Alkitab Versi Borneo |
1Perkataan Samuel sampai kepada semua orang Israel. Maka majulah orang Israel untuk menghadapi orang Filistin dalam peperangan. Mereka berkhemah dekat Eben-Haezer manakala orang Filistin berkhemah di Afek. Orang Filistin menawan tabut perjanjian Allah
2Orang Filistin mengatur barisan untuk berhadapan dengan orang Israel dan berjaya menewaskan kira-kira empat ribu orang Israel di medan perang itu ketika pertempuran begitu sengit lagi meluas. 3Ketika anggota pasukan yang selamat sampai di perkhemahan, berkatalah para tua-tua Israel, "Mengapakah hari ini Tuhan membuat kita kalah di hadapan orang Filistin? Mari kita membawa tabut perjanjian Tuhan dari Silo ke sini, supaya Dia hadir antara kita dan menyelamatkan kita daripada tangan musuh-musuh kita ini." 4AMereka pun menyuruh beberapa orang ke Silo untuk membawa tabut perjanjian Tuhan alam semesta, yang bersemayam di atas para kerubin. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas mengiring tabut perjanjian Allah itu. 5Sebaik sahaja tibanya tabut perjanjian Tuhan di perkhemahan, bersoraklah seluruh orang Israel dengan nyaring, sehingga bumi bergoncang. 6Dan orang Filistin yang mendengar bunyi sorak itu berkata, "Apakah bunyi sorak yang nyaring di perkhemahan orang Ibrani itu?" Lalu diketahuilah mereka bahawa tabut Tuhan telah sampai di perkhemahan itu. 7Maka orang Filistin menjadi ketakutan. Kata mereka, "Allah mereka telah datang ke perkhemahan itu!" Kata mereka lagi, "Malangnya kita! Hal semacam ini belum pernah terjadi dahulu. 8Malangnya kita! Siapakah yang dapat melepaskan kita daripada tuhan-tuhani yang maha besar ini? Tuhan-tuhan inilah yang telah memusnahkan orang Mesir dengan berbagai-bagai wabak di gurun. 9Kuatkanlah hatimu dan bertindaklah seperti lelaki, wahai orang Filistin, supaya jangan kamu menjadi hamba orang Ibrani sebagaimana mereka menjadi hambamu. Berlakulah seperti lelaki dan berperanglah!" 10Lalu berperanglah orang Filistin, dan orang Israel pun tewas lalu mereka melarikan diri ke khemah masing-masing. Terjadilah pembunuhan yang amat besar, dan daripada tentera orang Israel, gugur tiga puluh ribu orang pasukan berjalan kaki. 11Selain itu, tabut Allah pun dirampas dan kedua-dua anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas, terbunuh. Kematian Eli 12Pada hari itu juga ada seorang Benyamin yang lari meninggalkan barisan perang menuju Silo. Pakaiannya koyak-koyak dan ada debu tanah di atas kepalanya. 13Ketika tibanya di Silo, Eli yang sedang menunggu-nunggu itu duduk di sebuah kerusi di tepi jalan. Hatinya gementar kerana tabut Allah itu. Orang itu masuk ke dalam kota dan menyampaikan berita tentang apa yang terjadi. Maka berteriaklah seluruh penduduk kota. 14Apabila terdengar olehnya bunyi jeritan itu, Eli pun bertanya, "Kekecohan apakah itu?" Orang itu segera datang dan memberitahukan apa yang terjadi kepada Eli. 15Pada waktu itu umur Eli sembilan puluh delapan tahun dan matanya sudah kabur sehingga dia tidak dapat melihat lagi. 16Kata orang itu kepada Eli, "Aku baru sahaja datang dari medan perang. Hari ini aku lari meninggalkan barisan hadapan." Tanya Eli, "Bagaimanakah keadaan peperangan itu, wahai anakku?" 17Jawab pembawa khabar itu, "Orang Israel kalah teruk dan lari dari hadapan orang Filistin, bahkan ramai warga kita yang terkorban. Kedua-dua orang anak tuan, Hofni dan Pinehas, mati juga dan tabut Allah telah dirampas oleh musuh." 18Apabila dikhabarkan fasal tabut perjanjian Allah itu, jatuhlah Eli telentang dari kerusi di sebelah pintu gerbang, batang lehernya patah lalu matilah dia yang gemuk dan sudah begitu lanjut usia. Selama empat puluh tahun dia memerintah sebagai hakim kepada orang Israel.
19Pada waktu itu, menantu perempuannya, iaitu isteri Pinehas, sedang mengandung dan hampir bersalin. Apabila perempuan itu mendengar khabar tentang tabut Allah yang telah dirampas dan tentang mertuanya serta suaminya yang telah meninggal, dia pun berlutut lalu melahirkan anaknya, kerana tiba-tiba dia dilanda rasa sakit bersalin. 20Pada waktu ajalnya mendekat, berkatalah perempuan-perempuan yang berdiri di sisinya, "Jangan takut, kerana engkau telah melahirkan seorang anak lelaki." Namun demikian, dia tidak menjawab ataupun memberi perhatian. 21Lalu anak itu dinamainya Ikabod. Katanya, "Kemuliaan sudah hilang dari Israel" – kerana tabut Allah telah dirampas dan kerana mertua serta suaminya itu. 22Katanya, "Sudah hilang kemuliaan daripada Israel, kerana tabut Allah telah dirampas."