Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Raja-Raja 17

A A A
Alkitab Versi Borneo

Elia menubuatkan ketibaan kemarau

1ASuatu waktu, Elia, orang Tisbe dari Tisbe-Gilead, berkata kepada Ahab, "Demi Tuhan yang hidup, Allah Israel, yang kepada-Nya aku mengabdikan diri, sesungguhnya tidak akan turun embun atau hujan pada tahun-tahun ini kecuali jika mulutku mengatakannya."

2Lalu datanglah firman Tuhan kepadanya demikian, 3"Pergilah dari sini ke arah timur dan bersembunyilah di tepi Sungai Kerit, di sebelah timur Sungai Yordan. 4Engkau dapat minum dari sungai itu, dan burung-burung gagak telah Kuperintahkan untuk menyediakan makananmu di sana."

5Maka pergilah dia dan bertindak selaras dengan firman Tuhan. Dia tinggal di tepi Sungai Kerit, di sebelah timur Sungai Yordan. 6Burung-burung gagak membawakannya roti dan daging pada pagi dan juga petang hari, dan dia minum air dari sungai itu.

Elia dan balu di Sarfat

7Setelah berlalunya beberapa waktu, keringlah sungai itu kerana hujan tidak turun-turun di negeri itu. 8Lalu datanglah firman Tuhan kepadanya demikian, 9B"Pergilah segera ke Sarfat, wilayah Sidon, dan tinggallah di sana. Ketahuilah, Aku telah memerintahkan seorang balu untuk menyediakan makananmu di sana." 10Elia pun segera pergi ke Sarfat. Sesampainya dia di pintu gerbang kota itu, tampak ada seorang balu yang sedang mengumpulkan kayu api di sana. Elia memanggilnya dan berkata, "Tolong ambilkan bagiku sedikit air di dalam kendi, supaya aku dapat minum." 11Ketika perempuan itu hendak pergi mengambilnya, Elia memanggilnya lagi dan berkata, "Tolong bawakan juga bagiku sepotong roti."

12Maka kata perempuan itu, "Demi Tuhan, Allahmu yang hidup, tidak ada padaku sepotong roti pun, kecuali segenggam penuh tepung di dalam tempayan dan sedikit minyak dalam buyung. Sekarang ini aku sedang mengumpulkan satu dua potong kayu api, supaya aku dapat pulang serta mengolah tepung itu bagi diriku dan bagi anakku sehingga kami dapat makan, lalu setelah itu kami mati."

13Kata Elia kepadanya, "Jangan takut. Pergilah dan lakukanlah seperti yang kaukatakan, tetapi buatlah dahulu bagiku sepotong roti bundar kecil daripada tepung itu dan bawalah kepadaku. Setelah itu, barulah buat bagi dirimu dan bagi anakmu. 14Beginilah firman Tuhan, Allah Israel, 'Tepung dalam tempayan itu tidak akan habis dan minyak di dalam buyung itu tidak akan berkurang sampai saat Tuhan menurunkan hujan ke atas muka bumi.' "

15Perempuan itu pun pergi dan bertindak selaras dengan perkataan Elia. Maka perempuan itu berserta dengan keluarganya dan juga Elia dapat makan selama beberapa waktu. 16Tepung dalam tempayan itu tidak pernah habis dan minyak dalam buyung itu tidak juga berkurang, selaras dengan firman yang disampaikan Tuhan dengan perantaraan Elia.

17Tidak berapa lama sesudah peristiwa itu, anak lelaki perempuan pemilik rumah itu jatuh sakit. Sakitnya amat parah sehingga anak itu berhenti bernafas. 18Kata perempuan itu kepada Elia, "Apa masalahku dengan engkau, ya hamba Allah? Engkau telah singgah di tempatku untuk mengingatkan kesalahanku dan untuk membunuh anakku."

19Kata Elia, "Bawalah anakmu itu kepadaku." Lalu diambilnya anak itu daripada pangkuan ibunya, dibawanya naik ke bilik atas tempat dia tinggal, dan dibaringkannya di tempat tidurnya. 20Kemudian berserulah dia kepada Tuhan, katanya, "Ya Tuhan Allahku, adakah Engkau mendatangkan malapetaka ke atas balu yang menerima aku sebagai pendatang ini, dengan membunuh anaknya?" 21CLalu dia mengunjurkan tubuhnya di atas anak itu tiga kali dan berseru kepada Tuhan, katanya, "Ya Tuhan, Allahku, kembalikanlah kiranya nyawa anak ini ke dalam tubuhnya." 22Tuhan mendengar seruan Elia. Nyawa anak itu pun kembali ke dalam tubuhnya sehingga dia hidup lagi.

23Elia mengambil anak itu, membawanya turun dari bilik atas ke dalam rumah, dan menyerahkannya kepada ibunya. Kata Elia, "Lihatlah, anakmu hidup."

24Kata perempuan itu kepada Elia, "Sekarang aku tahu bahawa engkau ini hamba Allah, dan firman Tuhan yang kaukatakan itu benar."