Alkitab Versi Borneo |
Orang Israel mahukan seorang raja 1Apabila Samuel sudah tua, dia melantik anak-anaknya untuk menjadi hakim kepada orang Israel. 2Anaknya yang sulung bernama Yoel, dan yang kedua Abia. Mereka menjadi hakim di Bersyeba. 3Namun begitu, pekerti mereka bukan sahaja tidak seperti bapa mereka, malahan mereka tidak hidup mengikuti jejaknya. Mereka menyimpang demi mengejar laba dan mereka menerima rasuah serta memutarbalikkan keadilan. 4Kemudian semua tua-tua Israel berkumpul lalu datang menghadap Samuel di Rama. 5AKata mereka kepadanya, "Sesungguhnya, tuan sudah tua dan anak-anak tuan tidak hidup mengikuti jejak tuan. Sekarang, lantiklah bagi kami seorang raja untuk memerintahkan kami seperti semua bangsa lain." 6Tetapi Samuel amat tidak senang apabila mereka berkata, "Berikanlah kepada kami seorang raja untuk memerintah kami," lalu berdoalah dia kepada Tuhan. 7Kemudian Tuhan berfirman kepada Samuel, "Tunaikanlah segala permintaan umat itu kepadamu. Mereka bukannya menolak engkau tetapi mereka menolak Aku kerana tidak mahu Aku bertakhta atas mereka. 8Sebagaimana mereka memperlakukan Aku sejak Aku memimpin mereka keluar dari Mesir bahkan sampai hari ini, iaitu meninggalkan Aku dan beribadat kepada pelbagai tuhan lain, demikian jugalah mereka memperlakukan kamu. 9Oleh itu, tunaikanlah permintaan mereka, hanya peringatkanlah mereka dengan sungguh-sungguh dan beritahu mereka apa yang menjadi hak raja yang kelak memerintah mereka." 10Maka Samuel menyampaikan seluruh firman Tuhan kepada khalayak orang yang meminta kepadanya seorang raja. 11Katanya, "Inilah hak raja yang akan bertakhta atas kamu: dia akan mengambil anak-anak kamu untuk ditugaskan kepada ratanya dan sebagai pasukan berkudanya, lalu mereka harus berlari di depan ratanya. 12Akan diangkatnya sesetengah mereka untuk menjadi pemimpin pasukan seribu dan pemimpin pasukan lima puluh. Sesetengah mereka terpaksa membajak tanahnya, menuai tuaiannya, dan membuat senjata-senjata serta peralatan segala ratanya. 13Akan diambilnya anak-anak perempuanmu untuk menjadi pembuat rempah, tukang masak, dan pembuat roti. 14Dia pun akan mengambil hasil yang terbaik dari ladang-ladangmu, kebun-kebun anggurmu, dan kebun-kebun zaitunmu lalu memberikannya kepada para pegawainya. 15Selain itu, dia akan mengambil sepersepuluh daripada hasil benihmu dan kebun anggurmu, lalu memberikannya kepada para pegawai istana dan pembantunya. 16Akan diambilnya para hambamu baik yang lelaki mahupun yang perempuan, para pemudamu yang terbaik, dan keldaimu, lalu menggunakan semua itu untuk urusannya sendiri. 17Akan diambilnya juga sepersepuluh daripada kawanan dombamu, dan kamu akan menjadi hamba-hambanya. 18Pada waktu itu kamu akan berteriak mengadu fasal rajamu yang telah kamu pilih itu, tetapi Tuhan tidak akan menjawab kamu pada waktu itu." 19Namun umat itu tidak mahu mendengar kata-kata Samuel. Kata mereka, "Tidak! Kami tetap mahukan raja yang memerintah kami, 20supaya kami juga menjadi seperti semua bangsa lain. Raja kami itu akan memerintah atas kami, maju memimpin kami, dan berperang dalam peperangan kami." 21Samuel mendengar segala yang dikatakan bangsa itu lalu menyampaikannya kepada Tuhan. 22Firman Tuhan kepada Samuel, "Dengarlah kata-kata mereka dan lantiklah seorang raja bagi mereka." Kemudian Samuel berkata kepada orang Israel, "Pulanglah masing-masing ke kotanya."