Alkitab Versi Borneo |
Tabut perjanjian Allah di tanah orang Filistin
1Setelah merampas tabut Allah, orang Filistin pun membawanya dari Eben-Haezer ke Asdod. 2Kemudian orang Filistin membawa tabut Allah itu masuk ke kuil Dagon, dan meletakkannya di samping patung Dagon itu. 3Keesokan harinya, ketika orang Asdod bangun pagi-pagi, tampaklah Dagon terjatuh dengan mukanya menyembam ke tanah di hadapan tabut Tuhan; lalu mereka mengambil Dagon dan mengembalikannya ke tempatnya. 4Tetapi keesokan harinya ketika mereka bangun pagi-pagi, tampaklah Dagon terjatuh dengan mukanya tersembam ke tanah di hadapan tabut Tuhan, sementara kepala Dagon dan kedua-dua belah tangannya terpenggal dan terpelanting ke ambang pintu, yang tinggal hanya badan Dagon itu. 5Itulah sebabnya para imam Dagon dan semua orang yang masuk ke dalam kuil Dagon tidak memijak ambang pintu kuil Dagon di Asdod, sampai hari ini. 6Begitu berat tekanan tangan Tuhan atas orang Asdod, bahkan Dia membinasakan Asdod dan menimpa daerah-daerahnya dengan ketumbuhan. 7Setelah orang Asdod menyedari apa yang terjadi, berkatalah mereka, "Tabut Allah Israel ini tidak boleh tinggal bersama-sama kita, kerana tangan-Nya menimpa kita dan juga Dagon tuhan kita dengan berat." 8Oleh sebab itu, mereka meminta agar semua raja kota orang Filistin dikumpulkan, lalu bertanya, "Apakah yang harus kita lakukan dengan tabut Allah Israel ini?" Jawab mereka, "Pindahkan tabut Allah Israel itu ke Gat." Lalu mereka memindahkan tabut Allah Israel itu. 9Namun begitu, setelah mereka memindahkan tabut itu ke kota itu, tangan Tuhan juga mendatangkan kegemparan yang amat besar di sana. Dia mendatangkan seksa terhadap penduduk kota itu, daripada yang kecil kepada yang besar, sehingga muncul wabak ketumbuhan dalam kalangan mereka. 10Lalu mereka menghantar tabut Allah itu ke Ekron. Tetapi apabila tabut Allah tiba di Ekron, menjeritlah orang Ekron. Kata mereka, "Mereka memindahkan tabut Allah Israel ini ke tempat kita untuk mematikan kita dan rakyat kita!" 11Oleh sebab itu, mereka meminta agar semua raja kota orang Filistin dikumpulkan, lalu berkata, "Hantarlah tabut Allah Israel ini kembali ke tempatnya, supaya jangan kita dan rakyat kita terbunuh." Di seluruh kota itu memang ada kegemparan yang mematikan. Tangan Allah menekan mereka dengan sangat berat di sana. 12Orang yang tidak mati ditimpa dengan wabak ketumbuhan sehingga teriakan kota itu naik menjulang ke langit.