Alkitab Versi Borneo |
Saul dilantik menjadi raja
1Ada seorang lelaki bani Benyamin yang kaya-raya bernama Kish anak Abiel anak Zeror anak Bekhorat anak Afiah. 2Dia mempunyai seorang anak bernama Saul, seorang pemuda yang tegap lagi tampan. Tiada seorang pun pemuda orang Israel yang lebih tampan daripadanya. Dari bahu ke atas, ketinggiannya melebihi semua orang daripada umat sebangsanya. 3Pada suatu hari, Kish, ayah Saul, kehilangan beberapa ekor keldai. Maka kata Kish kepada Saul, anaknya, "Bawalah salah seorang pembantu bersama-samamu dan pergilah segera mencari keldai-keldai itu." 4Saul dan pembantu itu berjalan melalui Efraim dan Tanah Salisa, tetapi tidak juga dijumpai mereka haiwan-haiwan itu. Kemudian mereka berjalan melalui Tanah Sahalim, tetapi di sana pun mereka tidak menjumpai keldai-keldai itu. Selanjutnya mereka berjalan melalui Tanah Benyamin namun masih tidak menemukan keldai-keldai itu. 5Setibanya mereka di Tanah Zuf, berkatalah Saul kepada pembantu yang menyertainya, "Mari kita pulang. Jangan-jangan ayahku sudah tidak peduli lagi akan keldai-keldai itu tetapi sebaliknya khuatir tentang keadaan kita." 6Jawab pembantu itu kepadanya, "Tunggu sebentar, di kota ini ada seorang hamba Allah yang sangat dihormati. Segala yang dikatakannya akan terjadi. Mari kita pergi ke sana sekarang. Barangkali dia dapat memberitahu kita jalan yang perlu kita lalui." 7Kata Saul kepada pembantunya, "Tetapi jika kita pergi ke sana, apakah yang akan kita bawa untuk orang itu? Roti di kantung kita sudah habis. Tidak ada pemberian yang dapat kita bawa kepada hamba Allah itu. Apakah yang masih ada pada kita?" 8Pembantu itu menjawab Saul lagi, "Lihat, di tanganku masih ada seperempat syikal perak. Aku akan memberikannya kepada hamba Allah itu supaya dia memberitahu kita jalan yang harus kita tempuh." 9(Dahulu di Israel, apabila seseorang pergi mencari petunjuk Allah, dia akan berkata, "Mari kita pergi kepada pelihat," kerana yang sekarang disebut nabi, dahulu disebut pelihat.) 10Kata Saul kepada pembantunya, "Bagus usulmu itu. Mari kita pergi." Maka pergilah mereka ke kota tempat hamba Allah itu berada. 11Ketika mereka sedang menempuh jalan menanjak ke kota itu, mereka bertemu dengan beberapa orang gadis yang keluar untuk menimba air. Mereka pun bertanya kepada gadis-gadis itu, "Apakah ada pelihat di sini?" 12Jawab para gadis itu kepada mereka, "Ya, ada, dia baru sahaja mendahului kamu, cepat-cepatlah sekarang. Dia datang ke kota hari ini, kerana ada perjamuan korban untuk orang ramai di atas bukit pada hari ini. 13Apabila kamu masuk ke kota, kamu akan segera menjumpainya, sebelum dia naik ke bukit untuk makan. Sebabnya orang ramai tidak akan makan, sebelum dia datang kerana dialah yang memberkati korban, kemudian barulah para undangan makan. Pergilah sekarang, supaya kamu akan menjumpainya dengan segera." 14Maka naiklah mereka ke kota, dan ketika mereka memasuki kota, Samuel yang berjalan keluar untuk naik ke bukit, berjalan menuju ke arah mereka. 15Sehari sebelum kedatangan Saul, Tuhan telah menyatakan kepada Samuel demikian, 16"Esok, pada waktu seperti ini, Aku akan menyuruh seorang lelaki dari Tanah Benyamin datang kepadamu. Lantiklah dia untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku, orang Israel. Dia akan menyelamatkan umat-Ku daripada tangan orang Filistin, kerana Aku telah memperhatikan umat-Ku. Seruan mereka telah sampai kepada-Ku." 17Ketika Samuel melihat Saul, berfirmanlah Tuhan kepadanya, "Inilah orang yang Kukatakan kepadamu itu. Orang inilah yang akan memerintah umat-Ku." 18Sementara itu Saul menghampiri Samuel di pintu gerbang dan berkata, "Tolong beritahukan kepadaku, di manakah rumah pelihat itu?" 19Jawab Samuel kepada Saul, "Akulah pelihat itu. Naiklah mendahului aku ke bukit pemujaan, kerana pada hari ini kamu akan makan bersama-samaku. Esok pagi, aku akan membiarkan kamu pergi dan memberitahumu segala sesuatu yang ada dalam hatimu. 20Janganlah engkau khuatir fasal keldai-keldaimu yang hilang tiga hari yang lalu itu, kerana keldai-keldai itu sudah ditemukan. Tetapi segala yang didamba orang Israel dituju kepada siapa? Bukankah kepada dirimu dan kepada seluruh keluargamu?" 21Kata Saul, "Bukankah aku ini orang Benyamin, yang terkecil antara suku-suku Israel? Bukankah kaumku pun yang terkecil antara kaum-kaum suku Benyamin? Mengapakah tuan mengatakan hal semacam itu kepadaku?" 22Samuel mengajak dan membawa Saul serta pembantunya masuk ke balai pertemuan. Didudukkannya mereka di tempat yang paling utama antara undangan yang berjumlah kira-kira tiga puluh orang. 23Kemudian Samuel berkata kepada tukang masak, "Bawalah bahagian korban yang kukirimkan kepadamu itu, yang telah kupesankan, 'Asingkanlah ini.' " 24Tukang masak itu mengambil paha berserta apa yang ada pada paha itu lalu meletakkannya di hadapan Saul. Kata Samuel, "Lihatlah, bahagian yang dipisahkan ini diletakkan di hadapanmu. Makanlah, kerana bahagian ini sudah disimpan bagimu untuk saat ini sejak aku berkata, 'Aku telah mengundang orang ramai.' " Maka Saul pun makan bersama-sama Samuel pada hari itu. 25Setelah mereka turun dari bukit pemujaan ke dalam kota, Samuel bercakap dengan Saul di atas bumbung rumah. 26Mereka bangun pagi-pagi. Kira-kira pada waktu fajar menyingsing, Samuel memanggil Saul yang berada di atas bumbung rumah itu, katanya, "Bangunlah, aku akan melepaskan pemergianmu." Saul pun bangun, lalu kedua-duanya, iaitu Saul dan Samuel, pergi keluar. 27Sementara mereka turun ke hujung kota itu, berkatalah Samuel kepada Saul, "Suruhlah pelayanmu berjalan mendahului kita," maka berjalanlah pembantu itu, "tetapi engkau, berhentilah sebentar. Aku akan memberitahumu firman Tuhan."