Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

OIKOS dan Penyelamatan Jiwa

Thu 15 Dec 2016

Oleh admin@borneosabda.org

OIKOS & Penyelamatan Jiwa

1.  Membina Oikos

"Melalui iman Nuh, yang diberi amaran tentang perkara-perkara yang belum dilihat, telah bertindak dengan rasa takut akan Allah.  Nuh telah menyediakan bahtera untuk menyelamatkan seisi rumahnya.  Dengan demikian dia telah menghukum dunia dan mewarisi perbenaran menurut iman" (Ibrani 11:7, AVB).

Perbenaran melalui iman dipelihara melalui Nuh dan seisi rumahnya (oikos), dan disemai di dalam Abraham serta dikembangkan dalam keturunannya iaitu rumah Israel.  Kemudian Penyelamat Yesus Kristus datang menunaikan perbenaran itu, dan menjadi Batu Penjuru di Rumah Allah dalam abad Perjanjian Baru. Sekarang setiap jiwa yang diselamatkan kerana iman, sudah pun diperbenar, dan terus digunakan sebagai batu hidup untuk membina rumah (oikos) rohani Allah.

 2. Pekerjaan Iman Dalam Oikos

"Apakah yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?" tanya ketua penjara di Filipi.

"Percayalah kepada Tuhan Yesus, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu (oikos)," jawab Paulus dan Silas (Kisah 16:30-31). 

Jawapan kepada ketua penjara itu membawa suatu janji yang bercabang dua, iaitu penyelamatan untuk dirinya sendiri dan untuk anggota-anggota rumahnya.

Kita boleh membayangkan bahawa ketua penjara tersebut, sebagai seorang pegawai, mempunyai isi rumah yang besar – anggota-anggotanya mungkin termasuk pembantu-pembantu rumah, pesuruh-pesuruh, bahkan hamba-hamba, selain daripada keluarganya sendiri.  Tentu sahaja seisi rumahnya akan tunduk kepadanya kerana mereka di bawah penguasaan dan pengurusannya.  Begitu juga dalam segi rohani.  Sejauh mana dan seramai mana jiwa-jiwa dapat dibawa ke dalam Kerajaan Surga, itu terpulang kepada lingkungan kekuasaan iman daripada kepala oikos itu.

 3. Lingkungan Oikos dan Pemenuhan Rancangannya  

Setiap oikos mempunyai perbatasan sendiri, bergantung kepada anggapan, iman dan kemampuan tuan rumahnya.  Paulus dan Silas membuat janji penyelamatan hanya untuk ketua penjara dan seisi rumahnya sahaja (Kis 16:31).  Apabila Yosua mengistiharkan dengan yakin, "… aku dan keluargaku…" (οικια LXX, Yos 24:15), dia mengambil keputusan bagi pihak keluarganya sahaja.  Paulus memberi nasihat bahawa seorang penyelia "mesti tahu mengurus rumah tangganya [sahaja] dengan baik" (1 Tim 3:4).  Rujukan-rujukan di atas membawa nada kepastian akan pemenuhan hal itu dalam oikos yang di bawah satu bumbung.  Apabila seseorang dipercayakan dengan kuasa untuk mengambil keputusan bagi pihak tertentu, kekuasaan pasti ada dalam tangannya untuk memenuhi rancangannya.

Dengan demikian kita dapat mengeluarkan suatu prinsip dalam pelayanan oikos, iaitu:

JIKA SESEORANG BERPERANAN SEBAGAI TUAN RUMAH, RANCANGANNYA UNTUK RUMAH (OIKOS) ITU AKAN TERLAKSANA DENGAN PASTI.

atau pun:

JIKA TUAN RUMAH  MEMEGANG PERANAN RUMAH ROHANI, SELURUH ISI RUMAHNYA (OIKOS) PUN TERBAWA DEKAT KEPADA PENYELAMATAN.

Bagaimanapun pemenuhan secara automatik tidak akan berlaku.  Kita perlu mengerjakan rancangan yang ditentukan untuk oikos, sama seperti orang Tesalonika yang " bekerja dalam iman, berusaha dengan kasih and bersabar dengan sepenuh harapan kepada Tuhan." (1 Tes 1:3).

Kekuasaan yang disediakan sebagai bekalan dari atas pasti cukup untuk melakukan segala usaha di seluruh oikos sendiri.  Selain daripada itu, Paulus mencadangkan supaya "memperluas lingkungan" dengan bertambah iman.  Akibatnya Injil dapat disampaikan "di kawasan-kawasan yang lebih jauh lagi daripada tempatmu" (2 Kor 10:15,16).

 

4. Oikos Menjadi Sarang

Berbalik kepada peristiwa di Filipi, kita melihat bahawa ketua penjara itu sedang memainkan peranan sebagai pintu menyalurkan Firman Tuhan kepada seisi rumahnya (Kis 16:32).  Dengan demikian setiap oikos mempunyai potensi untuk menjadi sebuah sarang di mana jiwa-jiwa dapat dilahirkan kembali ke dalam Kerajaan Syurga, serta dipelihara dan digembalakan. 

Oleh sebab itu, pada awal abad Perjanjian Baru orang salih melakukan pelayanan mereka “dari oikos ke oikos” (Kis 2:46).  Jika pelayanan oikos menjadi suatu pergerakan, maka suasana masyarakat akan menjadi seperti yang digambarkan oleh Yesus tentang pokok sesawi untuk “burung di udara membuat sarang pada cabangnya” (Matius 13:32)!

______________
Pdt Herb, LAB Network

15 Disember 2016