Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Samuel 7

A A A
Alkitab Versi Borneo
1AMaka kaum lelaki Kiryat-Yearim datang mengangkut tabut Tuhan lalu membawanya ke rumah Abinadab di bukit dan mentahbiskan Eleazar, anaknya, untuk menjaga tabut Tuhan itu.

2Maka lamalah tabut itu berada di Kiryat-Yearim, iaitu selama dua puluh tahun lalu dalam tempoh itu seluruh keturunan kaum Israel meratap dan rindu akan Tuhan.

Samuel menghakimi orang Israel

3Maka berkatalah Samuel kepada seluruh keturunan kaum Israel demikian, "Jika kamu berpaling kepada Tuhan dengan segenap hati, jauhkanlah tuhan asing dan segala patung berhala Asytoret dari tengah-tengahmu serta tujukan hatimu kepada Tuhan dan beribadatlah hanya kepada-Nya; maka Dia akan melepaskan kamu daripada tangan orang Filistin." 4Lalu orang Israel menyingkirkan para Baal dan Asytoret, dan mereka beribadat kepada Tuhan sahaja. 5Kata Samuel, "Kumpulkanlah semua orang Israel di Mizpa. Aku hendak berdoa kepada Tuhan untuk kamu." 6Maka berkumpullah mereka di Mizpa. Mereka menimba air dan mencurahkannya di hadapan Tuhan. Pada hari itu mereka berpuasa di sana dan berkata, "Kami telah berdosa terhadap Tuhan." Samuel pun menjadi hakim kepada orang Israel di Mizpa.

7Ketika orang Filistin mendengar bahawa orang Israel berkumpul di Mizpa, majulah raja-raja kota orang Filistin mendatangi umat Israel. Hal itu didengar oleh orang Israel, dan mereka ketakutan menghadapi orang Filistin. 8Kata orang Israel kepada Samuel, "Janganlah berhenti berseru bagi kami kepada Tuhan, Allah kita, supaya diselamatkan-Nya kami daripada tangan orang Filistin." 9Lalu Samuel mengambil seekor anak domba yang masih menyusu dan mempersembahkannya bulat-bulat sebagai korban bakaran kepada Tuhan. Samuel berseru kepada Tuhan bagi orang Israel dan Tuhan menjawabnya. 10Sementara Samuel mempersembahkan korban bakaran itu, orang Filistin maju mendekat untuk berperang melawan orang Israel. Akan tetapi, pada hari itu, kepada orang Filistin, Tuhan memperdengarkan bunyi guruh yang teramat kuat terhadap orang Filistin dan mengharu-birukan mereka sehingga pasukan mereka tumpas di hadapan orang Israel. 11Lalu keluarlah orang Israel dari Mizpa untuk mengejar orang Filistin, dan menyerang mereka sehingga hilir Bet-Kar.

12Kemudian Samuel mengambil sebuah batu dan mendirikannya di antara Mizpa dengan Yesanai. Dia menamainya Eben-Haezer, katanya, "Sampai di sini Tuhan telah menolong kita." 13Demikianlah orang Filistin itu ditundukkan dan tidak lagi memasuki daerah Israel. Tangan Tuhan melawan orang Filistin seumur hidup Samuel, 14dan kota-kota yang diambil orang Filistin daripada Israel mulai Ekron sampai Gat, berbalik semula ke tangan Israel, dan orang Israel merebut daerah sekitarnya daripada tangan orang Filistin. Pada waktu itu, orang Israel hidup berdamai dengan orang Amori.

15Samuel menjadi hakim kepada orang Israel seumur hidupnya. 16Setiap tahun dia berjalan mengelilingi Betel, Gilgal, dan Mizpa. Di semua tempat itu dia menjadi hakim kepada orang Israel. 17Namun demikian, dia selalu kembali ke Rama, kerana di sanalah rumahnya dan di sanalah dia menjadi hakim kepada orang Israel. Dia mendirikan sebuah mazbah bagi Tuhan di sana.