga tahun itu mereka hidup mengikuti jejak Daud dan Salomo.

Keluarga Raja Rehabeam

18Rehabeam memperisteri Mahalat, anak Yerimot anak Daud dengan Abihail anak Eliab anak Isai. 19Perempuan itu melahirkan baginya beberapa orang anak lelaki: Yeus, Semarya, dan Zaham. 20Sesudah Mahalat, dia memperisteri Maakha anak Absalom yang melahirkan baginya Abia, Atai, Ziza, dan Selomit. 21Rehabeam mencintai Maakha anak Absalom lebih daripada semua isteri dan gundiknya. Dia mempunyai lapan belas orang isteri dan enam puluh orang gundik, serta dikurniai dua puluh lapan anak lelaki dan enam puluh orang anak perempuan. 22Rehabeam mengangkat Abia, anak Maakha, sebagai ketua dan pemimpin antara saudaranya, kerana dia bermaksud untuk menjadikannya raja. 23Dia bertindak bijak dengan menyebarkan semua anaknya ke seluruh Tanah Yehuda dan Benyamin, di semua kota berkubu. Dia memberi mereka makanan dengan limpahnya dan mencarikan ramai isteri bagi mereka.