Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

1 Korintus 4:7

Thu 08 Dec 2016

Oleh admin@borneosabda.org

Apakah maksud, "…yang ada padamu yang tidak kamu terima"?

RESPONS:

  1. Jika memang seseorang memiliki sesuatu yang bukan diterimanya, apa yang dimiliki itu ialah hasil usahanya sendiri.  Tentu dia akan membandingkan diri dengan orang lain seperti orang duniawi yang memegahkan diri kerana kebolehannya.  Sikap manusia inilah yang menjadikan suasana gereja di Korintus "berdengki-dengkian dan berbalah" (1 Kor 3:3).
  2. Sebaliknya jika apa yang ada padanya telah diterima [dengan percuma], si penerima itu harus menyedari bahawa yang ada padanya itu ialah kurnia-Allah yang telah diamanahkan kepadanya.  Dia tidak dapat bermegah-megah lagi dalam perkara itu.  Sebab itu, Paulus terus berkata, "Dan jika engkau memang menerimanya, mengapakah engkau memegahkan diri, seolah-olah engkau tidak menerimanya?"
  3. Mengapa gereja Korintus terpengaruh dengan masalah sosial tersebut? Masalah sosial itu muncul dalam masyarakat Kristian di Korintus kerana kedudukan rohani anggota-anggota gereja di situ, sehingga Paulus berkata mengenai mereka... "masih hidup secara duniawi atau yang masih mentah dalam Kristus" bahkan tidak mempunyai pengertian seperti orang yang mempunyai Roh Kudus (1 Kor 3:1).  Mereka tidak bertumbuh dalam segi rohani, kerana dari dulu lagi sampai sekarang mereka masih belum sedia menerima makanan keras (1 Kor 3:2).  Dengan demikian tidak hairanlah jika mereka tidak mengerti mengenai kurnia-Allah.
  4. Penjelasan ay 1 Kor 4:7 ini akan dapat menyedarkan kita agar lebih memperhatikan kedudukan rohani diri kita.  Jika kita tidak bertumbuh, kita tidak juga berbuah.  Jika ranting tidak berbuah, ranting itu mungkin akan dipotong. Tetapi Tuan jiwa kita akan mencantas setiap ranting-Nya yang berbuah "supaya berbuah lebih lebat lagi"  (Yohanes 15:2).

-------------

Pdt Herb, LAB Network