Alkitab Versi Borneo |
Daud bersekutu dengan orang Filistin 1Terfikirlah Daud dalam hatinya, "Bagaimanapun juga pada suatu hari aku akan binasa di tangan Saul. Oleh itu, tidak ada yang lebih baik bagiku selain berlari dan menyelinap ke negeri orang Filistin; tatkala itu tentunya Saul tiada harapan untuk mencari aku lagi di seluruh daerah Israel dan akan terlepaslah aku daripada tangannya." 2Bersiap-siaplah Daud, lalu bersama-sama enam ratus orangnya, Daud segera menyeberang ke daerah Akhis anak Maokh, raja Gat. 3Maka menetaplah Daud berserta anak buahnya serta keluarga masing-masing dengan Akhis di Gat; Daud dengan kedua-dua orang isterinya, yakni Ahinoam, perempuan Yizreel, dan Abigail, bekas isteri Nabal, perempuan Karmel itu. 4Ketika dikhabarkan kepada Saul bahawa Daud telah melarikan diri ke Gat, dia tidak berusaha mencarinya lagi. 5Daud berkata kepada Akhis, "Jika tuanku berkenan pada hamba, berilah hamba tempat di salah sebuah kota di padang supaya hamba dapat tinggal di sana. Mengapakah hambamu ini harus tinggal bersama-sama tuanku di kota kerajaan?" 6Maka pada hari itu Akhis mengurniakan Ziklag kepadanya. Itulah sebabnya Ziklag menjadi milik raja-raja Yehuda sampai hari ini. 7Selama satu tahun empat bulan tinggallah Daud di daerah orang Filistin itu.
8Maka Daud dan para pahlawannya bergerak maju dan menyerbu orang Gesur, orang Girzi dan orang Amalek; kerana orang itu memang penduduk asal negeri itu yang membentang dari Telam ke arah Syur sampai Tanah Mesir. 9Apabila Daud memusnahkan negeri itu, tiada seorang pun yang dibiarkannya hidup, baik lelaki mahupun perempuan. Dia menjarah domba, lembu, keldai, unta dan pakaian, kemudian pulanglah dia semula kepada Akhis. 10Jika Akhis bertanya, "Di manakah kamu menyerbu pada hari ini?" maka jawab Daud, "Di Tanah Negeb orang Yehuda," atau, "Di Tanah Negeb orang Yerahmeel," atau, "Di Tanah Negeb orang Keni." 11Daud tidak membiarkan seorang pun hidup, baik lelaki mahupun perempuan, untuk dibawa ke Gat, kerana fikirnya, "Jangan-jangan mereka mengkhabarkan tentang kami, dengan berkata: Beginilah dilakukan Daud." Itulah kebiasaannya, selama dia menetap di daerah orang Filistin. 12Tetapi Akhis mempercayai Daud, kerana fikirnya, "Tentulah dia telah membuat diri dibenci dalam kalangan bangsanya orang Israel. Oleh itu, dia akan menjadi hambaku buat selama-lamanya."