Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Yohanes 14

A A A
Alkitab Versi Borneo

Akulah jalan, kebenaran dan hidup

1"Janganlah resah hatimu. Percayalah kepada Allah dan percayalah juga kepada-Ku. 2Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu. 3Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada. 4Kamu tahu jalan ke tempat Aku pergi."

5Tomas berkata kepada Yesus, "Tuhan, kami tidak tahu ke mana Engkau pergi, bagaimana kami mungkin tahu jalan ke sana?"

6Yesus menjawab, "Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku. 7Dengan mengenal-Ku, kamu mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal-Nya, malah sudah pun melihat-Nya."

Keesaan dengan Bapa

8Filipus berkata kepada Yesus, "Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami."

9Yesus menjawab, "Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, 'Tunjukkanlah Bapa kepada kami?' 10Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku? Segala yang Kukatakan kepadamu bukanlah daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang tinggal di dalam-Ku yang melakukan semua pekerjaan itu. 11Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku di dalam Bapa, dan Bapa di dalam-Ku. Kalaupun kamu tidak percaya akan apa yang Kukatakan, percayalah kepada-Ku kerana apa yang telah Kulakukan. 12Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Kulakukan, malah pekerjaan lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa.