Alkitab Versi Borneo |
Kematian Raja Saul 1Maka orang Filistin berperang melawan orang Israel di Gunung Gilboa lalu larilah orang Israel dari hadapan orang Filistin dan ramailah yang terkorban. 2Lalu orang Filistin mengejar Saul dan anak-anaknya lalu mereka membunuh Yonatan, Abinadab, dan Malkisua, iaitu anak-anak Saul. 3Semakin sengit peperangan itu menghimpit Saul lalu para pemanah mendapatkannya maka Saul luka parah di tangan para pemanah itu. 4Berkatalah Saul kepada pembawa senjatanya: 'Hunuslah pedangmu dan tikamlah aku, supaya jangan datang kalangan yang tidak bersunat ini menikam aku dan mempermainkan aku.' Namun begitu, pembawa senjata yang amat takut itu enggan menurut perintah itu. Maka Saul sendiri mengambil pedang itu dan menjatuhkan dirinya ke atasnya. 5Apabila pembawa senjatanya melihat bahawa Saul sudah mati, dia juga menjatuhkan dirinya ke atas pedangnya, lalu mati. 6Maka gugurlah Saul dan ketiga-tiga anaknya serta seluruh keluarganya. 7Apabila orang Israel yang berada di lembah itu lihat betapa pasukan Israel telah lari, dan betapa Saul serta para anaknya telah gugur, mereka pun melarikan diri untuk meninggalkan kota-kota mereka. Kemudian datanglah orang Filistin dan tinggal di kota-kota itu. 8Keesokan harinya, ketika orang Filistin datang untuk merampas apa-apa sahaja yang ada pada musuh yang terkorban itu, mereka menemukan Saul dan ketiga-tiga orang anaknya yang bergelimpangan di Gunung Gilboa. 9Lalu mereka memenggal kepala Saul, melucutkan baju perangnya dan mengutus beberapa orang berkeliling tanah orang Filistin untuk menguar-uarkan hal itu di rumah-rumah berhala mereka dan juga kepada rakyat. 10Mereka menyimpan segala senjata Saul di dalam kuil tuhan mereka serta memakukan kepalanya di rumah berhala Dagon. 11Apabila penduduk Yabesh-Gilead mendengar segala yang telah dilakukan orang Filistin terhadap Saul, 12segera bersiaplah semua orang yang gagah perkasa lalu mereka pergi mengambil mayat Saul dan mayat para anaknya. Mereka membawanya ke Yabesh dan menguburkan tulang-tulang mereka itu di bawah pokok oak di Yabesh. Kemudian mereka berpuasa selama tujuh hari. 13BDemikianlah Saul mati kerana kemungkaran yang dilakukannya terhadap Tuhan. Dia tidak berpegang teguh pada firman Tuhan, malah bertanya kepada pemanggil arwah untuk mencari petunjuk, 14dan bukan mencari petunjuk Tuhan. Oleh sebab itu Tuhan mengambil nyawanya dan mengalihkan kerajaan itu kepada Daud anak Isai.