Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Samuel 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Doa Hana

1ALalu berdoalah Hana, "Hatiku bersuka ria kerana TUHAN;

Kekuatanku disanjung tinggi kerana TUHAN.

Mulutku mengecam para musuhku,

kerana aku bersukacita atas pertolongan-Mu.

2Tiada yang suci seperti TUHAN.

Tiada yang lain kecuali Engkau,

tiada batu pejal seperti Allah kita.

3Jangan terus-menerus bercakap sebegitu sombong,

janganlah keangkuhan keluar daripada mulutmu,

kerana TUHAN itu Allah Yang Maha Tahu

dan melalui-Nya setiap perbuatan manusia dipertimbangkan.

4Telah dipatahkan busur panah para kesateria,

tetapi sabuk orang yang lemah ialah kekuatan.

5Kalangan yang dahulu kenyang kini menjadi orang upahan demi rezeki,

tetapi tiada kelaparan bagi orang yang dahulunya lapar.

Yang dahulunya mandul kini tujuh orang anaknya,

tetapi dahulu beranak ramai kini terbiar merana.

6TUHAN mematikan dan juga menghidupkan;

Dia menurunkan ke alam kubur dan membangkitkan.

7TUHAN memapakan dan mengayakan,

Dia merendahkan dan juga meninggikan.

8Dia membangkitkan orang miskin daripada debu

dan mengangkat orang melarat daripada timbunan sampah

untuk didudukkan bersama dengan para bangsawan,

sehingga mereka mewarisi takhta kemuliaan.

Tiang-tiang bumi sememangnya milik TUHAN, dan di atasnya,

Dia menempatkan bumi ini.

9Dia akan memelihara langkah kalangan yang salih,

tetapi orang fasiq akan tersingkir ke dalam kegelapan,

kerana berdayanya seseorang bukan atas kekuatannya sendiri.

10TUHAN akan menghancurleburkan kalangan yang menentang-Nya,

mengecam keras mereka bagaikan guruh di langit.

TUHAN akan mengadili seluruh bumi.

Dia akan mengurniakan kekuatan kepada raja yang diangkat-Nya

dan memberikan kejayaan kepada orang pilihan-Nya."

11Lalu pulanglah Elkana ke rumahnya di Rama tetapi anak itu menjadi penyelenggara ibadat kepada TUHAN di bawah pengawasan Imam Eli.

Kejahatan anak-anak Imam Eli

12Amat jahatnya kelakuan anak-anak lelaki Eli. Mereka tidak mengenal TUHAN. 13Amalan masa itu ialah para imam bertindak sewenang-sewenangnya terhadap umat biasa. Ketika seseorang mempersembahkan korban sembelihan, pembantu imam akan datang membawa garpu serampang tiga sementara daging itu masih direbus. 14Dia akan mencucukkan garpu ke dalam wadah, kuali, belanga, atau periuk, lalu apa-apa pun yang terangkat oleh garpu itu akan diambil oleh imam untuk dirinya sendiri. Demikianlah yang dilakukan mereka di Silo terhadap semua orang Israel yang datang ke sana. 15Bahkan sebelum lemaknya dibakar, pembantu imam akan datang kepada orang yang mempersembahkan korban dan berkata, "Berikanlah daging itu kepada imam untuk dipanggang. Dia tidak mahu menerima daripadamu daging yang direbus, melainkan yang mentah."

16Jika orang itu berkata kepadanya, "Lemaknya harus dibakar dahulu. Setelah itu, ambillah sesuka hatimu," maka hamba itu akan menjawab dia, "Berikan sekarang juga. Kalau tidak, aku akan mengambilnya dengan paksa!"

17Jadi, sangatlah besar dosa para pemuda itu di hadapan TUHAN, kerana mereka memandang rendah persembahan yang diperintahkan TUHAN.

18Sementara itu, Samuel menjadi penyelenggara ibadat di hadapan TUHAN. Anak itu memakai baju efod daripada kain linen. 19Ibunya biasa membuat sehelai jubah kecil untuknya, lalu setiap tahun jubah itu dibawanya untuk anaknya ketika dia pergi bersama-sama suaminya untuk mempersembahkan korban sembelihan tahunan. 20Kemudian Eli akan memohonkan berkat bagi Elkana dan isterinya, katanya, "Semoga TUHAN mengurniakan kepadamu keturunan daripada perempuan ini sebagai pengganti yang telah diserahkannya kepada TUHAN." Setelah itu, mereka pulang ke tempat tinggal mereka.

21TUHAN melawat Hana, sehingga dia mengandung dan melahirkan lagi tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Samuel yang muda itu pun bertambah besar di hadirat TUHAN.

22Eli sudah sangat tua. Dia mendengar segala sesuatu yang dilakukan anak-anaknya terhadap semua orang Israel dan bahawa mereka tidur dengan perempuan-perempuan yang menunaikan tugas di muka pintu Khemah Pertemuan. 23Katanya kepada mereka, "Mengapakah kamu melakukan hal-hal semacam itu? Kudengar khabar tentang segala kejelikan perbuatan kamu terhadap seluruh umat itu. 24Jangan begitu, anak-anakku. Yang kudengar ialah khabar buruk yang tersebar dalam kalangan umat TUHAN. 25Jika seseorang berdosa terhadap orang lain, maka Allah akan menghakiminya.

Tetapi jika seseorang berdosa terhadap TUHAN, siapakah yang akan menjadi orang tengahnya?" Namun demikian, mereka tidak mengendahkan kata-kata ayah mereka, kerana TUHAN hendak mematikan mereka.

26BSamuel yang muda itu semakin besar dan semakin disukai, baik oleh TUHAN mahupun oleh manusia.

Tuhan menyisihkan Imam Eli dan keluarganya

27Suatu waktu datanglah seorang hamba Allah kepada Eli dan berkata kepadanya, "Beginilah firman Tuhan, 'Bukankah ketika orang Israel masih di Mesir dan masih di bawah kuk keturunan Firaun, Aku telah menyatakan diri-Ku kepada para leluhurmu? 28DDaripada kalangan semua suku Israel, Aku memilih dia untuk menjadi imam bagi-Ku, untuk naik ke mazbah-Ku, untuk membakar dupa, dan memakai baju efod di hadirat-Ku. Aku pun mengurniakan kepada keluarga leluhurmu segala korban bakaran orang Israel. 29Jadi, mengapakah kamu semua haloba serta meremehkan korban sembelihan dan persembahan bahan makanan bagi-Ku, serta mengetepikan Aku? Mengapakah engkau menghormati anak-anakmu melebihi Aku, dan menggemukkan diri dengan bahagian-bahagian yang terbaik daripada segala persembahan umat-Ku, orang Israel?' 30Jadi, demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, 'Aku memang telah berfirman bahawa keluargamu dan keluarga leluhurmu akan hidup di hadapan-Ku untuk selama-lamanya,' tetapi sekarang, demikianlah firman TUHAN, 'jauhlah hal itu daripada-Ku! Orang yang memuliakan-Ku akan Kumuliakan, dan orang yang meremehkan Aku akan dipandang hina. 31Sesungguhnya, akan datang harinya Aku mematahkan kekuatanmu dan kekuatan keluarga leluhurmu sehingga tidak akan ada seorang pun yang tua dalam keluargamu. 32Engkau akan memandang kesesakan di tempat hadirat-Ku. Walaupun segala kebaikan akan dikurniakan kepada Israel, tidak akan ada seorang yang tua dalam keluargamu untuk selamanya. 33Setiap orang dalam kalanganmu yang tidak Kulenyapkan daripada mazbah-Ku akan membuat matamu sayu dan menggusari hatimu, dan semua keturunan keluargamu akan mati pada masa akil baligh mereka. 34EHal yang akan menimpa kedua-dua orang anakmu, Hofni dan Pinehas, akan menjadi tanda bagimu: pada hari yang sama kedua-duanya akan mati. 35Kemudian Aku akan membangkitkan bagi-Ku seorang imam yang penuh amanah dan yang akan bertindak selaras dengan kehendak hati dan jiwa-Ku. Aku akan membangunkan baginya sebuah keluarga yang teguh, dan dia akan sentiasa hidup di hadapan orang yang Kulantik. 36Kemudian, sesiapa daripada kalangan keluargamu yang masih hidup akan datang bersujud kepadanya untuk meminta sekeping perak dan sebuku roti sambil berkata, "Kumohon masukkanlah aku ke dalam salah satu jawatan imam, supaya aku dapat makan sekeping roti."