Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Samuel 3

A A A
Alkitab Versi Borneo

Samuel terpanggil

1Samuel yang muda itu mengerjakan amalan ibadat kepada TUHAN di bawah pengawasan Eli. Pada masa itu jarang-jarang didapati firman TUHAN dan juga tidak begitu sering berlakunya penglihatan. 2Pada suatu hari Eli, yang matanya mulai kabur dan tidak dapat melihat dengan baik itu sedang berbaring di tempat tidurnya. 3Pelita Bait Suci Allah belum lagi padam dan Samuel sedang berbaring di tempat tabut Allah di dalam Bait Suci TUHAN. 4Lalu TUHAN memanggil Samuel, dan dia menjawab, "Ya, aku ada di sini," 5lalu dia berlari kepada Eli dan berkata, "Ini aku. Tuan memanggilku?"

Jawabnya, "Aku tidak memanggilmu. Berbaringlah lagi." Lalu pergilah dia berbaring.

6TUHAN memanggil Samuel sekali lagi. Maka bangunlah Samuel lalu pergi mendapatkan Eli seraya berkata, "Ya, aku ada di sini, bukankah tuan memanggil aku?"

Tetapi Eli berkata, "Aku tidak memanggil, anakku; tidurlah semula." 7Samuel belum lagi mengenal TUHAN bahkan firman TUHAN belum pernah dinyatakan kepadanya.

8Kemudian TUHAN memanggil Samuel sekali lagi, buat kali ketiganya. Samuel pun bangunlah, lalu pergi mendapatkan Eli seraya katanya, "Ya, aku ada di sini, bukankah tuan memanggil aku?"

Maka mengertilah Eli bahawa TUHAN yang memanggil anak itu. 9Lalu Eli berkata kepada Samuel, "Pergilah berbaring. Nanti, jika Dia memanggil engkau, katakanlah, 'Ya TUHAN, berfirmanlah, hamba-Mu ini mendengarkannya.' " Maka pergilah Samuel berbaring di tempatnya.

10TUHAN pun hadir dan memanggilnya seperti yang sudah-sudah, "Samuel! Samuel!"

Jawab Samuel, "Berfirmanlah, hamba-Mu ini mendengarkannya."

11Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Samuel, "Ketahuilah, Aku akan melakukan sesuatu di Israel, sehingga akan berdesing kedua-dua belah telinga setiap orang yang mendengarnya. 12Pada hari itu Aku akan melaksanakan segala sesuatu yang telah Kufirmankan kepada Eli mengenai keluarganya, daripada permulaan hingga penghabisannya. 13Aku telah memberitahunya bahawa Aku akan menghukum keluarganya untuk selama-lamanya atas kesalahan yang telah diketahuinya. Anak-anaknya telah mendatangkan kutukan atas diri mereka sendiri, namun Eli masih tidak menghalang kemungkaran mereka. 14Oleh sebab itu Aku telah bersumpah kepada keluarga Eli, bahawa kesalahan keluarga Eli tidak akan dapat dihapuskan dengan korban sembelihan atau dengan persembahan bahan makanan untuk selama-lamanya."

15Samuel berbaring sampai pagi hari, lalu dibukanya pintu-pintu Bait TUHAN. Samuel berasa takut untuk memberitahukan penglihatan itu kepada Eli. 16Tetapi Eli memanggil Samuel, katanya, "Samuel, anakku."

Jawabnya, "Ya, aku ada di sini."

17Kata Eli, "Firman apakah yang telah disampaikan kepadamu? Kumohon, jangan sembunyikan hal itu daripada aku. Biarlah Allah menjatuhkan azab kepadamu, bahkan lebih lagi, jika engkau menyembunyikan daripadaku sedikit sahaja daripada segala yang difirmankan-Nya kepadamu." 18Maka Samuel memberitahu kepadanya segala hal itu tanpa menyembunyikan apa-apa. Kata Eli, "Dialah TUHAN. Biarlah Dia melakukan apa yang dipandang baik oleh-Nya."

19Samuel semakin besar. TUHAN menyertainya dan tidak membiarkan satu pun daripada firman-Nya yang disampaikan melaluinya tergugur. 20Maka seluruh Israel, dari Dan sampai Bersyeba, tahu bahawa jawatan nabi TUHAN sudah disahkan kepada Samuel. 21TUHAN kembali menampakkan diri di Silo, dan melalui firman-Nya, TUHAN menyatakan diri-Nya kepada Samuel di Silo.