Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

OIKOS, OIKIA & Anak Abraham

Tue 13 Dec 2016

Oleh admin@borneosabda.org

OIKOS, OIKIA & Anak Abraham

1) Oikos

Oikos ialah komuniti manusia yang tinggal di dalam sebuah bangunan, atau yang tinggal di bawah satu bumbung.  Komuniti ini terdiri daripada anggota-anggota keluarga termasuk sanak saudara, pembantu-pembantu rumah dan orang suruhan.  Tanggapan umum  oikos ialah ‘keluarga’, ‘rumah tangga’ atau ‘seisi rumah’. 

Ada kalanya oikos digunakan untuk merujuk kepada suasana tempat tinggal.  Dalam peristiwa membangkitkan anak perempuan Yairus, Markus berkata "Apabila tiba di rumah (oikos) ketua saumaah" (Mk 5:38), sedangkan Matius berkata "Apabila Yesus sampai di rumah (oikia) ketua itu" (Mt 9:23).

Makna lain dalam Alkitab ialah:

  • Oikos = keturunan (Lukas 1:27)
  • Oikos = Rumah Allah (Matius 12:4)
  • Oikos = badan, rumah jiwa (Matius 12:44)
  • Oikos = keluarga Allah (1 Tim 3:15)
  • Oikos = umat Allah (1 Petrus 4:17)
  • Oikos = rumah rohani (1 Petrus2:5)

Nota:  Dalam penggunaannya lebih lama dahulu, istilah oikos membawa kedua-dua makna, iaitu seisi rumah dengan hartanya (Ruj: G. Abbott-Smith, Manual Greek Lexicon of The New Testament).

 

2) Oikia

Makna biasa oikia ialah ‘rumah’ sebagai tempat tinggal, atau tempat kediaman rohani, atau harta (termasuk tanah, bangunan, kebun, ternakan, hamba-hamba, dsb). Misalnya, di Matius 2:11 terdapat “masuk ke dalam ‘rumah’ (tempat tinggal)”.  2 Korintus 5:1 merujuk kepada seorang manusia sebagai ‘khemah tempat kediaman’ (tempat tinggal rohani).  Markus 12:40 menyebutkan “... merampas ‘rumah’ (harta)”.

Akan tetapi oikia digunakan apabila Paulus merujuk kepada ‘isi istana’ Kaisar (isi rumah Kaisar), walaupun yang dimaksudkan ialah orang di dalam tempat istana Kaisar. Begitu juga dengan sesetengah rujukan dalam Perjanjian Baru.  Misalnya, “ ... ‘keluarga’ yang berpecah belah” (Matius 12:25); “... seluruh ‘keluarganya’ percaya kepada Yesus” (Yohanes 4:53); “... Stefanus ‘sekeluarga’ merupakan hasil pertama” (1 Korintus 16:15).

 

3) Anak Abraham —  Zakheus (Lukas 19:1-10)

 

Yesus berkata kepada Zakheus, "Aku harus menumpang (μειναι) di rumahmu" (ay 5).  Istilah  μειναι (meinai) bererti ‘tinggal tetap’ atau ‘tinggal [dalam jangka masa panjang]’.  Bd Yohanes 15:4; 1 Yohanes 2:27.

Tetapi apabila orang ramai mendengar kata-kata Yesus itu serta melihat bahawa Zakheus sudah pun turun dari pohon ara untuk menyambut-Nya dengan sukacita, mereka mengkritik Yesus kerana "...menumpang (εισηλθεν καταλυσαι) di rumah orang yang berdosa pula" (ay 6).  Ungkapan “εισηλθεν καταλυσαι” (dah pergi menginap) menunjuk bahawa mereka telah salah tafsir tentang kata-kata Yesus tadi itu, dengan menganggap bahawa Yesus sudah pernah bermalam di rumah Zakheus, dan sekarang hendak berbalik untuk “tinggal [lebih lama]” di rumahnya lagi.  [Ini ialah pendapat peribadi saya.]

Lagi pun pada saat itu, senario tersebut masih terus berlangsung di bawah pohon ara (iaitu, Yesus dan murid-murid-Nya belum lagi ke rumah tempat tinggal Zakheus hari itu).  Seterusnya Zakheus menyatakan buah pertaubatannya dengan kata-kata yang terkeluar dari dalam hatinya yang ikhlas (ay 8).

Apabila melihat perubahan hati Zakheus, Yesus berkata kepadanya, "Pada hari ini juga penyelamatan telah datang kepada [seisi] rumah ini (οικω τουτω) kerana kamu juga seorang keturunan (υιος, anak) Abraham" (ay 9).  ‘Rumah ini’ ialah Zakheus sendiri sahaja, kerana dia ‘seorang anak [Abraham]’, dan tentu bukan keluarganya kerana tidak disebut ada di situ, juga bukan tempat tinggalnya kerana dia masih di bawah pohon ara.  Perhatikan juga kata-kata Yesus mengenai sebabnya penyelamatan telah datang kepadanya (sebabnya, dia sudah menjadi anak Abraham). 

Kita berbalik kepada ayat 5 di mana Yesus berkata "Aku harus menetap di rumahmu."  Ini bererti Zakheus harus menjadi rumah rohani yang Penyelamat Yesus akan tinggal selama-lamanya (bukan menginap sebentar sahaja).  Mengapa pula tiba-tiba nama Abraham dibangkitkan dalam perbualan ini (ay 9)?  Kerana Abraham ialah bapa iman dan sesiapa yang menyambut Anak Tunggal Allah dengan percaya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal (Yohanes 3:16).  Dan setiap orang yang percaya sedemikian ialah anak rohani Abraham -- "Oleh itu ketahuilah, hanya mereka yang beriman dianggap anak cucu Abraham" (Galatia 3:7).  Zakheus telah lahir sebagai anak keturunan Abraham menurut daging darah sahaja, dan dia perlu menjadi anak Abraham secara rohani untuk mengalami penyelamatan jiwanya.

 

Pdt Herb, LAB Network