Alkitab Versi Borneo |
Benhadad menyerang Israel
1Benhadad, raja Aram, mengerahkan seluruh pasukannya. Maka ada tiga puluh dua orang raja dengan kuda dan rata yang menyertainya. Dia maju mengepung Samaria dan memeranginya. 2Dikirimnya beberapa orang utusan ke dalam kota untuk menemui Ahab, Raja Israel, 3dengan pesan, "Beginilah titah Benhadad, 'Perakmu dan emasmu ialah milikku. Juga isteri-isterimu dan anak-anakmu yang elok ialah milikku.' " 4Raja Israel menjawab, "Sebagaimana titah tuanku itu, ya Tuanku Raja. Hamba berserta semua yang ada pada hamba ialah milik tuanku." 5Kemudian para utusan itu kembali lagi dan berkata, "Beginilah titah Benhadad, 'Memang aku telah menyuruh orang menemuimu dengan pesan, "Engkau harus menyerahkan perak, emas, isteri-isteri, dan anak-anakmu kepadaku," 6tetapi esok pada waktu seperti ini, aku akan menyuruh pegawai-pegawaiku kepadamu untuk menggeledah rumahmu dan rumah pegawai-pegawaimu. Nanti, semua yang kausukai akan diambil mereka dan dibawa mereka.' " 7Lalu Raja Israel memanggil semua tua-tua negeri itu dan berkata, "Lihatlah dan perhatikanlah bagaimana orang ini mengikhtiarkan kesusahan terhadap kita. Ketika dia menyuruh orang menemuiku lalu meminta isteri-isteri dan anak-anakku, juga perak serta emasku, aku tidak menolak tuntutannya." 8Maka kata semua tua-tua dan seluruh rakyat itu kepadanya, "Jangan dengarkan dan jangan luluskan keinginannya." 9Oleh sebab itu dia berkata kepada para utusan Benhadad, "Katakanlah kepada Tuanku Raja, 'Segala sesuatu yang kali pertama tuanku tuntut daripada hambamu ini akan hamba lakukan, tetapi permintaan yang sekarang ini tidak dapat hamba lakukan.' " Maka pergilah mereka menyampaikan perkataan itu kepada Benhadad. 10Benhadad mengutus orang lagi untuk menemuinya dengan pesan, "Biarlah tuhan mengazab aku bahkan lebih lagi, jika debu Tanah Samaria nanti masih cukup untuk digenggam seluruh pasukan yang mengiringi aku!" 11Jawab Raja Israel, "Katakanlah kepadanya, 'Janganlah orang yang baru menyandang senjata bermegah seolah-olah sudah menanggalkannya.' " 12Apabila Benhadad mendengar perkataan itu, dia sedang minum-minum bersama dengan para raja di dalam pondok, berkatalah dia kepada pegawai-pegawainya, "Bersiaplah!" Maka mereka bersiap-siap untuk menyerang kota itu. 13Sementara itu seorang nabi datang menghadap Ahab, Raja Israel, dan berkata, "Beginilah firman Tuhan, 'Sudahkah kaulihat seluruh pasukan yang besar itu? Sesungguhnya, pada hari ini Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tanganmu dan engkau akan tahu bahawa Akulah Tuhan.' " 14Tanya Ahab, "Dengan perantaraan siapa?" Kata nabi itu, "Beginilah firman Tuhan, 'Dengan perantaraan pengiring para pembesar wilayah.' " Tanyanya lagi, "Siapakah yang akan memulai peperangan?" Jawabnya, "Engkau." 15Maka dihitungnya jumlah pengiring para pembesar wilayah itu ada seramai dua ratus tiga puluh dua orang. Setelah itu, dihitungnya pula jumlah seluruh pasukan, iaitu seluruh orang Israel, tujuh ribu orang semuanya. 16Maka keluarlah mereka pada waktu tengah hari, sementara Benhadad minum-minum sampai mabuk di dalam pondok bersama dengan kesemua tiga puluh dua orang raja yang membantunya itu. 17Ketika pengiring kepada para pembesar wilayah itu maju lebih dahulu, Benhadad menyuruh orang menyelidikinya. Kepadanya diberitahukan, "Ada orang yang keluar dari Samaria." 18Katanya, "Jika mereka datang dengan tujuan berdamai, tangkap mereka juga hidup-hidup! Tetapi jika mereka datang dengan tujuan berperang, tangkap juga mereka hidup-hidup!" 19Sementara itu pengiring kepada para pembesar wilayah keluar dari dalam kota, diiringi pasukan yang mengikuti mereka. 20Masing-masing menewaskan lawannya sehingga orang Aram itu melarikan diri, dikejar oleh orang Israel. Benhadad, raja Aram, juga menyelamatkan diri dengan menunggangi kuda bersama beberapa orang pasukan berkuda. 21Raja Israel pun keluar. Dipukulnya kalah kuda dan rata, lalu dilakukannya pembantaian besar-besaran dalam kalangan Aram. 22Kemudian nabi itu datang menghadap Raja Israel dan berkata kepadanya, "Pergilah, kuatkanlah hatimu. Fikirkan dan pertimbangkanlah apa yang harus kaulakukan, kerana pada tahun yang berikut raja Aram akan maju menyerang engkau lagi."
Pertempuran dekat kota Afek
23Para pegawai raja Aram berkata kepada raja, "Tuhan mereka tuhan gunung; maka sebab itulah mereka lebih kuat daripada kita. Tetapi jika kita berperang melawan mereka di tanah datar, pasti kita lebih kuat daripada mereka. 24Lakukanlah hal ini, tuanku: Singkirkanlah raja masing-masing daripada kedudukan mereka dan angkatlah para pembesar untuk menggantikan mereka. 25Selanjutnya, kerahkanlah pasukan tuanku seramai yang telah tewas, demikian juga segala kuda dan rata. Kita harus berperang melawan mereka di tanah datar. Pasti kita lebih kuat daripada mereka." Raja mendengar dan bertindak menurut usul mereka itu. 26Pada tahun yang berikut, Benhadad mengerahkan pasukan Aram lalu maju ke Afek untuk berperang melawan orang Israel. 27Orang Israel pun mengerahkan pasukan mereka. Setelah siap dengan segala perbekalan, mereka pergi menghadapi orang Aram. Orang Israel berkhemah berhadapan dengan mereka seperti dua kawanan kecil kambing, sementara orang Aram memenuhi negeri itu. 28Kemudian seorang hamba Allah datang menghadap Raja Israel dan berkata kepadanya, "Beginilah firman Tuhan, 'Kerana orang Aram telah berkata, "Tuhan ialah tuhan gunung dan bukan tuhan lembah," maka Aku akan menyerahkan seluruh pasukan yang besar ini ke dalam tanganmu dan kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan.' " 29Tujuh hari lamanya mereka berkhemah berhadap-hadapan, dan pada hari ketujuh perang pun dimulai. Dalam satu hari, orang Israel menewaskan seratus ribu orang pasukan berjalan kaki daripada kalangan Aram. 30Orang yang terselamat melarikan diri ke Afek, ke dalam kota, tetapi temboknya roboh menimpa dua puluh tujuh ribu orang yang terselamat itu. Benhadad pun melarikan diri ke kota, lalu masuk ke sebuah bilik yang letaknya sangat jauh di dalam. 31Kata pegawai-pegawainya kepadanya, "Sesungguhnya, kami telah mendengar bahawa raja-raja keturunan kaum Israel itu memang raja yang berbelas kasihan. Izinkan kami mengenakan kain perkabungan pada pinggang kami dan tali pada kepala kami, lalu keluar mendapatkan Raja Israel. Mudah-mudahan dia akan menyelamatkan nyawamu." 32Kemudian mereka melilitkan kain perkabungan pada pinggang mereka dan tali pada kepala mereka, lalu pergi menghadap Raja Israel dan berkata, "Hambamu Benhadad berkata, 'Kumohon, biarkan hamba tetap hidup.' " Katanya, "Masih hidupkah dia? Dia saudaraku." 33Mereka itu menganggapnya sebagai petanda baik dan segera memegang kata-katanya itu. Kata mereka, "Ya, saudara Tuankulah Benhadad." Kata Ahab, "Pergilah dan bawalah dia ke mari." Lalu keluarlah Benhadad mendapatkan Ahab, lalu Ahab mengajak Benhadad naik ke atas ratanya. 34Kata Benhadad kepadanya, "Kota-kota yang telah diambil ayah hamba daripada ayah tuan akan hamba kembalikan. Tuan boleh membuat pasar bagi tuan di Damsyik, seperti yang telah dibuat ayah hamba di Samaria." Kata Ahab, "Atas dasar perjanjian itu aku akan melepaskan engkau pergi." Demikianlah Ahab mengikat perjanjian dengan Benhadad dan melepaskannya pergi. Nubuat tentang hukuman yang akan menimpa Raja Ahab 35Atas perintah Tuhan, seorang daripada rombongan nabi berkata kepada kawannya "Pukullah aku!" Tetapi kawannya itu enggan memukulnya. 36ALalu dia berkata kepadanya, "Ketahuilah, kerana engkau tidak mematuhi Tuhan, maka sebaik sahaja engkau pergi meninggalkan aku, seekor singa akan menerkam engkau." Maka ketika orang itu pergi meninggalkannya, seekor singa menghalang dia dan menerkamnya. 37Kemudian nabi itu bertemu dengan seorang yang lain dan berkata, "Pukullah aku!" Orang itu benar-benar memukul dan melukainya. 38Setelah itu, pergilah nabi itu dan menantikan raja di tepi jalan. Dia menyamar dengan membalut matanya. 39Pada waktu raja berlalu, berserulah dia kepada raja, katanya, "Hambamu ini maju ke tengah-tengah peperangan, lalu tiba-tiba ada orang yang menyimpang dan membawa seseorang kepadaku. Dia berkata, 'Jagalah orang ini. Kalau dia sampai hilang, maka nyawamu ialah ganti nyawanya, atau engkau harus membayar satu talenta perak.' 40Ketika hambamu ini sibuk ke sana ke mari, orang itu hilang pula." Kata Raja Israel kepadanya, "Itulah hukumanmu. Engkau sendiri yang telah memutuskannya." 41Kemudian segeralah dia membuka pembalut itu daripada matanya, dan Raja Israel mengenalinya sebagai seorang daripada nabi. 42Kata nabi itu kepadanya, "Beginilah firman Tuhan, 'Kerana engkau telah melepaskan daripada tanganmu orang yang Kukhususkan untuk ditumpaskan, maka nyawamu ialah ganti nyawanya dan rakyatmu ganti rakyatnya." 43Maka pergilah Raja Israel ke istananya dengan marah dan geram, lalu dia sampai di Samaria.