Alkitab Versi Borneo |
Obaja bertemu dengan Elia 1Sesudah beberapa lama, pada tahun ketiga datanglah firman Tuhan kepada Elia demikian, "Pergilah, tunjukkanlah dirimu kepada Ahab, kerana Aku akan menurunkan hujan ke atas muka bumi." 2Maka Elia pun pergi untuk menunjukkan diri kepada Ahab. Ketika itu, bencana kebuluran sedang menyerang dengan hebatnya di Samaria. 3Maka Ahab memanggil Obaja, kepala istananya dan seorang yang sangat takut kepada Tuhan. 4Pada waktu Izebel melenyapkan nabi-nabi Tuhan, Obaja membawa seratus orang nabi lalu menyembunyikan mereka dalam dua kelompok di dalam gua, lima puluh orang sekelompok, dan menyediakan roti serta air untuk mereka. 5Kata Ahab kepada Obaja, "Jelajahilah negeri ini, datangi semua mata air dan sungai. Barangkali kita dapat menemukan rumput sehingga kita dapat menyelamatkan kuda dan baghal, agar kita tidak kehilangan kesemua binatang itu." 6Maka mereka membahagikan negeri itu untuk dijelajahi. Ahab pergi seorang diri ke arah yang satu dan Obaja pergi seorang diri ke arah yang satu lagi. 7Sewaktu Obaja dalam perjalanan, tiba-tiba dia bertemu dengan Elia. Obaja mengenalinya lalu sujud dan berkata, "Benarkah ini tuanku Elia?" 8Jawabnya, "Benar. Pergilah, katakan kepada tuanmu, 'Elia ada di sini.' " 9Kata Obaja, "Apakah dosa hamba, sehingga tuan menyerahkan hambamu ini ke dalam tangan Ahab untuk dibunuh olehnya? 10Demi Tuhan, Allahmu yang hidup, tidak ada bangsa atau kerajaan yang tidak didatangi oleh suruhan tuanku Ahab untuk mencari tuan. Apabila orang berkata, 'Dia tidak ada,' maka dia menyuruh kerajaan atau bangsa itu bersumpah bahawa mereka memang tidak menemukan tuan. 11Tetapi sekarang tuan berkata, 'Pergilah, katakanlah kepada tuanmu, "Elia ada di sini." ' 12Nanti, setelah hamba pergi meninggalkan tuan, roh Tuhan mengangkat tuan ke tempat yang tidak hamba ketahui. Lalu apabila hamba datang memberitahu Ahab dan dia tidak mendapati tuan, maka dia akan membunuh hamba, padahal hambamu ini takut kepada Tuhan sejak kecil. 13Tidakkah diberitahukan kepada tuanku apa yang hamba lakukan ketika Izebel membunuh nabi-nabi Tuhan? Hamba menyembunyikan seratus orang daripada kalangan nabi Tuhan di dalam gua, lima puluh orang sekelompok, dan menyediakan bagi mereka roti serta air. 14Tetapi sekarang tuan berkata, 'Pergilah, katakanlah kepada tuanmu, "Elia ada di sini." ' Pasti dia akan membunuh hamba." 15Kata Elia, "Demi Tuhan alam semesta, yang hidup dan yang kepada-Nya aku mengabdikan diri, sesungguhnya hari ini juga aku akan memperlihatkan diri kepadanya." Elia bertemu dengan Raja Ahab 16Maka pergilah Obaja menemui Ahab dan memberitahukan hal itu kepadanya. Lalu Ahab pun pergi menemui Elia. 17Pada waktu Ahab melihat Elia, Ahab berkata kepadanya, "Engkaukah ini, wahai orang yang menyusahkan Israel?" 18Jawabnya, "Bukan aku yang menyusahkan Israel, melainkan engkau dan kaum keluargamu, kerana kamu telah meninggalkan perintah-perintah Tuhan lalu mengikuti para Baal. 19Sekarang, kumpulkanlah semua orang Israel lalu temui aku di Gunung Karmel. Ajak pula empat ratus lima puluh orang nabi Baal itu, dan empat ratus orang nabi Asyera, yang mendapat makanan dari meja Izebel." Elia di Gunung Karmel 20Ahab mengirim utusan ke seluruh orang Israel dan mengumpulkan nabi-nabi di Gunung Karmel. 21Kemudian Elia mendekati seluruh rakyat itu dan berkata, "Berapa lama lagi kamu akan berjalan tempang dengan hati yang bercabang? Jika Tuhan itu Allah, ikutilah Dia, tetapi jika Baal itu Allah, ikutilah dia." Rakyat tidak menjawab dia sepatah kata pun. 22Kemudian Elia berkata kepada rakyat, "Hanya aku sendiri inilah yang masih tinggal sebagai nabi Tuhan, manakala nabi-nabi Baal itu ada empat ratus lima puluh orang jumlahnya. 23Berilah kami dua ekor lembu jantan. Mereka boleh memilih seekor lembu untuk mereka, memotong-motongnya, lalu meletakkannya di atas kayu api, tetapi jangan letakkan api pada kayu api itu. Aku akan mengolah lembu yang seekor lagi, meletakkannya di atas kayu api, juga tanpa meletakkan api pada kayu api itu. 24Serulah nama tuhanmu dan aku pula akan menyeru nama Tuhan. Yang menjawab dengan api, dialah Allah." Kata seluruh rakyat itu, "Usul yang baik!" 25Kemudian berkatalah Elia kepada nabi-nabi Baal itu, "Pilihlah seekor lembu untukmu dan olahlah lebih dahulu, kerana kamu ramai jumlahnya. Serulah nama tuhanmu, tetapi jangan letakkan api." 26Maka mereka mengambil lembu yang diberikan kepada mereka, mengolahnya, lalu memanggil nama Baal dari pagi sampai tengah hari. Mereka berseru-seru, "Ya Baal, jawablah kami!" Tetapi tidak ada suara dan tidak ada yang menjawab. Sementara itu mereka berkinja-kinja di sekeliling mazbah yang dibuat mereka. 27Pada tengah hari Elia mengolok-olok mereka, katanya, "Panggillah dengan suara nyaring! Bukankah dia itu tuhan? Mungkin dia sedang berfikir, mungkin dia sedang melegakan diri di bilik air, mungkin dia sedang dalam perjalanan. Jangan-jangan dia tertidur dan harus dibangunkan." 28Maka mereka memanggil dengan suara nyaring dan menoreh-noreh diri dengan pedang dan tombak seperti yang biasa dilakukan mereka, sehingga darah bercucuran daripada tubuh mereka. 29Setelah berlalunya tengah hari, mereka terus meramal sampai waktu mempersembahkan persembahan petang. Namun demikian, tidak ada suara, tidak ada yang menjawab, dan tidak ada yang memberi perhatian. 30Lalu kata Elia kepada seluruh rakyat, "Datanglah dekat kepadaku!" Maka seluruh rakyat pun mendekatinya. Kemudian Elia memperbaik mazbah Tuhan yang telah diruntuhkan itu. 31ASeterusnya Elia mengambil dua belas buah batu selaras dengan jumlah suku bani Yakub – kepada Yakub ini pernah datang firman Tuhan demikian, "Namamu akan menjadi Israel." 32Dengan batu-batu itu dibinanya suatu mazbah demi nama Tuhan dan dibuatnya parit di sekeliling mazbah itu, yang dapat memuat benih sebanyak dua sukatan. 33Diaturnya kayu api, lalu dipotong-potongnya lembu itu, dan diletakkannya di atas kayu api. 34Kemudian dia berkata, "Isilah empat buah tempayan dengan air, lalu curahkanlah air itu ke atas korban bakaran dan juga kayu api itu." Katanya, "Buatlah begitu untuk kali kedua." Lalu mereka melakukan hal itu untuk kali keduanya. Katanya lagi, "Buatlah begitu untuk kali ketiga." Maka mereka melakukannya lagi untuk kali ketiga. 35Air pun mengalir daripada mazbah itu, memenuhi parit di sekelilingnya. 36Ketika tiba waktu mempersembahkan persembahan petang, majulah Nabi Elia dan berkata, "Ya Tuhan, Allah Abraham, Ishak, dan Israel, biarlah pada hari ini mereka tahu bahawa Engkaulah Allah di Israel, bahawa aku ini hamba-Mu, dan bahawa aku melakukan segala hal ini berdasarkan firman-Mu. 37Jawablah aku, ya Tuhan, jawablah aku, supaya umat ini tahu bahawa Engkau, ya Tuhan, sememangnya Allah, dan bahawa Engkaulah yang membuat hati mereka berbalik kembali." 38Maka turunlah api Tuhan melahap korban bakaran, kayu api, batu-batu, dan debu tanah, serta menjilat air yang ada di dalam parit itu. 39Ketika seluruh rakyat melihat hal itu, sujudlah mereka lalu berkata, "Tuhan, Dialah Allah! Tuhan, Dialah Allah!" 40Kata Elia kepada mereka, "Tangkaplah nabi-nabi Baal itu. Jangan biarkan terlepas seorang pun daripada mereka!" Mereka pun ditangkap, lalu Elia membawa mereka turun ke Sungai Kison dan menyembelih mereka di sana. 41Kemudian berkatalah Elia kepada Ahab, "Pergilah, makan dan minumlah, kerana sudah terdengar bunyi derau hujan." 42BAhab pun pergi untuk makan dan minum, tetapi Elia naik ke puncak Gunung Karmel, lalu membongkok ke tanah dengan mukanya di antara kedua-dua lututnya. 43Katanya kepada pelayannya, "Naiklah ke atas, pandang ke arah laut." Pelayan itu naik, melayangkan matanya, dan berkata, "Tidak ada apa-apa!" Elia berkata, "Naiklah lagi" sampai tujuh kali. 44Pada kali ketujuh pelayan itu berkata, "Ada awan kecil sebesar telapak tangan muncul dari laut." Kata Elia, "Pergilah, katakan kepada Ahab, 'Pasanglah ratamu dan turunlah, supaya engkau tidak tertahan oleh hujan.' " 45Seketika sahaja langit menjadi gelap oleh awan dan angin, lalu turunlah hujan lebat. Ahab menaiki ratanya lalu pergi ke Yizreel. 46Sementara itu, kuasa Tuhan turun ke atas Elia. Dia menyingsing jubahnya dan mengikat pinggang lalu berlari mendahului Ahab sampai ke jalan pintu gerbang Yizreel.