Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

KESUKARAN DALAM PENERJEMAHAN ROMA 9:5

Wed 09 Aug 2017

Oleh admin@borneosabda.org

Penerjemahan Roma 9:5

Oleh: Pdt. Herb Tong

Kepada pembaca-pembaca ABV yang dihargai, yang baru-baru ini menemui ayat tersebut dan mendapati bahawa penterjemahannya tidak memuaskan. 
Terlebih dahulu perlulah diisytiharkan di sini bahawa penterjemah-penterjemah AVB tidak mempunyai niat untuk "menggugurkan" sebarang perkataan daripada ayat bahasa asal, atau mengubahkan maknanya. 
Penterjemahan AVB pada ayat-ayat lain, contohnya Yohanes 1:1, Ibrani 1:8, Yohanes 20:28, sudah cukup jelas menunjukkan keiklasan tujuan para penterjemah AVB, seperti berikut:

     "...dan Firman itu ialah Allah",

     "...tentang Anak itu Dia berfirman: 'Takhta-Mu, ya Allah, kekal selama-lamanya... '",

     "Tomas pun berkata kepada Yesus, 'Ya Tuhanku! Ya Allahku!'".

 

1)  Sepatah Dua Kata Tentang Bahasa Yunani Kuno

Orang Yunani purba tidak menggunakan tanda baca seperti yang ada pada hari ini. Tanda-tanda dalam ayat bacaan hanya dicipta beberapa abad selepas zaman Kristus. Salinan naskhah tertua Perjanjian Baru Yunani dan Perjanjian Lama Ibrani ditulis tanpa tanda baca.

Di samping itu, orang Yunani purba tidak menggunakan ruang antara perkataan atau perenggan. Teks bahasa Yunani kuno terdiri daripada rentetan huruf yang berterusan, kadang-kadang disisip dengan garis kosong untuk menandakan akhir suatu perenggan utama, walaupun amalan ini tidak selalu berlaku.

Bahasa Yunani kuno juga tidak mempunyai sistem yang bersamaan dengan huruf kecil yang kita gunakan pada hari ini. Semua teks adalah dalam bentuk huruf besar.

Sebagai contoh, cuba baca teks bahasa Melayu apabila semua tanda baca telah dibuang: 

APAYANGDITULISKANDISINI

 

2) Perbandingan Bentuk Ayat Roma 9:5

Maklumlah, penggunaan tanda baca yang salah boleh mengubah makna sesuatu ayat.  Walau bagaimanapun hal ini sering tidak dianggap sebagai masalah besar kecuali dalam beberapa kes tertentu. 

Marilah kita memperhatikan bentuk ayat bahasa asal yang digunakan dalam Perjanjian Baru Yunani (Greek New Testament):
(a)  Bahagian atas (dalam gambar) menunjukkan ayat tanpa tanda baca, diiringi terjemahan bahasa Inggeris dalam bentuk terjemahan harfiah. 
(b) Bahagian kedua (dalam gambar) menunjukkan ayat dengan tanda baca, yang telah disisipkan di dalam ayat-ayat dalam penerbitan Perjanjian Baru Yunani. 
(c) Bahagian ketiga (dalam gambar) memberikan terjemahan dalam bahasa Yunani moden.

 

3)  Pembubuhan Perkataan & Tanda Baca dalam Proses Penterjemahan

Sebagai suatu contoh, terjemahan (dalam gambar) menunjukkan bahawa dalam proses penterjemahan daripada bahasa klasik kepada bahasa Greek moden, perlu ditambah satu perkataan "εγεννηθη" (lahir) di dalam ayat itu supaya ertinya jelas bagi seorang pembaca. 
Dalam terjemahan Yunani moden ini, susunan kata-kata di hujung ayat itu tidak berubah. Bahagian ayat inilah yang tidak jelas dalam terjemahan Yunani moden ataupun dalam Yunani klasik, dan perkara ini juga yang menimbulkan percanggahan dalam kalangan para pembaca. 
Tanda-tanda baca yang sudah ada dalam penerbitan "Greek New Testament" tidak cukup untuk proses penterjemahan bahasa-bahasa moden. Oleh sebab itu, AVB membahagikan Roma 9:5 kepada 5 ayat. 

Sebenarnya draf terjemahan AVB pada awalnya ialah seperti berikut (bahagian hujung Roma 9:5): 

"Dialah yang terutama dari segala sesuatu iaitu Allah yang dipuji selama-lamanya..."

Kemudian ayat itu dibahagikan menjadi:

"Dialah yang terutama dari segala sesuatu. Terpujilah  Allah selama-lamanya. Amin."

Pembahagian ayat ini seolah-olah memberikan makna yang berbeza. 

 

4)  Penerbitan Masa Depan

Walau bagaimanapun, para penerbit AVB merancang untuk menyambung balik ayat itu supaya menjadi: 

"Dialah yang terutama dari segala sesuatu, Allah yang terpuji selama-lamanya. Amin"

Adalah diharapkan bahawa dengan perubahan itu sebarang tafsiran percanggahan yang mungkin timbul mengenai penerjemahan ayat Roma 9:5 dapat diatasi.